Bab 12

2.6K 45 0
                                    

LAMA mata Hail merenung air sungai yang mengalir tenang. Dia selesa duduk di tebing sambil melontar batu-batu kecil ke dalam sungai. Bunyi aliran sungai itu memberi kedamaian dalam jiwanya untuk seketika. Dia memejamkan mata sejenak. Nafas ditarik perlahan-lahan sebelum dilepaskan. Kelopak matanya dibuka kembali.

"Abang, tengok ni Am dapat ikan!" Suara Hamsyari memecah kesunyian Hail.

Hail tersenyum. Dia menoleh ke sisi. Dia dapat melihat dengan jelas, Hamsyari sedang memegang joran yang diperbuat daripada buluh kecil. Lelaki itu menayangkan ikan puyu sederhana besar ke arah Hail. Senyuman ceria yang terlakar di wajah Hamsyari masih kekal dalam ingatan Hail sehingga sekarang.

Kenangan manis itu bertamu dalam minda Hail membuatkan dia larut dibuai kenangan.

"Ikan apa kau dapat tu?" soal Hail. Tangannya masih setia memegang joran manakala matanya memandang ke arah Hamsyari yang sedang menghampirinya.

"Ikan puyu," jawab Hamsyari tersengih.

"Alah, ikan puyu aje. Abang ingat kau dapat ikan baung. Bolehlah abang masak sedap sikit hari ni," omel Hail seolah-olah memperlekehkan kemampuan Hamsyari.

Hamsyari mencebik. Dia menjeling pada abangnya.

"Ikan puyu pun rezeki juga, bang. Termasuk ikan ni, Am dah dapat tangkap lima ekor ikan. Abang tu, bukan setakat ikat baung, ikan puyu pun tak makan umpan abang tu. Abang nak tahu sebab apa?" soal Hamsyari sambil menepuk lembut bahu Hail.

Hail menoleh ke sisi.

"Sebab apa?"

"Sebab Allah tahu abang takkan bersyukur kalau dapat ikan puyu," jawab Hamsyari sambil tergelak.

Hail tersentap. Dia mengecilkan mata memandang Hamsyari. Tak pasal-pasal kena sindir dengan adik sendiri. Tetapi itulah Hamsyari, walaupun adiknya itu jauh lebih muda tetapi pemikirannya jauh lebih matang. Seringkali adiknya itu mengingatkan, jika kita tidak bersyukur dengan sedikit, bagaimana kita hendak bersyukur dengan banyak? Jika Hail merendah diri dengan setiap harta yang dia ada, Hamsyari jauh lebih merendah diri dengan apa yang dia miliki.

"Kau kan kalau nasihatkan abang nombor satu. Kau datang sini sekejap," panggil Hail. Dia bingkas bangun daripada tempat duduknya. Dia berdiri di tebing sungai.

"Ada apa, bang? Abang marah ke Am cakap macam tu?" soal Hamsyari mulai gugup. Wajah Hail yang kelat cukup menggerunkannya.

"Datang ajelah dekat sini," gamit Hail.

Hamsyari hanya menurut. Dia mendekati Hail. Belum sempat dia berkata apa-apa, Hail terlebih dahulu menarik lengan Hamsyari sebelum tubuh adiknya itu ditolak ke dalam sungai.

"Aaa!" Jeritan Hamsyari bergema di segenap ruang ladang kelapa sawit tersebut bergabung dengan bunyi tawa Hail yang kuat. Seronok dapat kenakan adik kesayangannya itu.

"Abang!" marah Hamsyari sambil meraup rambutnya yang basah ke belakang. Dia mengapungkan tubuh dan mula bergerak ke arah tebing. Apabila melihat Hail yang sedang berdiri sambil mencekak pinggang, timbul idea jahatnya.

"Padan muka kau!" ucap Hail sambil ketawa.

Hamsyari mengecilkan mata. Dia berenang sehingga ke tebing. Dia berpaut pada akar-akar kayu yang berselirat di tepi tebing.

"Yalah, Am mengaku kalah. Abang tolonglah Am naik. Am sejuk sangat ni. Balik karang mesti demam," ujar Hamsyari dengan suara yang lirih.

Hail terdiam. Dia menepuk dahi. Hampir dia terlupa yang Hamsyari alah pada cuaca sejuk. Adiknya itu pasti cepat terkena selesema.

"Allah. Maaf, dik. Abang terlupa yang Am tak boleh sejuk," ucap Hail dengan rasa kesal yang mendalam. Dek ingin bergurau, dia terlupa akan kesihatan adiknya sendiri.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now