Bab 5
KAIN yang sudah siap dibasuh dikeluarkan dari mesin basuh dan dimasukkan ke dalam bakul. Lis Dahlia mengangkat bakul tersebut dan bawa ke ruang laman untuk disidai.
Sambil bernyanyi riang, Lis Dahlia mula menyidai kain. Sudah petang begini baru dia terhegeh-hegeh mahu sidai kain baju miliknya. Sesekali matanya melirik juga ke rumah bertentangan dengan rumahnya. Nampaknya rumah itu kosong, tidak ada penghuni walaupun hari sudah petang.
Bibir Lis Dahlia sesekali mencebik bila mengingatkan Jazman yang selalu curi-curi pandang ke arahnya sewaktu mereka datang makan malam di rumahnya."Kau ambik cuti sampai bila, Dahlia?" soal Cik Kuntum yang sedang menyiram pokok bunga ros kesayangannya.
"Esok orang kerja dah mak," jawab Lis Dahlia sambil mengibas kain sebelum disidai di ampaian.
Cik Kuntum mengangguk tanda faham. Kemudian dia masuk ke dalam rumah bila mendengar suara Pak Deris memanggilnya.
"Roti! Roti!" Sebuah motosikal yang penuh dengan pelbagai jenis roti melewati lorong rumah itu.
Lis Dahlia hanya memandang sekilas kemudian menyambung kerjanya kembali.
"Roti! Roti!" Lelaki berjambang itu terus menjerit dan membunyikan hon.
Lis Dahlia buat tak endah dan masih meneruskan kerjanya.
"Adik manis! Mau roti ka?" Tiba-tiba lelaki Benggali itu berhenti di hadapan rumah Lis Dahlia."Tak mau, bai. Roti masih banyak ada dalam rumah." Lis Dahlia menolak dengan baik.
Dia tersenyum sedikit.
"Rasalah ini satu roti. Roti saya banyak sedap." Bai roti itu masih tidak mahu berganjak, malah dia turun dari motosikalnya.
"Tak mau, bai. Saya tahu roti you banyak sedap. Selalu beli kan." Lis Dahlia sudah mula malas layan.
Dia bertambah cuak bila bai roti itu menghampiri pintu pagarnya dengan sebuku roti.
"Sini marilah adik manis. Rasa saya punya roti. Free kasi awak." Bai roti itu seperti memaksa Lis Dahlia membeli.
"Tak apa bai, terima kasih ya." Lis Dahlia masih sopan melayan.
"Marilah..."
Lis Dahlia menghempas kasar kain yang mahu disidai itu ke dalam bakul semula.
"Tak faham bahasa pulak Benggali ni!" rungut Lis Dahlia dan terus berjalan menghampiri pintu pagar.
"Kan saya kata, saya tak mau beli. You ni tak faham bahasa ke?" Lis Dahlia sudah bercekak pinggang.
Dia amati betul-betul rupa bai roti tersebut. Ternyata bukan bai roti yang selalu lalu di depan rumahnya setiap petang.
"You ni bai baru ke? Mana bai lama yang selalu jual tu?" soal Lis Dahlia berani.
Penjual itu sudah tersengih-sengih. Sesekali dia memerhati ke dalam rumah. Bila dia rasa selamat, dia menggamit Lis Dahlia supaya dekat lagi ke arahnya.
"Lis, ni Izzlah," bisik Izzul sambil matanya meliar ke segenap kawasan rumah bekas isterinya itu.
"Hah? Izz?" soal Lis Dahlia tidak percaya.
Berkerut dahinya merenung wajah lelaki yang dilitupi dengan helmet dan berjambang separas dada. Lebih kurang sama dengan bai roti yang biasa lalu-lalang di kawasan rumahnya.
"Ya, betul. Izz ni." Izzul buka sedikit jambang palsunya.
"Dah kenapa sampai macam ni?"
Terkejut Lis Dahlia melihat keadaan Izzul yang sedang menyamar. Dia juga turut menoleh ke dalam rumah. Risau juga kalau-kalau Cik Kuntum atau Pak Deris yang keluar.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...