PAGI yang dingin mengganggu Sufi yang dibuai lena. Dia menggosok-gosok lengannya yang terselindung di sebalik baju kurung kedah yang nipis. Sesekali dia mengerekot kesejukan. Namun, bunyi azan subuh yang kedengaran membangunkan Sufi daripada tidurnya.
Dia memisat-misatkan mata sebelum bola matanya ditebarkan ke sekeliling. Dia berharap sangat saat ini dia berada di dalam biliknya di kampung. Namun, itu semua bayangan. Kenyataannya, dia hanya ditemani dengan empat penjuru dinding yang sempit.
Sufi tersedar. Dia bingkas bangun dan duduk sambil memeluk lutut. Kain selimut diambil lalu membalut tubuhnya.
"Ya Allah, betul ke pilihan aku ni?" soal Sufi sendirian. Dia meraup wajahnya dengan kedua-dua telapak tangan.
"Aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am!" Suara Hail memecah ketenangan Sufi.
Sufi mendengus sendirian.
"Saya janji, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kalau ada apa-apa yang terjadi dalam hubungan awak berdua. Saya yakin dia akan sayangkan awak sepenuh hati dia. Saya kenal dia. Dia takkan kecewakan awak." Kata-katanya beberapa bulan yang lepas kembali terngiang-ngiang di telinga.
Ya, itulah janji yang pernah dibuat suatu ketika dahulu. Dia tidak menyangka, janji itu menjerut lehernya sendiri. Tapi adakah benar, apa yang berlaku kepada Hamsyari adalah salahnya seratus peratus sedangkan dia sendiri tidak dapat menjangka semua ini akan terjadi?
"Salah saya ke, Am? Salah saya ke sampai awak jadi macam ni? Kenapa awak tak kenal saya? Atau awak sengaja buat semua itu untuk balas dendam pada saya? Awak marahkan saya, kan? Betul ke apa yang aku buat ni, Ya Allah? Aku lakukan semua ni semata-mata kerana rasa bersalah aku pada Am dan keselamatan Ana. Bantu aku untuk selesaikan semua salah faham ini, Ya Allah. Bantu aku," doa Sufi sendirian. Dia mengeluh kecil.
"Lebih baik aku solat dulu. Apa pun yang terjadi lepas ni, kau kena kuat, Sufi. Kau kena pastikan Am sembuh seperti biasa, barulah abang dia yang perasan bagus tu percaya yang kau bukan kekasih Am. Hanya Am yang tahu kisah yang sebenar," balas Sufi dengan tekad.
Dia menganggukkan kepala. Lantas, dia bangun dan mencapai tuala untuk membersihkan diri. Dia mengeluh seketika melihat pakaian-pakaian yang diberikan Baim semalam. Sungguh dia tidak selesa apabila terpaksa memakai pakaian orang lain. Namun, keadaan mendesak. Apa lagi pilihan yang dia ada?
Tepat pukul tujuh setengah pagi, pintu kontena diketuk dari luar. Sufi yang hampir melelapkan mata terus terjaga. Dia yakin itu pasti Baim. Tiada siapa yang tahu kehadirannya melainkan Baim dan abang Hamsyari.
"Sekejap!" laung Sufi. Dengan pantas, dia menyarungkan tudung bawal yang dipakainya semalam sebelum menuju ke pintu.
"Assalamualaikum, saya ingatkan awak tak bangun lagi," ucap Baim sambil tersengih.
"Saya dah bangun sebelum subuh tadi. Hah, awal encik datang hari ni. Apa pula yang tuan besar tu nak saya buat hari ni?" soal Sufi tanpa berlengah. Salam Baim dijawab dalam hati.
"Tuan Hail nak jumpa awak kat ofis," balas Baim.
"Kat ofis? Mana ofis dia?" soal Sufi gugup. Dia meneguk liur.
Baim hanya mampu tersenyum melihat Sufi yang tiba-tiba saja gelabah. Semalam bukan main lagi mengutuk, sekarang wajah itu pucat tak berdarah apabila dia menyebut tentang Hail.
"Jom saya tunjukkan. Tapi sebelum tu, awak boleh kunci rumah awak ni," ucap Baim sambil tersengih. Dia menghulurkan mangga dan anak kunci kepada Sufi yang sudah mencebik.
Rumah? Layak ke benda empat segi ni dipanggil rumah? sinis Sufi dalam hati. Namun, Sufi hanya mampu menurut. Pintu kontena itu dikunci sebelum kakinya mengikut langkah Baim yang sudah ke depan.
![](https://img.wattpad.com/cover/162133887-288-k298794.jpg)
YOU ARE READING
CAGARAN CINTA
General FictionTajuk: Cagaran Cinta Penulis: Siti Khadijah Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-096-0 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : September 2018