Bab 5

2.3K 45 0
                                    

"ENCIK ni... Encik ni siapa?" soal Sufi dengan suara yang tergagap. Dia gugup apabila berdepan dengan lelaki yang tidak dia kenali.

Lelaki itu tersenyum sinis dan melangkah setapak demi setapak sehinggalah sampai betul-betul di hadapan Sufi. Dia berdiri bertentangan dengan Sufi. Bola matanya tidak sedikit pun berganjak merenung Sufi daripada kepala sehingga ke hujung kaki.

"Kau ingat, kau boleh masuk dalam bilik ni dengan sewenangnya tanpa kebenaran daripada aku?" Suara lelaki itu kedengaran agak kasar.

Sufi mula kecut perut. Dia tidak betah beradu pandangan dengan lelaki yang berada di hadapannya sekarang. Terasa ingin terkencing saat itu juga. Lantas, pandangannya ditundukkan.

"Jadi, encik ni penjaga Am? Encik ni abang Am ke?" soal Sufi ingin tahu. Dia cuba memberanikan diri.

"Ya. Aku abang Hail Hamsyari, lelaki yang kau dah hancurkan hatinya!" Julat suara Hail meninggi.

Sufi menikus. Dia terpempan mendengar kata-kata yang terluah dari mulut Hail. Apa kaitan aku dengan hati Hamsyari yang hancur? soal hati Sufi kebingungan.

"Aaa... Apa maksud encik? Saya tak faham." Suara Sufi mula bergetaran.

Hail tersenyum sinis. Anak matanya masih mengawasi setiap pergerakan Sufi. Gadis itu kelihatan serba tak kena malah wajah gadis itu menggambarkan riak ketakutan. Hail merasakan kemenangan sudah berpihak kepadanya.

"Tak faham ke atau sengaja buat tak faham? Kau berikan harapan pada adik aku, kemudian kau hancurkan hatinya, lepas tu kau cakap kau tak faham apa yang aku cakap? Kau memang pandai putar belit, kan? Dasar perempuan tak guna!" cemuh Hail tanpa perasaan bersalah.

Menyirap darap Sufi mendengar hinaan Hail. Dadanya mula berombak halus.

"Encik siapa nak cakap saya macam tu? Saya tak ada kena-mengena dengan apa yang terjadi pada Am. Saya tak tahu kenapa dia jadi macam ni. Jadi, encik jangan sesuka hati nak cakap saya perempuan yang tak guna!" bentak Sufi.

Hail mengetap gigi menahan rasa amarah yang semakin menular ke dalam dada. Hamsyari menderita sehingga nekad untuk bunuh diri tapi perempuan itu cakap dia tiada kaitan? Sungguh, Hail tak percaya. Kata-kata Sufi ibarat menyimbah minyak ke api yang sedang marak.

"Tak ada kena-mengena? Dia jadi macam ni disebabkan kau! Kau tolak cinta dia sampaikan dia hampir bunuh diri! Kau tahu tak?!" Suara Hail melengking tinggi sehingga bergema di segenap ruang bilik tersebut.

Sufi tergamam. Kecut hatinya mendengar tempikan Hail. Inilah kali pertama dia dijerkah sebegitu. Tetapi bukan itu yang mengganggu fikiran Sufi. Kata-kata Hail yang membuatkan dia kaku tanpa riak.

"Am hampir bunuh diri?" soalnya perlahan. Lebih kepada dirinya sendiri. Dia mengalih pandangan pada tubuh Hamsyari yang terbujur kaku di atas katil.

"Ya, malam sebelum dia jadi macam ni dia telefon aku. Dia menangis kerana terlampau tertekan dengan kau. Kau putuskan hubungan dengan dia. Kau minta dia pergi mati! Kau memang perempuan yang kejam!" jerkah Hail lagi bagi melepaskan kemarahan yang terpendam.

Sufi terkesima. Dia menggelengkan kepala dengan laju. Tiba-tiba lututnya menjadi lembik. Lantas, langkahnya terundur ke belakang dan terhenti di sudut dinding.

"Tak... Bukan saya penyebabnya. Bukan saya! Am takkan bunuh diri disebabkan saya! Saya tak percaya! Saya tak percaya!" bentak Sufi turut meninggikan suara. Matanya kembali berkaca.

Hail merengus. Dia geram dengan sikap yang ditunjukkan Sufi. Lantas, dia menyeluk poket seluarnya. Secebis kertas dilemparkan tepat ke muka Sufi.

"Itu buktinya yang dia sanggup mati untuk kau!" ujar Hail.

CAGARAN CINTAWhere stories live. Discover now