JAM menunjukkan tepat pukul tujuh malam. Sebuah kereta Mercedes berwarna hitam berhenti di hadapan Restoran Pantai Timur buat kesekian kalinya. Pintu kereta ditolak. Baim melangkah keluar sambil berdiri dengan tangan yang mencekak pinggang. Dia mengeluh apabila melihat pintu restoran sudah pun tertutup rapat. Petanda waktu perniagaan sudah tamat.
Dia meraup rambutnya ke belakang. Apa yang harus dikatakan kepada Hail sekarang? Laju tangannya menyeluk poket, mencari telefon bimbit sebelum nombor Hail didail. Selang beberapa saat, panggilannya berjawab.
"Restoran dah tutup, tuan," ujar Baim dengan nada kecewa.
"Apa? Tutup?!" Suara Hail hampir menjerit. Baim menjauhkan telefon daripada telinganya. Dia menggeleng kecil.
"Ya, tuan. Tutup. Apa kita nak buat sekarang? Kakak perempuan tu mesti dah balik sekarang dan kalau kita terus tahan adik dia tu, bahaya, tuan. Lebih daripada 24 jam, boleh jadi kes culik." Baim cuba mengingatkan.
Kedengaran Hail mendengus. Kata-kata Baim ada benarnya.
"Aku tahu. Kau datang sini dulu. Kita cuba tanya pada adik dia ni. Nampak gayanya perempuan ni gila duit, aku rasa dia sanggup gadaikan kakak dia demi kepentingan diri dia sendiri," ujar Hail.
"Tuan yakin ke kakak perempuan tu kekasih Tuan Am?" soal Baim lagi.
"Aku tahu Am suka perempuan yang macam mana. Aku tak rasa perempuan yang kita tahan ni kekasih Am. Walau apa pun yang terjadi, aku tetap akan pastikan perempuan yang buat Am merana turut terima nasib yang sama," jawab Hail sarat dengan dendam.
"Baik, tuan. Saya ke sana sekarang," balas Baim lantas mematikan talian. Dia mengeluh kecil. Bilakah semua ini akan berakhir?
KERETA Toyota Estima milik Encik Latif berhenti betul-betul di hadapan Restoran Pantai Timur pagi itu. Dia berpaling pada Sufi yang turut memandang ke arahnya. Senyuman manis si anak dibalas mesra.
"Terima kasihlah sebab abah susah-susah hantar Sufi dekat sini padahal Sufi boleh pergi sendiri," ujar Sufi sambil merungkai tali pinggang yang membelit tubuhnya.
"Apa salahnya? Sufi anak abah. Ini tanggungjawab abah untuk pastikan anak abah ni selamat," balas Encik Latif sambil mengelus lembut ubun-ubun Sufi.
Sufi tersenyum nipis. Kata-kata Encik Latif menyentuh hatinya. Kalaulah perceraian itu tidak berlaku, tentu saat ini mereka sekeluarga hidup bahagia. Tetapi siapalah dia untuk menidakkan takdir yang telah tercipta? Perkara yang berlaku, tidak akan dapat diundurkan kembali.
"Abah tak nak bagi ruang ke pada hubungan abah dan umi? Abah tak nak hidup bahagia kembali ke?" soal Sufi tiba-tiba. Ada getar dalam nada suaranya.
Senyuman manis Encik Latif mati dengan sendirinya. Dia mengetap bibir.
"Sufi tahu kan semua tu takkan terjadi? Abah dah bahagia sekarang dan abah rasa umi kamu pun bahagia dengan kehidupan dia sekarang. Sufi anggap ajelah abah dan umi tak ada jodoh. Jodoh kami setakat ni aje. Abah tak nak ingat perkara yang lepas sebab kita hidup untuk hari ni dan akan datang, bukan untuk hari semalam. Sufi faham kan maksud abah?" Lembut tutur kata Encik Latif kedengaran. Dia berharap agar Sufi mengerti tentang keputusannya dahulu.
Akibat campur tangan daripada ibunya, hubungan antara dia dan Puan Suraya ternoktah begitu saja. Cinta antara dua darjat, sampai bila dapat bertahan? Itulah yang berlaku antara dia dan ibu kandung Sufi. Mereka dipisahkan saat Sufi masih dalam kandungan dan akhirnya dengan rela hati Puan Suraya minta dilepaskan selepas tidak tahan dicaci dan dihina oleh ibu mentuanya sendiri.
Walaupun berat untuk Encik Latif membuat keputusan, namun demi kebahagiaan dan ketenangan isterinya, dia melepaskan Puan Suraya dengan talak satu. Demi mengelak lebih banyak persengketaan, Encik Latif bersetuju untuk berkahwin dengan wanita pilihan ibunya yakni Puan Samihah.
YOU ARE READING
CAGARAN CINTA
General FictionTajuk: Cagaran Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-096-0 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018