Bab 13

2.6K 45 0
                                    

SUFI terbaring lesu di dalam rumah kontenanya. Tubuhnya terasa menggigil akibat direndam di dalam air sungai yang sejuk. Sufi terbatuk kecil. Sakit dan pedih itu masih lagi terasa namun dia masih lagi kuat. Kuat dalam mempertahankan dirinya.

Tika ini dia terbayangkan Hamsyari. Kerana lelaki itu dia berada di sini. Kerana kasihnya kepada seorang adik, dia berada di sini. Adakah ini ujian atau takdir yang Allah sediakan untuknya? Sufi tiada jawapan. Dia memejamkan mata. Kenangan ketika bersama Hamsyari terlayar ke ruang fikiran.

"Ramainya orang hari ni. Tak menang tangan Sufi nak masak," ujar Sufi sambil menyeka peluh yang merembes di dahi.

Walaupun bekerja sebagai pembantu tukang masak tetapi pada saat pelanggan ramai, dia terpaksa menolong Abang Mie untuk memasak.

"Biasalah Sufi, hari ni kan hari gaji. Orang pun makan besarlah," jawab Abang Mie sambil anak matanya masih fokus pada Nasi Goreng USA yang berada di dalam kuali.

"Alhamdulillah, Abang Mie. Rezeki Abang Mie," ucap Sufi bersama senyuman. Dia meneruskan kerjanya. Minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam diangkat lalu diletakkan di dalam periuk kecil.

"Sufi, nasi goreng ayam satu. Ni oder yang last setakat ni," pinta Hamsyari yang muncul dari ruang hadapan.

Sufi mendongak seketika sebelum dia menganggukkan kepala.

"Baik. Bagi saya lima saat, saya nak simpan minyak panas ni kat sana dulu," ujar Sufi sambil menunjukkan ke arah kabinet yang tidak jauh daripada mereka.

Hamsyari hanya mengangguk dan tersenyum. Dia hanya melihat langkah Sufi sebelum anak matanya jatuh pada lantai. Ada tompokan minyak yang melekat di lantai tersebut dan tompokan minyak itu betul-betul berada di laluan Sufi. Saat ini, kaki Sufi semakin menghampiri tompokan minyak tersebut.

"Sufi!" panggil Hamsyari lalu berlari-lari anak bagi mendapatkan gadis itu. Lengan Sufi ditarik sebelum kaki Sufi memijak tompokan minyak tersebut.

Disebabkan tindakannya yang spontan, lengan Hamsyari terkena periuk yang berisi minyak panas. Minyak panas itu terpercik dan terkena pada lengannya yang terdedah.

"Aduh!" jerit Hamsyari sambil menekup lengannya.

"Allah!" Giliran Sufi pula yang terkejut. Terbuntang matanya melihat Hamsyari yang mengaduh kesakitan. Nasib baik minyak yang terpercik itu tidak sebanyak mana.

"Maaf, Am. Awak tak apa-apa?" soal Sufi sambil mendapatkan Hamsyari setelah periuk yang berisi minyak panas itu diletakkan di atas singki yang berhampiran.

"Saya okey. Sakit sikit aje ni. Awak tak apa-apa ke? Tadi saya nampak awak macam nak terpijak minyak kat lantai tu. Sebab tu saya cuba halang. Kalau awak jatuh lagi teruk," ujar Hamsyari dengan riak wajah yang berkerut menahan rasa pedih di lengannya. Dia cuba untuk tersenyum.

Sufi terharu. Tersentuh hatinya dengan keprihatinan Hamsyari.

"Terima kasih, Am. Saya tak sangka jadi macam ni. Saya tak perasan pun ada minyak kat lantai," ucap Sufi dengan mata yang berkaca.

"Kau ni Am, lain kali jangan buat macam ni lagi. Boleh gugur jantung abang ni, tahu tak? Kau cakap tangan kau tak teruk, tengok dah melecur lengan kau tu. Ambil duit ni pergi klinik. Sufi, tolong temankan Am pergi klinik sebelah tu," arah Abang Mie lantas menghulurkan sekeping not lima puluh kepada Sufi.

Hamsyari tersengih. Dia menggelengkan kepala.

"Am okeylah, Abang Mie. Melecur sikit aje ni. Tak payahlah susah-susah pergi klinik. Nanti Abang Mie potong gaji saya pula sebab curi tulang," ujar Hamsyari dengan nada bergurau.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now