LIS DAHLIA meluru keluar dari pekarangan mahkamah syariah. Tudung bawal yang sedikit ke depan dibetulkan dan ditarik ke belakang. Laju kakinya melangkah ke keretanya.
Wajahnya beriak kesal dan sedih. Sampai hati. Tergamak Izzul menjatuhkan talak lagi ke atasnya.Kali ini kali ketiga.
Selepas ini mana ada peluang lagi untuk mereka bersama.
Izzul memang seorang yang tak berhati perut. Fikirkan kuasa vetonya sebagai suami sahaja. Langsung tak mahu berbincang jika mereka ada salah faham. Kadang-kadang, salah faham itu kecil sahaja, tetapi Izzul suka besar-besarkan hal tersebut.Macam budak kecil!
Walhal Izzul sudah berumur 34 tahun manakala Lis Dahlia pula berumur 32 tahun.
Lis Dahlia mengesat butiran jernih yang mengalir lesu di pipi. Segala dokumen-dokumen dimasukkan ke dalam beg tangan yang bersaiz besar itu.
"Lis! Tunggu, Lis!" laung Izzul.
Dia berlari mengejar langkah kaki Lis Dahlia yang semakin laju.
"Lis." Izzul sambar lengan bekas isterinya.
"Isy, apa ni?" Lis Dahlia merentap lengannya kembali.
Mencerlung matanya memandang wajah serabut Izzul."Nantilah dulu, kita bincang," rayu Izzul.
Dia menunjukkan wajah simpati. Sesekali dia menggaru belakang kepala.
Lis Dahlia menjeling wajah itu. Dia merengus dan berpeluk tubuh, berpaling memandang ke jalan raya yang lengang.
"Apa yang awak nak bincangkan? Eh, tak. Soalan yang betul, apa lagi yang boleh kita bincangkan?" Sengaja Lis Dahlia tekan perkataan boleh itu. Dia tersenyum sinis.
Izzul menghela nafas. Entah kenapa kali ini dia menyesal sungguh. Bila talak satu, dia boleh main-main. Talak dua, dia masih boleh tersenyum, tapi talak tiga, dia mula gelabah.
Mana mungkin dia bersatu kembali dengan bekas isterinya ini?Kecuali...
"Kita masih boleh nikah balik, Lis." Sungguh-sungguh Izzul beritahu.
"Hah? Gila ke apa? Saya ni pun taklah pandai mana, tapi taklah bodoh pasal hukum-hakam ni. Mana ada orang dah bercerai tiga kali boleh bernikah balik?"
Kencang nafas Lis Dahlia. Dia betul-betul kecewa dengan Izzul. Lelaki yang dia betul-betul cinta selama ini.
"Boleh. Lis dengar dulu apa saya nak cakap." Sekali lagi Izzul pegang kedua-dua belah lengan Lis Dahlia.
"Kita bincang lain kali ajelah. Saya betul-betul sakit kepala ni. Tolonglah jangan pegang-pegang saya. Kita bukan suami isteri lagi. Dah lupa?"
Lis Dahlia pegang kepala. Dia betul-betul pening. Pening melayan kerenah Izzul yang tak berubah dari mula-mula berkahwin sampailah sekarang. Terburu-buru membuat keputusan.
"Janganlah macam ni, Lis." Izzul cuba menghalang laluan Lis Dahlia.
"Tolonglah, Izz. Lepas apa yang terjadi, awak ingat saya ada hati ke nak tengok muka awak sekarang?" soal Lis Dahlia.
Dia mohon supaya Izzul faham situasinya sekarang.Perlahan-lahan Izzul melepaskan lengan bekas isterinya dan biarkan Lis Dahlia melangkah laju masuk ke dalam keretanya.
SAMPAI di rumah keluarganya, Lis Dahlia tunduk sahaja ketika berjalan masuk ke dalam rumah. Dia hempaskan punggung di atas sofa di ruang tamu."Ha, macam mana kes perceraian kau hari ni?" soal Cik Kuntum sambil bercekak pinggang berdiri di ruang tamu.
Lis Dahlia mendongak memandang emaknya. Kemudian dia tunduk semula, bermain dengan jari-jemarinya.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...