Bab 6

62 1 0
                                    


Bab 6
HARI pertama Jazman menjejakkan kaki ke sekolah yang ditempatkan. Dengan azam baru, semangat baru dan suasana baru. Harap-harap dia boleh lupakan kenangan lama yang merobek-robek tangkai hatinya.
Mujur sahaja permohonannya untuk ditukarkan ke sekolah lain di luar negeri diluluskan. Alhamdulillah, Allah mudahkan segala-galanya.
Seluar slek berwarna kelabu gelap, kemeja biru kehitaman dan lengkap dengan tali leher telah tersarung pada tubuh seorang guru bernama Ziad Jazman.
Jazman tersenyum sendiri sewaktu dia menyarung kasut hitam berkilatnya. Teringat Khairy yang membebel kerana disuruh menggosok pakaiannya.
"Lain kali berbini. Tak payah dah menyusahkan aku!" Mulut bertih Khairy terus membebel walaupun tangannya lincah menggosok kemeja Jazman.
Kepalanya terus memandang rumah bertentangan. Dan-dan itu juga Lis Dahlia keluar dari rumah, membuka pintu pagar rumah untuk keluarkan kereta MyVi miliknya.
Inikah bakal isterinya?
Jazman tidak lepaskan peluang. Dia cepat-cepat keluar dan turut buka pintu pagar rumahnya.
"Selamat pagi, Lis," tegur Jazman ramah sambil tersenyum manis.
Lis Dahlia menoleh. Tergamam seketika dia melihat penampilan segak Jazman pagi itu. Mak oi, segaknya!
"Err, selamat pagi. Dah nak pergi lapor diri?" soal Lis Dahlia.
Senyum pun hanya sedikit. Masih takut-takut juga mahu beramah mesra dengan lelaki kacak ini.
Jazman mengangguk senang. Dia senyum lagi kepada Lis Dahlia sehingga tidak keruan wanita itu dibuatnya.
"Saya pergi dulu," balas Lis Dahlia.
Tak berani lagi dia mahu pandang raut wajah Jazman. Terus sahaja dia masuk ke dalam kereta.
Jazman ketawa kecil sambil menggeleng kepala. Akhirnya dia pun mengundurkan kereta, menutup pintu pagar dan terus ke sekolah.


MASUK sahaja ke kawasan sekolah, matanya tidak boleh meliar ke kiri dan kanan. Fokus terus menuju ke pejabat untuk melapor diri.
Dia tahu, sepanjang kakinya melangkah di koridor, ramai mata pelajar-pelajar di sekolah itu tertumpu kepadanya. Lebih-lebih lagi pelajar perempuan. Jazman tidak menoleh bila ada usikan nakal mula bergema di ruang telinganya. Malah, senyumannya juga sangat mahal.
Bagi Jazman, sewaktu bekerja dia harus tegas. Walaupun dia perlu hadapi pelbagai kerenah pelajar.
Selesai urusan berjumpa dengan pengetua, Jazman ditunjukkan di mana bilik guru. Di situ barulah Jazman mula tersenyum dan beramah mesra dengan guru-guru yang lain.
Buat masa ini Jazman hanya diberikan jadual untuk menggantikan waktu guru-guru yang bercuti sebelum mendapat jadual mengajarnya.
Jazman sedang meneliti jadual relief untuk hari itu. Kemudian dia menulis sesuatu di dalam buku laporannya.
"Cikgu baru ya?" tegur seseorang.
Jazman mendongak dan segera berdiri. Dia turut tersenyum kepada seorang wanita yang sedang tersenyum ramah kepadanya.
"Ya. Jazman." Jazman mengangguk tanda hormat.
"I Zaryn. Murid-murid kat sini panggil I Teacher Ryn." Zaryn tersenyum lagi.
"Kalau sesama cikgu, I nak panggil apa ni? Puan Ryn? Cik Ryn?"
"Amboi, cara baru nak tanya I dah berkahwin ataupun belum ke?" seloroh Zaryn.
Mereka ketawa serentak.
Zaryn melintasi belakang kerusi Jazman. Cepat-cepat Jazman alihkan sedikit kerusinya.
"Nampaknya kita berjiran." Zaryn tersengih pula.
Dia letakkan buku-buku yang dipegang sejak tadi di atas mejanya. Kemudian dia hempas punggung di kerusi. Rambut panjangnya diselak ke belakang.
"You dari mana? Kena posting ke sini?" soal Zaryn yang memang terkenal dengan sikap ramahnya.
"Memang sukarela pilih untuk mengajar kat sini. Sebelum ni mengajar di Kuala Lumpur." Jazman tersenyum.
Dia kemudiannya duduk dan kembali menatap kertas relief.
"Hari pertama dah kena mengajar dah?" soal Zaryn lagi. Dia menopang dagu sambil memandang Jazman.
"Tak jugak. Kena relief class ni. Sekejap lagi kena relief kelas 2 Harmoni. Bangunan A. Kat mana ya?" soal Jazman.
"Oh, 2 Harmoni. Bangunan belakang ni. Tingkat dua. Good luck okey." Zaryn tersenyum penuh makna.
Jazman hanya tersenyum. Faham dengan maksud tersirat Zaryn. Kemudian dia kembali memandang Zaryn.
"Kat sini semua pelajar-pelajarnya okey ke? Prestasi macam mana?" soal Jazman ingin tahu.
"Hmm, so far sepanjang I mengajar kat sini, semua okey. Tapi, kena hati-hati ajelah." Zaryn sembunyi senyum.
"Maksud you?" soal Jazman kurang faham.
"Dengan penampilan you macam ni. Segak, bergaya dan ada rupa, I risau pelajar perempuan histeria setiap kali you lalu kelas mereka. Tak pun ramai yang berani mengurat you nanti." Zaryn ketawa tutup mulut.
Jazman mengerling. Dia juga turut ketawa dan menggeleng kepala. Ada-ada sahaja Zaryn. Sikap ramah cikgu wanita itu buat Jazman tidak berasa kekok walaupun pada hari pertama.
Jazman melihat jam di pergelangan tangannya. Masa untuk ganti kelas 2 Harmoni.
"I pergi dulu ya. Nanti senang-senang, bolehlah tunjukkan I bangunan-bangunan kat sini." Jazman sudah bersedia untuk ke kelas yang ditetapkan.
"No problem, Cikgu Jaz. Nanti lunch bolehlah sekali dengan cikgu-cikgu lain jugak." Zaryn tunjuk isyarat peace.
Jazman mengangguk tanda faham. Dia tersenyum dengan sikap ramah dan periang Zaryn.


TIBA waktu pulang, Jazman terus ke keretanya. Beberapa pelajar mula bertegur sapa dengannya. Dia hanya senyum dan mengangguk. Sekumpulan pelajar memandang Jazman tanpa berkelip.
"Handsome siot," puji salah seorang pelajar yang duduk berkumpul di situ.
"Cikgu mana tu?" soal Salwa penuh minat.
"Cikgu baru. Baru aje masuk hari ni. Cair aku tengok dia weh." Dila buat-buat nak pengsan.
"Ruginya aku," luah Salwa perlahan sambil memandang gaya Jazman yang sedang masuk ke dalam kereta.
"Lepas ni, rajinlah kau tu nak jumpa aku lepas sekolah." Dila hanya menjongket kening.
Salwa hanya tersenyum. Dia berumur 18 tahun dan sedang dalam proses untuk mengambil peperiksaan SPM Ulangan (SPMU) memandangkan dia tidak lulus SPM tahun lepas.
"Apa salahnya. Kau kan nak ambik SPM tahun ni. Boleh aku studi sama-sama dengan kau." Salwa tersenyum penuh makna.
Dila yang muda setahun daripadanya hanya mencemik. Tahu sangat apa yang ada dalam kepala Salwa.
"Aku harap aku lulus SPM. Tak payah nak kena ulang SPM macam kau." Dila tersengih-sengih.
Salwa hanya menjeling tajam. Kemudian dia perhati Jazman yang memandu keluar dari pekarangan sekolah. Dia harus tahu siapa cikgu itu. Hatinya sudah mula berbunga-bunga sejak pertama kali melihat Jazman melangkah penuh karisma menuju ke keretanya sebentar tadi.


JAZMAN parkir kereta di luar rumah. Dari dalam kereta lagi dia lihat Khairy sedang mesra berbual dengan Pak Deris dan Cik Kuntum.
Jazman hanya tersenyum dan menggeleng kepala. Memanglah Khairy sangat peramah orangnya. Perlahan-lahan Jazman melangkah masuk ke laman rumah jiran yang duduk bertentangan dengannya.
"Ha, dah balik pun kau. Sinilah minum-minum dulu," pelawa Khairy.
Dia tuangkan air ke dalam cawan yang memang tersedia untuk Jazman.
"Kau ni memang tak reti malu, kan?" gumam Jazman sambil teragak-agak untuk duduk di sebelah Khairy.
"Alahai, nak malu apa, Jazman. Kita kan hidup berjiran. Kebetulan cempedak banyak, itu yang mak cik goreng tu. Dahlia suka ni. Mana dia tak balik lagi?" pelawa Cik Kuntum pula.
"Minum, Jazman. Tak payah nak segan-segan. Anggap aje kami ni macam orang tua kamu berdua, ya." Pak Deris pula menyampuk.
"Terima kasihlah, pak cik, mak cik," ucap Jazman sambil mengambil seketul cempedak goreng yang masih panas itu.
"Sekolah macam mana nyah? Okey?" soal Khairy. Dia ambil lagi seketul cempedak.
Sudah berketul-ketul masuk ke dalam perutnya.
"Okey. Memang masyarakat kat sini semua peramah, ya," puji Jazman sambil tersenyum memandang dua pasang mata yang sedang merenungnya.
Pak Deris dan Cik Kuntum hanya berbalas senyuman. Bangga jugalah bila Jazman memuji begitu.
"Lis kerja apa mak cik?" soal Jazman berhati-hati.
Namun, dalam hati penuh minat.
"Oh, dia kerja kat kafe. Biasanya kafe dia tutup setiap petang, tak bukak sampai malam. Tapi, ni dah lewat petang sangat ni, batang hidung dia pun tak nampak," celoteh Cik Kuntum.
Jazman dan Khairy mengangguk faham. Serentak dengan itu, kereta milik Lis Dahlia diparkir di luar rumah.
Jazman menarik nafas. Spontan dia memegang dada. Entah kenapa dadanya berdebar macam nak pecah sahaja bila melihat Lis Dahlia yang turun dari kereta dan tersenyum kepada orang tuanya.
"Amboi, mak, abah. Bersantai minum petang kat luar. Selalu tak pulak," ucap Lis Dahlia lebih kepada menyindir.
Pak Deris tersengih-sengih. Cik Kuntum hanya tersenyum sambil betulkan piring dan cawan yang masih kosong.
"Kebetulan mak goreng cempedak banyak. Nampak si Khairy ni kat laman. Mak pun panggillah dia minum petang sama. Harapkan kau orang dua beradik, memang tak habis makanlah cempedak ni nampaknya," bebel Cik Kuntum sambil menjeling Lis Dahlia penuh makna.
Lis Dahlia hanya tersipu-sipu sambil matanya sesekali memandang Jazman yang tajam merenungnya. Dia pandang pula Khairy. Lelaki itu hanya ketawa sambil tutup mulut. Berbeza betul riak wajah dua sahabat itu.
"Yalah, mak. Yalah, mak. Bebel tak sudah-sudah, tau." Lis Dahlia hempas punggung atas kerusi.
"Mana aku tak bebel. Kau tu daripada anak dara, dah berlaki sampai dah..."
Tiba-tiba Cik Kuntum berhenti. Kaku sahaja tingkahnya. Hanya bebola mata sahaja bergerak memandang dua lelaki yang setia mendengar bebelannya dari tadi. Mulut Cik Kuntum pun tak sempat tutup.
Pak Deris menyiku lengan isterinya. Terkumat-kamit mulutnya memberi signal yang mereka kini bukan hanya bertiga, tetapi masih ada dua lagi orang asing yang tidak tahu-menahu tentang perkara yang sebenarnya.
"Err... Tambah kopi tu lagi, Jazman, Khairy." Kelam-kabut Cik Kuntum bersuara, mahu cover apa yang dia sudah terlepas kata tadi.
Lis Dahlia menjeling geram maknya. Dia cepat-cepat menuang air kopi untuk dirinya sendiri. Kemudian buru-buru menghirup.
"Err... Malam ni ada pasar malam, kan? Dahlia, belikan abah buntut ayam dua ringgit. Teringin pulak nak makan." Pak Deris cuba selamatkan keadaan.
"Eh, ada pasar malam ke malam ni?" soal Khairy teruja.
"Ha'ah, setiap Isnin malam Selasa ada pasar malam kat simpang tiga sana. Tak jauh, jalan kaki pun boleh." Lis Dahlia sukarela menjawab.
Seboleh-bolehnya mata hanya pandang wajah Khairy sahaja sebab dia tahu kalau dia alih matanya ke kiri, pasti akan bertentang mata dengan Jazman. Lelaki bermata sepet yang suka merenungnya.
Lis Dahlia betulkan lipatan tudung. Rasa tidak keruan bila ada mata yang tanpa segan-silu merenungnya di situ.
"Eh, bolehlah kita pergi dengan Lis, nyah." Khairy sudah menggedik di tempat duduknya.
Dalam fikirannya terbayang macam-macam yang mahu dibeli. Lagipun, dia memang malas memasak malam ini. Dia berdoa supaya Jazman setuju untuk pergi ke pasar malam.
"Lis sudi ke?"
Lembut sahaja nada yang menyapa halwa telinga Lis Dahlia. Teragak-agak dia mahu memandang si empunya suara.
"Err... Kalau nak saya tunjukkan, boleh aje," jawab Lis Dahlia malu-malu.
"Kalau macam tu, malam ni lepas maghrib bolehlah pergi." Mata Jazman masih lagi merenung setiap inci raut wajah putih bersih Lis Dahlia.
Lis Dahlia hanya tersenyum bila matanya menyapa senyuman yang terukir indah di bibir lelaki itu.

Cinta Kuasa DuaWhere stories live. Discover now