Bab 10

2.8K 54 6
                                    

SUFI dibawa ke sebuah pondok yang terletak berhampiran dengan kebun sayur-sayuran yang cukup luas. Ternganga sedikit mulut Sufi apabila melihat kebun sayur milik Hail yang luas terbentang. Kelihatan pelbagai jenis pokok sayur-sayuran yang ditanam seperti pokok kacang botol, kacang panjang, pokok cili dan bersebelahan dengan kebun sayur terdapat kebun pisang sama luas dengan kebun sayur-sayuran.

Gulp!

Air liur ditelan. Aku nak kena kerja di sini ke? Luas sungguh tempat ni, detik hati kecil Sufi. Dia kecut perut.

"Besarnya kebun..." ucap Sufi tanpa sedar.

"Ini baru separuh yang awak nampak. Ini kebun untuk sayur jenis kekacang. Sebelah tu kebun cili. Sebelah sana tu kebun pisang. Daripada kebun-kebun milik Tuan Hail inilah, orang kampung dapat cari rezeki. Nanti saya akan bawa awak ke kandang lembu dan ladang kelapa sawit milik Tuan Hail. Awak akan kerja dari kebun sayur dan kebun buah ni sampailah ke ladang kelapa sawit. Termasuklah jaga lembu-lembu dan bersihkan kandang," terang Baim serba sedikit.

Mata Sufi membuntang. Aku kena buat semua kerja tu? Biar betul?

"Saya kena buat semua kerja? Encik ni biar betul? Cukuplah otak majikan encik tu yang senget. Takkan encik pun berjangkit sekali?" jawab Sufi bagaikan tidak percaya.

"Ini arahan daripada Tuan Hail."

Sufi mengetap bibir. Hatinya mula terasa berbahang. Apabila sebut saja sebaris nama 'Tuan Hail', pasti hatinya seakan-akan terbakar. Panas semacam.

"Itu bukan arahan tapi penganiayaan!" bantah Sufi. Geram.

"Bukan penganiyaan tapi hukuman yang kau dah persetujui," sampuk satu suara membuatkan Baim dan Sufi berpaling.

Kelihatan Hail menapak ke dalam pondok sambil membimbit fail. Lelaki itu menghampiri Baim dan Sufi. Baim menunduk hormat sedangkan Sufi hanya menjeling benci. Bibirnya dicebikkan. Mengenangkan kekasaran lelaki itu sebentar tadi, rasa sakit hati Sufi semakin bertambah.

"Hukuman? Tuan nak jadikan saya hamba abdi ke?" soal Sufi dengan suara yang sedikit tegang.

"Memang itulah selayaknya untuk perempuan macam kau. Kau jadikan Am hamba cinta kau, takkan aku tak boleh jadikan kau hamba kat sini? Barulah adil, kan?" soal Hail dengan senyuman sinis bergayut di bibirnya.

Sufi mengetap bibir. Dia menarik nafas panjang lantas dihembus perlahan. Sabar, Sufi. Sabar. Kau kena tunjukkan dia kebenaran, barulah dia melutut pada kau, pujuk hati Sufi.

"Jadi, apa pekerjaan saya kat sini?" soal Sufi beralah.

Hail tersentak. Dia berpandangan dengan Baim. Dia tidak percaya Sufi boleh beralah dengan mudah tanpa perdebatan yang panjang.

"Kau baca kontrak kerja ni. Lepas tu sign," arah Hail lantas menghulurkan kertas A4 yang bertaip kemas kepada Sufi.

Sufi akur. Dia menghulurkan tangan ingin menyambut hulutan kertas tersebut namun belum sempat kertas bertukar tangan, Hail dengan sengaja menjatuhkan kertas kontrak tersebut ke atas lantai.

"Opsss... Terjatuh!" ucap Hail dengan nada mengejek. Senyuman sinis tidak pernah lekang daripada bibirnya.

Sufi mengepal tangannya dengan kuat. Kalau diikutkan hati, mahu saja muka Hail yang sombong itu dilempang sekuat hati. Namun, Sufi masih tahu batas-batasnya. Dia rela mengikut permintaan gila Hail pun disebabkan dia ingin membuktikan yang dirinya tidak bersalah.

Tanpa berkata sepatah kata, Sufi tunduk dan mencapai kembali kertas kontrak. Dia berdiri tegak sambil anak matanya meneliti setiap bait yang tertaip kemas di atas dada kertas tersebut.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now