"MULAI hari ni awak akan jaga Tuan Am dekat rumah. Setiap pagi sebelum awak mula kerja, awak kena jenguk Tuan Am terlebih dahulu. Pastikan Tuan Am makan dan ambil ubat. Kemudian baru awak ke ladang," terang Baim sewaktu mereka bertiga sampai di rumah lewat malam itu.
"Kenapa saya nak kena sediakan semua tu?" soal Sufi sambil memandang Hail dan Baim silih berganti.
"Sebagai latihan sebelum kau jadi isteri Am nanti. Jadi, kau kena biasakan diri," jawab Hail selamba.
Sufi ketawa kecil. Dia merenung tepat ke wajah Hail. Kecil saja dia melihat Hail saat ini.
"Gila! Bila Am dah sihat, tuan jangan terkejut kalau dia tak nak kahwin dengan saya. Satu saja saya nak cakap, apa yang tuan buat ni semuanya sia-sia!" balas Sufi berani.
Hail berpaling ke arah Sufi. Mereka beradu pandangan. Hail mengetap bibir. Lantas, dia menghampiri Sufi.
Sufi mula tidak keruan apabila menyedari langkah Hail semakin hampir. Dia melangkah setapak ke belakang namun kakinya tersekat di meja makan. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Bergetar hatinya saat ini.
"Apa ni? Jangan dekatlah!" marah Sufi. Suaranya kedengaran bergetar. Dia menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.
Hail menahan tawa melihat Sufi yang mula menggelabah. Dia menghentikan langkah.
"Aku akan pastikan apa yang aku buat ni takkan sia-sia. Kalau Am tak nak kahwin dengan kau sekali pun, aku akan pastikan kau jadi hamba dekat tempat aku ni. Itu harga yang kau perlu bayar sebab kau dah musnahkan hidup Am!" Keras suara Hail kedengaran.
Sufi menurunkan tangannya. Serentak, pandangan mereka bertembung. Sufi terdiam. Begitu juga Hail. Mereka hanya berpandangan tanpa berkata apa-apa.
"Sama ada awak percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Disebabkan itulah Tuan Hail sanggup buat apa saja bagi halang perkara itu daripada terjadi. Memandangkan awak penyebabnya, mungkin awak juga penawarnya. Saya harap awak faham kenapa Tuan Hail bertindak sejauh ini."
Kata-kata Baim kembali terngiang-ngiang di telinga Sufi. Dia meneguk liur. Benar, Hail sanggup melakukan apa saja untuk Hamsyari meskipun perkara itu salah. Dalam hati, Sufi kagum dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Hail tanpa memikirkan salah dan benar.
"Baik, saya akan jaga Am sampai dia sihat dan kembali jadi seperti Am yang dulu. Tapi saya ada syarat..." ujar Sufi.
Hail menjarakkan diri. Dia mencekak pinggang.
"Syarat? Apa hak kau nak bagi syarat pada aku?" soal Hail dengan garang.
"Dengar dulu. Syarat saya bukan susah sangat pun."
"Hah, apa dia?" pintas Hail pantas.
"Jangan tinggalkan saya berdua dengan Am dalam rumah ni. Saya tak selesa. Dia bukan ada apa-apa hubungan dengan saya," balas Sufi.
Hail terkelu seketika. Dia berpandangan dengan Baim. Baim hanya mampu menjongketkan bahu.
"Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu. Esok saya nak kerja," ucap Sufi lembut apabila tiada balasan daripada Hail.
"Kenapa saya rasa, dia bukan seperti yang kita fikirkan?" soal Baim sebaik saja kelibat Sufi hilang dari pandangan.
Hail berpaling. Lama dia memandang wajah Baim.
"Tak ada pencuri yang mengaku dia mencuri, Baim," balas Hail. Dia menepuk bahu Baim memberi ruang untuk lelaki itu berfikir.
"HARI ni kau kena asingkan baja. Bungkus dalam paket mengikut kilogram, lepas tu labelkan. Petang nanti akan ada lori yang datang ambil," terang Hail sewaktu mereka bertiga sampai ke bangsal yang memuatkan pelbagai jenis baja.
![](https://img.wattpad.com/cover/162133887-288-k298794.jpg)
YOU ARE READING
CAGARAN CINTA
General FictionTajuk: Cagaran Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-096-0 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018