Bab 7

2.4K 42 0
                                    

"JEMPUT masuk, cik. Inilah tempat tinggal cik mulai sekarang," ucap Baim sambil membuka pintu sebuah kontena untuk Sufi yang masih tercegat berdiri di hadapannya.

Sufi melopong. Dia memandang kontena itu dengan terkebil-kebil. Seumur hidup inilah kali pertama dia harus tinggal di dalam rumah kontena. Sah-sah tak selesa. Umi, Sufi nak balik! jerit hati Sufi.

"Saya kena tinggal kat sini? Macam mana waktu siang nanti? Tak panas ke? Kalau malam mesti sejuk sangat, kan?" Bertalu-talu soalan yang terbit dari mulut Sufi.

Baim ketawa kecil. Dia tahu orang yang sudah terbiasa hidup mewah memang takkan selesa tinggal di dalam rumah kontena yang kecil dan sempit. Tetapi itu memadai daripada harus merempat di tepi jalan.

"Cik jangan risau, dalam kontena tu ada kipas, ada lampu, ada tilam dan selimut. Cik takkan sejuk waktu malam. Waktu siang pun cik takkan kepanasan."

"Kenapa? Dalam ni ada air cond ke?" pintas Sufi sedikit teruja.

Baim tersenyum kecil. Dia menggelengkan kepala.

"Cik akan mula bekerja daripada pukul lapan sampai pukul enam petang, jadi tak ada ruang untuk cik duduk dalam kontena ni pada waktu siang," jawab Baim sedikit sebanyak menerangkan apa yang akan dihadapi oleh Sufi pada hari mendatang.

Sufi mengeluh kecil. Dia tiada pilihan lain saat ini. Dengan langkah yang longlai, dia melangkah masuk ke dalam kontena. Anak matanya ditebarkan ke segenap ruang kontena yang terang-benderang disimbahi dengan lampu pendaflour. Memang ruang tu kecil dan sempit untuk dia yang sudah terbiasa tinggal di dalam bilik yang luas. Di suatu sudut lain ditempatkan tilam, bantal, selimut dan sebuah kipas.

"Macam mana saya nak kerja ni? Baju saya semua tertinggal dalam wad Am. Saya datang ke sini sehelai sepinggang aje," ujar Sufi kemudian keluar semula mendapatkan Baim yang berdiri di muka pintu kontena.

Baim senyap seketika. Betul juga kata Sufi, sewaktu dia membawa Sufi ke sini, memang gadis itu sehelai sepinggang. Nampaknya dia kena maklumkan pada Hail.

"Nanti saya akan bagi tahu pada Tuan Hail pasal ni," ucap Baim tanpa berfikir panjang.

Sufi mencebik. Dia memandang Baim daripada atas hingga ke bawah. Lelaki itu kelihatan lebih tua daripadanya. Air mukanya kelihatan tenang tidak seperti abang Hamsyari. Sentiasa ketat dan bengis.

"Tuan Hail? Siapa tu?" soal Sufi apabila menyedari Baim menyebut nama yang cukup asing di telinganya.

"Mamat tiga suku tu ke?" tambahnya lagi. Dia mengamati wajah Baim. Lelaki itu mengangguk kecil.

"Oh, nama dia Hail. Hail ke 'hell'. Perangai macam budak-budak tak matang. Sesuka hati aje paksa saya buat kerja yang saya tak nak. Awak tahu tak Encik Baim, saya ni dah dapat kerja kat kampung saya. Isnin ni saya dah kena mula kerja tapi bos awak tu kan, buat saya sakit otak. Lama-lama saya boleh jadi gila macam dia. Macam manalah awak boleh kerja dengan orang yang macam tu? Dia belum kahwin lagi, kan?" soal Sufi tiba-tiba. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Naik semput dadanya akibat terlalu panjang berleter.

Baim menyembunyikan tawanya. Dia tidak mahu mengulas panjang sebaliknya dia hanya menggelengkan kepala sebagai tanda jawapan pada soalan Sufi.

"Hah, saya dah agak dah dia tak kahwin. Kalau perangai macam tu, perempuan manalah nak kat dia? Muka ketat. Kelat, pahit, payau. Semua adalah. Sekali buka mulut, gerenti lintang-pukang semua perempuan. Sah, dia tu antertu, kan? Betul tak?" omel Sufi lagi sambil meluruskan jari telunjuknya pada Baim. Dia inginkan jawapan untuk memuaskan hatinya yang sakit dengan sikap Hail.

"Antertu tu apa, cik?" soal Baim mengawal riak wajahnya yang ingin ketawa. Tingkah Sufi sedikit sebanyak menghiburkan hatinya.

"Anak teruna tua. Alah, takkan itu pun awak tak tahu? Tapi betul ke dia tu majikan awak?" soal Sufi lagi ingin tahu.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now