Bab 7
SEPERTI yang dijanjikan, Lis Dahlia sudah terpacak menunggu dua lelaki yang masih lagi belum keluar. Dia bersandar pada belakang kereta sambil berpeluk tubuh.
Selang 10 minit, kelihatan kelibat Jazman dan Khairy keluar dari rumah mereka. Lis Dahlia berdiri tegak dan betulkan blaus yang dipakainya.
"Sorry lambat. Khairy ni kalau bersiap mengalahkan perempuan." Jazman tersengih-sengih.
"Ewah, jantan! Sedap mengata aku! Kau tu yang lama depan cermin. Sikat rambutlah, pacak rambutlah. Nak pakai baju apa pun jadi masalah, padahal pergi pasar malam aje. Itu belum lagi dia..."
Segera Jazman tekup mulut Khairy sebelum semua rahsianya pecah.
Lis Dahlia ketawa kecil. Kepalanya digeleng melihat dua sahabat baik itu.
Sampai di pasar malam, Khairy yang paling teruja membeli macam-macam juadah untuk makan malam.
"Awak tak makan?" soal Lis Dahlia sedikit kuat. Cuba lawan suara hiruk-pikuk di pasar malam tersebut.
"Tu, tengok tu Khairy dah beli macam-macam. Dia beli sekali untuk sayalah tu." Jazman tersenyum sambil menoleh, memandang Lis Dahlia di sisi.
Selesai membeli-belah, mereka sama-sama berjalan pulang. Penuh tangan masing-masing dengan plastik makanan.
Lis Dahlia berdeham. Dia lihat Khairy yang berada satu meter di hadapan mereka sedang berbual di telefon.
"Jaz," tegur Lis Dahlia.
Jazman menoleh. Menunggu Lis Dahlia menyambung kata-katanya.
"Umur awak berapa?" soal Lis Dahlia antara dengar dan tidak.
Jazman ketawa spontan. Tak percaya dalam banyak-banyak soalan, soalan itu yang ditanyakan wanita di sisinya ini.
"Awak agak-agak berapa?" soal Jazman kembali.
"Yang pastinya lebih muda daripada saya." Lis Dahlia tunduk. Malu pula tiba-tiba.
Sekali lagi Jazman ketawa.
"Muda, tapi matang tak salah, kan?" Jazman kerling Lis Dahlia di sisi.
Lis Dahlia menoleh. Bertembung pandang dengan lelaki bermata sepet itu. Dia betulkan lipatan tudungnya. Tak tahu nak jawab apa.
"28 tahun," sambung Jazman setelah mereka membisu seketika.
Lis Dahlia mengangguk faham.
"Taklah muda sangat, kan? Kita... tak nampak ada beza pun," ucap Jazman lagi, penuh makna.
Sambil matanya tetap menoleh, memandang raut wajah cantik Lis Dahlia. Semakin giat Jazman mengusik, semakin tidak keruan Lis Dahlia dibuatnya.
"Saya ni dah tua pun. Empat tahun lebih tua daripada awak." Perlahan sahaja Lis Dahlia menuturkan kata-katanya.
"Eleh, empat tahun aje pun," gumam Jazman.
Namun, jelas di telinga Lis Dahlia.
"Jadi, awak kenalah panggil saya kakak," seloroh Lis Dahlia sambil sembunyi senyum.
Jazman hanya menjeling sambil ketawa perlahan. Mereka sama-sama berhenti bila sudah sampai di rumah masing-masing. Khairy beri isyarat untuk masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Jazman hanya mengangguk faham.
"Hmm, Lis." Kepala ditoleh ke sisi.
Lis Dahlia turut memandang raut wajah lelaki yang kini sudah berada di depannya.
"Nak tanya soalan peribadi. Boleh?" soal Jazman teragak-agak.
Lis Dahlia mengusap dagu dan berpura-pura berfikir. Dia sepertinya dapat mengagak soalan apa yang Jazman ingin tanyakan.
"Sebelum bertanya, biar saya tanya dulu. Soalan yang awak nak tanya tu, apa kepentingannya pada awak?" soal Lis Dahlia serius.
Bila lihat Lis Dahlia serius, Jazman juga tidak mahu main-main. Wajahnya juga serius sambil matanya merenung lembut wajah Lis Dahlia dalamsuasana yang berbalam-balam.
"Penting bagi saya. Supaya saya tak salah orang," balas Jazman.
Sengaja meninggalkan tanda tanya.
"Salah orang? Salah orang apa?" soal Lis Dahlia blur.
"Yalah, salah orang. Salah orang untuk saya jadikan calon kekasih hati saya." Jazman sudah tersengih nakal.
Lis Dahlia berdecit sambil mata galaknya menjeling paras nakal yang sudah ketawa itu.
"Sudahlah, saya nak masuk." Lis Dahlia berpaling untuk masuk ke dalam rumah.
"Eh, nanti. Saya belum tanya pun lagi," balas Jazman. Dia kembali serius.
"Cepatlah tanya. Apa dia?" soal Lis Dahlia.
Lembut sahaja suara itu menusuk ke gegendang telinga Jazman. Terleka seketika dia. Entah kenapa, dengan wanita ini, dia jadi tidak keruan sepanjang masa. Lebih-lebih lagi bila mereka dekat seperti ini. Jantung Jazman rasa nak pecah bila melihat wajah naif itu.
"Betul ke... Awak dah..." Teragak-agak Jazman mahu bertanya.
Dia cuma berharap soalannya itu tidak mengundang tapak tangan Lis Dahlia ke pipinya.
"Awak dah..." Jazman cuba sambung lagi.
"Kahwin?" Lis Dahlia yang menyudahkan soalan Jazman.
Nak harapkan Jazman sudahkan soalannya sendiri mungkin berjam-jam mereka duduk berembun di luar rumah.
Jazman melepaskan rasa sesak yang membungkam di dada. Dia tersenyum sedikit melihat paras Lis Dahlia yang tiada segaris senyuman langsung.
"Ya. Saya dah kahwin. Tiga kali."
Lis Dahlia sembunyi senyum bila lihat wajah terkejut Jazman.
"Tiga kali?" Jazman tunjuk bilangan tiga.
Lis Dahlia mengangguk tanpa ragu-ragu.
"Macam mana..."
"Dengan orang yang sama."
"Hah?" Lagilah Jazman terkejut.
Sudah berkahwin tiga kali dengan orang yang sama. Itu bermakna...
"Maknanya..."
"Maknanya saya dah bercerai dan sekarang title saya adalah Miss J. Saya masuk dulu ya, assalamualaikum."
Cepat-cepat Lis Dahlia masuk ke dalam rumah. Rasa mahu hilangkan diri selama berbulan-bulan bila terpaksa mengakui status dirinya sekarang.
"Lis," seru Jazman, namun tidak diendahkan.
Jazman mengeluh sendirian. Dia mengusap tengkuknya sendiri sambil memandang pintu rumah Lis Dahlia yang sudah tertutup rapat.
Jazman, Jazman. Apa yang dah kau buat ni? Pergi tanya soalan yang bukan-bukan buat apa?
Perlahan-lahan kaki Jazman melangkah ke pintu pagar rumahnya sendiri."LAMA kau bergendut, nyah! Raba apa?"
Soalan Khairy seperti biasa. Tidak bertapis.
"Oi! Apa punya soalanlah kau ni?" rungut Jazman sambil menutup pintu gelangsar.
Langsir ditarik menutup penuh pintu gelangsar tersebut. Kemudian Jazman menghampiri Khairy yang sedang menikmati soto ayam kegemarannya.
"Mana aku punya?"
Khairy menunjukkan mangkuk berisi bihun sup yang sudah dipanaskan olehnya.
Dengan berhati-hati Jazman membawa mangkuk itu ke ruang tamu dan meletakkan mangkuk tersebut di atas meja Jepun bersebelahan dengan Khairy yang sedang leka menonton drama Korea kegemarannya.
"Khairy, aku rasa bersalah ni." Jazman mulakan bicara.
Sambil itu dia menghirup kuah bihun sup sementara masih panas.
"Apa dia?" soal Khairy. Matanya masih melekat pada skrin televisyen.
"Lis macam terasa hati dengan aku," balas Jazman serba salah. Dia menoleh ke sisi.
Khairy masih lagi khusyuk menonton drama bersiri kegemarannya.
"Kau dengar tak?" soal Jazman sambil menarik cuping telinga Khairy.
"Eh, sakitlah! Yalah, aku dengarlah ni. Boleh tak nak luah perasaan tu tunggu mak habis tengok drama ni dulu?" Khairy beri jelingan maut sedas.
"Tak boleh. Drama ni kau dah tengok banyak kali. Sekarang kau dengarlah apa aku nak cakap ni." Jazman paksa Khairy memandangnya.
"Okey, bagi mak tarik nafas sekejap."
Khairy pejam mata sambil menghela nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Mata dibuka semula.
"Ha, apa dia?" soal Khairy.
Kalau dia tak layan, siapa lagi di dalam rumah ini yang ada untuk Jazman luahkan perasaan?
"Aku pergi tanya status dia." Jazman buat muka bersalah.
"Hah?!" pekik Khairy.
"Tolonglah aku, Khairy. Dia macam marah aku lepas bagi tahu status dia." Jazman jadi tidak selera hendak makan.
"Apa status dia?" soal Khairy ingin tahu.
"Dia... Miss J," bisik Jazman.
Macamlah ada orang lain selain Khairy di dalam rumah itu.
"Miss J? Janda?" Khairy turut berbisik.
Jazman mengangguk. Dia telan air liurnya sendiri berkati-kati. Dia setia merenung wajah terkejut Khairy. Tetapi, hanya seketika. Wajah Khairy berubah.
Bila Khairy sudah muncungkan bibir, itu bermakna aura Kilafairy sedang meresap dalam tubuhnya. Khairy bersandar pada kaki sofa dan berpeluk tubuh. Dia memandang sinis wajah Jazman.
"So? Kalau janda kenapa? Janda bukan manusia?" soal Khairy sinis.
"Err..."
"Nyah, listen!" Khairy petik jari, seiring dengan goyang kepalanya.
"Zaman ni orang tak pandang dah status janda ataupun anak dara. Menjadi satu kesalahan ke kalau seseorang tu berstatus janda? Kau nak berkawan dengan orang, kau pentingkan status dia ke?"
Mencerlung mata Khairy memandang Jazman yang sudah terkulat-kulat.
"Emm..."
"Apasal nyah? Kau rasa rugi ke tak dapat merasa apa itu dara?"
"Khairy!"
Khairy sudah ketawa nyaring bila Jazman mula bengang dengan sikap lepas cakapnya itu.
"Alah, nyah. Relakslah. Yang ada dara pun kadang-kadang dah sedekah kat orang. Mak berkawan dengan ramai orang, nyah. Mak tahulah." Khairy menjeling paras bingung Jazman.
"Aku tak kisah semua tu. Cuma, aku terkejut. Perempuan secantik dia takkan sampai tiga kali." Jazman menggaru kepala.
"Tak payah kau nak sibuk hal peribadi orang yang lepaslah. Nak berkawan, berkawan aje. Tak payah nak busybody sangat," jeling Khairy.
"Jadinya, apa yang aku kena buat sekarang ni? Dia nampaknya macam terasa dengan soalan aku tadi," ujar Jazman bingung.
"Haih, kau ni nama aje cikgu. Tapi, tak mampu nak sediakan jawapan untuk soalan yang kau cipta sendiri." Khairy menggeleng kepala.
Jazman hanya diam membisu. Bihun yang tadinya panas, sudah sejuk. Seleranya juga sudah putus. Akhirnya, dia menolak bihun itu ke depan. Belakang badannya mula dirapatkan ke kaki sofa.
Jazman mengeluh perlahan. Wajah Lis Dahlia yang menahan malu bila menjawab segala persoalan yang bermain di mindanya kini jelas di ruang mata.
"Esok kalau kau jumpa dia, kau minta maaflah. Itu pun susah ke? Huh... Lelaki keras ketul-ketul macam you all ni memang ego tinggi melangit. Susah betul nak ucapkan kata maaf," selar Khairy sambil bangun dan membawa mangkuk kepunyaannya ke dapur.
Sambil berjalan ke dapur, sambil mulut Khairy tak berhenti membebel. Jazman yang mendengar hanya terkulat-kulat melihat betapa emosinya Khairy membebel.
Terbayang wajah Lis Dahlia tadi. Ada riak sedih dan mungkin juga malu dengan status dirinya. Tak ada niat langsung Jazman mahu mengutuk atau menghina. Dia cuma ikhlas mahu berkawan. Hatinya jatuh suka pula semenjak bungkusan Milo bertukar tangan di Giant tempoh hari.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...