Bab 14

2.6K 40 0
                                    

TIADA satu patah perkataan pun yang keluar dari mulut Sufi saat ini. Dia hanya mendiamkan diri sementara menunggu Hail menyelesaikan hal berkaitan dengan Hamsyari. Dia memandang sekeliling. Tiada apa yang menarik pandangannya. Lalu, anak matanya dihalakan ke arah Baim yang kelihatan termenung panjang.

"Encik Baim..." panggil Sufi sambil mengawang-awangkan tangannya di hadapan wajah Baim.

Baim tersedar. Dia membalas pandangan Sufi dengan dahi yang bertindih-tindan.

"Apa dia?" soalnya pendek.

"Apa yang terjadi pada Am sebenarnya? Am sakit apa? Betul ke dia hampir bunuh diri?" soal Sufi ingin tahu. Sudah lama dia ingin bertanya, cuma hari ini baru berkesempatan.

"Baru sekarang awak nak tanya? Habis tu kenapa awak ikut Tuan Hail sampai ke sini kalau awak tak tahu apa yang jadi pada Tuan Am sebenarnya?" Soalan dibalas soalan oleh Baim. Sedikit terkejut dengan soalan yang diutarakan oleh Sufi.

Sufi hanya tayang sengih.

"Saya terpaksa ikut Tuan Hail sebab keselamatan adik saya. Saya tak nak dia apa-apakan adik saya sebab tu saya bersetuju untuk bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am walaupun saya tak tahu apa yang terjadi pada Am. Saya tak bersalah. Hanya Am yang tahu kebenaran tu," jawab Sufi.

Sebaik saja melihat keadaan Hamsyari sewaktu pertama kali mereka bertemu dahulu, hati Sufi kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Seolah-olah Hamsyari tidak menjadi dirinya sendiri. Lelaki itu meracau-racau. Malah, fizikalnya kelihatan lemah.

"Major depressive disorder..." ucap Baim tiba-tiba.

Bicara Sufi terhenti. Dia memandang Baim dengan lama.

"Apa?"

"Awak tanya Tuan Am sakit apa, kan? Itulah penyakit Tuan Am. Kalau awak nak tahu, dia bukan hampir membunuh diri tapi dia dah melakukan perbuatan terkutuk tu. Cuma nasib Tuan Am baik, Tuan Hail sampai tepat pada waktunya. Awak dapat bayangkan tak perasaan Tuan Hail waktu tu? Lihat satu-satunya adik yang dia ada, menderita sampai macam tu sekali disebabkan cinta. Tuan Am seorang yang baik, hatinya lembut walaupun dia seorang lelaki. Dia seorang yang sensitif. Dia tidak pernah dikecewakan. Tuan Hail sangat menjaga perasaan Tuan Am. Tapi sekarang awak tengoklah, apa yang awak dah buat..." balas Baim sambil menundukkan wajahnya.

Sufi melepaskan keluhan. Dia tidak menyangka Hamsyari akan bertindak sejauh ini. Benarlah kata orang, kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa saja meskipun perkara tersebut mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Tanpa iman, cinta mungkin boleh memusnahkan sekeping hati.

"Saya tahu walau beribu kali saya cakap, walau berbuih mulut saya ulang perkara yang sama, encik dan Tuan Hail takkan percayakan saya. Saya tak bersalah. Saya sanggup datang ke sini disebabkan keselamatan adik saya. Tapi percayalah, apa yang berlaku kepada Am bukan disebabkan saya," balas Sufi perlahan. Berharap agar Baim memahaminya.

Baim tersenyum sinis. Dia mendongak memandang Sufi yang kelihatan serius.

"Jadi, apa yang adik awak cakapkan tu bohong? Dia sendiri cakap yang awak adalah kekasih Tuan Am. Awak nak saya cari adik awak semula dan heret dia ke sini?" soal Baim turut serius.

Sufi tersentak. Spontan, dia menggelengkan kepala.

"Jangan! Jangan libatkan dia."

"Kalau awak tak nak adik awak terlibat sekali lagi, awak ikut saja arahan Tuan Hail. Dia tak pernah salah buat keputusan. Saya minta dengan awak, tolong pulihkan semuanya seperti biasa. Saya tak sanggup tengok Tuan Am murung macam tu dan saya tak sanggup tengok Tuan Hail berubah sampai begini sekali. Dia bukan dirinya yang dulu sejak Tuan Am jadi macam ni. Awak dah berjaya musnahkan dua jiwa sekali gus. Awak memang hebat!" sinis Baim dengan suara yang mendatar. Walaupun perlahan, tapi cukup menikam hati Sufi.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now