Bab 2

3.6K 50 1
                                    

NASI yang separuh bersisa hanya dikuis-kuis oleh Sufi. Seleranya mati apabila otaknya asyik memikirkan tentang Hamsyari yang tiada khabar berita. Hampir seminggu lelaki itu menghilangkan diri. Apa sebenarnya yang terjadi kepada Hamsyari? soal hatinya. Resah.

"Kenapa tak habiskan nasi tu, Sufi?" Encik Latif bersuara sambil merenung wajah Sufi yang kelihatan keruh.

Sufi mengukir senyuman hambar. Perlahan-lahan, dia menyuapkan nasi ke dalam mulut dalam keadaan terpaksa.

"Sufi tak berapa selera, abah," ucap Sufi perlahan.

Ariana mencebikkan bibir. Dia tahu apa yang berada dalam fikiran Sufi saat ini, cuma dia tidak mahu mengambil pusing.

"Kamu tak sihat ke?" Giliran Puan Samihah pula yang bersuara. Semua mata memandang Sufi.

"Sihat, ibu. Cuma Sufi fikir tentang kawan sekerja Sufi. Dah seminggu dia tak datang. Biasanya tak adalah sampai macam ni," terang Sufi sambil menghembuskan nafas dengan perlahan.

"Siapa kawan kamu tu? Ibu kenal ke?"

Sufi memandang Ariana yang kelihatan selamba.

"Hamsyari, ibu. Pernah dia datang sekali dekat sini hantar beg Sufi yang tertinggal kat kedai," jawab Sufi cuba memancing reaksi Ariana. Tepat jangkaannya, Ariana menghentikan suapan.

"Hamsyari yang selalu keluar dengan Ana tu ke?" soal ibunya kembali memandang Ariana yang duduk bersebelahan dengannya.

Ariana tersentak. Tiga pasang mata tegak merenung wajahnya memaksa dia untuk membuka mulut.

"Dululah, ibu. Dia kawan baik kakak, jadi Ana tumpanglah berkawan sekali. Sekarang Ana mana ada keluar dengan dia dah. Ana bukannya ada apa-apa hubungan dia pun," jawab Ariana. Dia mengalih pandangan ke tempat lain.

"Dia ada call Ana tak?" soal Sufi.

Ariana menggeleng pantas.

"Tak ada. Aku dah tukar nombor. Akak risau sangat pasal dia ni kenapa? Sah-sahlah dia dah berhenti kerja. Buat apa akak nak ambil tahu lagi?" Ariana menjeling.

"Mestilah akak risau, dia kerja sekali dengan akak. Lagipun selama ni dia baik sangat dengan akak. Sebelum ni tak pernah dia buat perangai macam ni tau. Dia tu seorang yang bertanggungjawab. Mustahil dia buat perangai macam ni," ujar Sufi membela Hamsyari.

Ariana mencebik. Pandangannya dialihkan ke tempat lain. Dia tidak selesa apabila soal lelaki bernama Hamsyari dibangkitkan.

"Sudahlah, akak. Bosan aku cakap pasal kawan akak tu. Temu duga yang kau pergi hari tu macam mana? Dah dapat jawapan?" soal Ariana mengubah topik perbualan. Dia meneguk air sirap yang terhidang di hadapan mata.

Sufi mengeluh kecil. Terkilan dengan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh Ariana.

"Alhamdulillah, dapat dah. Tapi kerja tu bukan kat sini, kat Kelantan."

"Kat Kelantan? Jauhnya. Kenapa tak minta kat sini aje?" soal Encik Latif agak terkejut dengan kata-kata Sufi.

Sufi hanya tersenyum kecil.

"Kat sana dekat sikit dengan mek, ayah. Kesian kat mek tak ada siapa yang jaga. Nanti Sufi boleh tengok-tengokkan umi dengan mek," balas Sufi membuatkan Encik Latif terdiam.

"Umi kamu tak marah ke kamu duduk sini lama-lama?" soal Puan Samihah pula. Dia mengerling pada suaminya yang terdiam seribu bahasa.

"Tak, ibu. Umi tak kesah pun. Asalkan Sufi telefon hantar khabar kat kampung, kira okeylah tu," jawab Sufi. Dia mengukir senyuman tetapi dirasakan sangat hambar.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now