Bab 3
LIS DAHLIA turun dari kereta. Dia cepat-cepat masuk ke rumah sambil kepit bungkusan di celah ketiak. Langsung dia tak toleh kepada penghuni rumah yang sedang sibuk turunkan barang dari dalam lori.
Lis Dahlia cepat-cepat pula masuk ke dalam rumah dan tutup semula pintu. Bungkusan Milo dicampak sahaja di atas sofa. Kemudian langsir tingkap diselak sedikit. Mengintai siapakah gerangan yang baru berpindah di depan rumahnya. Matanya meliar mencari lelaki tinggi lampai berbaju merah.
"Milo aje kau beli, Dahlia?" Cik Kuntum menampar lengan Lis Dahlia yang sedang terbongkok-bongkok mengintai anak teruna.
Tampar sekuat hati tanpa amaran pula tu. Cik Kuntum memang kejam.
"Aduh, mak ni!" Lis Dahlia mengusap lengannya yang terasa perit. Terbantut niatnya nak mengintai lebih lama.
"Kau tengok siapa?" soal Cik Kuntum hairan.
"Tak ada siapa-siapalah mak." Lis Dahlia capai bungkusan Milo dan terus ke dapur meninggalkan Cik Kuntum yang terpinga-pinga.
"Dah kenapa pintu bertutup macam ni?" Cik Kuntum buka semula pintu rumahnya. Matanya terus pandang rumah depan.
"Eh, ada orang baru pindah ke? Patutlah si Dahlia tertonggeng-tonggeng mengintai," omel Cik Kuntum sendirian.
Cik Kuntum masuk balik ke dalam rumah. Terus dia ke dapur mencari anaknya. Kelihatan Lis Dahlia sedang duduk termenung dengan muk berisi Milo panas.
"Dahlia, ada orang pindah ke depan rumah kita ni? Tak ada pulak Kak Jue bagi tahu mak ada orang nak menyewa rumah tu." Cik Kuntum tarik kerusi dan duduk berhadapan dengan anaknya.
Lis Dahlia menghirup perlahan Milo panas buatannya. Wajahnya muram sahaja. Pertanyaan Cik Kuntum dibiarkan sahaja. Bagi Lis Dahlia, tidak penting mana pun orang yang menyewa di depan rumah mereka. Apa yang lagi penting hati dan perasaannya.
"Mak, tadi masa datang sini, orang terserempak dengan Izzul." Lis Dahlia melirik wajah Cik Kuntum.
Cik Kuntum tidak terkejut, malah sua sengih sinis kepadanya. Dia betulkan duduk.
"Dia nak apa daripada kau?" soal Cik Kuntum.
"Apa lagi, mak. Nak rujuk baliklah. Gila ke apa? Mana ada orang dah bercerai talak tiga nak rujuk balik. Melainkan..."
"Ah, kau jangan cuba-cuba nak buat rancangan mengarut tu, Dahlia. Mak tahu apa yang ada dalam fikiran kau tu," jeling Mak Senah.
"Bukan oranglah yang nak, mak. Izzul yang cadangkan rancangan tu."
Lis Dahlia berdecit. Tak pasal-pasal dia pula yang kena tuduh.
"Hmm! Akal si Izzul ni memang tak semenggah," rungut Cik Kuntum.
Kain lap meja yang ada di tangannya ditenyeh ke permukaan meja makan itu.
"Hati orang ni dah sakit sangatlah mak. Tak boleh nak balik dah dengan dia. Cukuplah tiga kali dah dia reject orang," balas Lis Dahlia perlahan.
Jari telunjuk Lis Dahlia bermain-main dengan bibir muknya.
"Sudahlah, Dahlia. Yang lepas tu biar lepas. Jangan dikenang-kenang lagi. Kalau boleh, mak tak nak dia datang sini jumpa kau dah. Nanti apa pulak kata orang kampung. Kau jadi janda ni pun orang dah mula bawak mulut, Dahlia."
Cik Kuntum bangun. Terus badannya menghadap singki dapur. Pura-pura sibukkan diri membasuh dua biji cawan.
Bukan Lis Dahlia tak nampak sesekali Cik Kuntum kesat air matanya dengan hujung lengan baju. Lis Dahlia mengeluh perlahan. Dia tahu bukan senang dia nak bawa diri yang sudah bergelar 'Miss J' ini.
"Mak jangan risau eh. Walau apa pun yang terjadi, orang tetap akan jaga diri. Takkan sekali-kali orang malukan mak dengan abah lagi. Biarlah orang luar nak kata apa, mak. Orang luar bukan tahu pun apa yang jadi." Lis Dahlia mencium pipi maknya.
Mata Cik Kuntum sudah sembap. Dia hanya tersenyum bila pipi tuanya menerima kucupan daripada anak sulungnya.KHAIRY melangkah lembut sambil tersenyum geram dengan sikap Jazman yang sedari tadi terjenguk-jenguk ke sebuah rumah.
"Hei, jantan!" Belakang badan Jazman ditepuk sekuat hati.
Jazman menyeringai kesakitan bila belakang badannya terasa pedih.
"Sakitlah!" protes Jazman sambil menjeling tajam wajah selamba Khairy.
Dia mengusap belakang badannya yang masih terasa perit.
"Kau ni nampak aje lembut! Tapi, kalau pukul orang keluar tenaga jantan kau, kan?" rungut Jazman.
"Padanlah dengan muka kau! Orang semua penat-penat turunkan barang, kau sedap-sedap mengintai anak dara orang! Kau ingat aku tak nampak? Kau mengintai perempuan yang naik MyVi tadi, kan? Yang kepit Milo celah ketiak tu."
Telunjuk Khairy lurus ke batang hidung Jazman yang runcing dan mancung itu.
Jazman julingkan mata ke atas. Sehari melayan Khairy macam 10 tahun lamanya. Sudahlah mereka berdua akan duduk serumah nanti.
"Khairy."
"Kilafairy!"
"Khairy."
"Panggil mak Kilafairy, nyah! Kilafairy." Khairy memeriksa kukunya.
Mana-mana yang kotor dia kuis-kuis sahaja kemudian dia tiup kukunya yang berkilat itu.
Jazman hanya menggeleng kepala. Khairy minat betul dengan pelakon bernama Kilafairy itu. Memang dia ikuti perkembangan pelakon berbibir seksi tersebut. Di biliknya sebelum ini penuh dengan poster Kilafairy. Khairy juga bingkaikan cantik-cantik satu gambar swafoto dia bersama pelakon itu.
"Aku kill nanti baru tahu." Jazman yang melihat hanya menggeleng kepala.
Kadang-kadang geram. Kadang-kadang sikap Khairy menghiburkan. Tapi, apa yang penting, hanya Khairy sahaja yang jadi kawan susah dan senangnya. Khairy sahaja yang paling laju hulurkan bantuan kalau dia betul-betul dalam kesempitan.
Macam sekarang ini, Khairy yang sebelum ini duduk menyewa di rumah lain, sanggup berpindah dan duduk dengannya bila dia tahu Jazman ditukarkan ke Negeri Sembilan. Alasan Khairy, teman serumah lama kuat merokok dan suka sepahkan rumah.
"Eh, kenapa nama kampung ni pelik, ha? Kampung Muka Pecah. Kau tak rasa pelik ke?" soal Jazman.
Mereka duduk di laman rumah, melepaskan lelah selepas lori yang menghantar barang-barang mereka pergi dari situ.
"Agaknya semua kat sini masing-masing muka pecah rumah tak? Kau tu aje yang silap kampung. Sepatutnya kau pindah kat Kampung Muka Jambu. Baru kena dengan kau yang ala-ala Shin Won-ho ni."
Khairy serkap jarang. Dia ketawa sopan sambil tutup mulut.
"Kalau muka pecah, apasal awek tadi cun aje?" Jazman jongket kening berkali-kali.
"Cantik ke? Cantik lagi mak, nyah! Kau ni taste kakak-kakak ke? Aku tengok dia tu macam lagi tua daripada kau," komen Khairy.
"Kau tu perempuan jadian. Siapa yang nak," jeling Jazman.
Dia kembali memandang rumah yang sepi sahaja di laman. Tidak kelihatan sesiapa pun.
"Kalau kau nak tahu, perempuan tadi tulah yang tunjukkan aku jalan ke sini. Itu yang aku tak sangka tu. Berjiran dengan dia rupa-rupanya." Jazman tersenyum malu.
"Eh, Jaz. Tu bapak dia agaknya. Tersengih-sengih angkat tangan tu. Tegur kau agaknya." Khairy menolak perlahan lengan Jazman supaya bangun dan membalas teguran Pak Deris.
Jazman segera bangun. Dia turut bergerak keluar dari pagar rumah bila melihat PakDeris menghampiri mereka.
"Assalamualaikum," tegur Pak Deris.
"Waalaikumussalam." Jazman turut menghampiri lelaki yang dia kira sebaya dengan ayahnya.
Mereka berjabat salam. Begitu juga dengan Khairy.
"Baru pindah sini ke?" soal Pak Deris ramah.
"Ya, pak cik. Saya Jazman. Ni kawan serumah saya, Khairy." Jazman perkenalkan diri.
Khairy juga turut tersenyum dan mengangguk.
"Nama pak cik Deris. Orang semua panggil pak cik, Pak Deris. Tu ha rumah pak cik, bertentangan dengan rumah kamu. Senang-senang singgahlah ke rumah." Pak Deris berbasa-basi.
"Insya-Allah, pak cik. Ada masa, saya akan ke rumah pak cik. Pak cik tinggal berapa orang kat rumah tu?" Jazman mula menyiasat.
"Kat rumah ni pak cik tinggal empat beranak. Pak cik, isteri pak cik dengan dua anak pak cik. Si kakak ada kat dalam tu. Si adik kerja tak balik lagi." Semakin ramah Pak Deris berbual.
Jazman dan Khairy mengangguk tanda faham.
"Terima kasihlah pak cik datang jenguk-jenguk kami ni." Khairy pula menyampuk.
"Kalau nak tolong apa-apa, jangan segan-segan bagi tahu ya. Sekejap lagi anak pak cik yang nombor dua tu balik, bolehlah dia tolong apa-apa." Pak Deris tersenyum lebar.
"Eh, tak apa, pak cik. Tak payah susah-susah. Dah nak siap ni pun. Sikit aje ni. Saja duduk berehat." Jazman menolak dengan baik.
Segan pula rasanya kalau Pak Deris membantu mereka berdua.
"Ha, kalau macam tu, kau orang berdua makan malam aje kat rumah pak cik. Tak payah nak segan-segan. Kita ni berjiran." Pak Deris mahu melangkah pergi.
"Eh, tak payahlah pak cik." Khairy cuba menolak.
"Insya-Allah, pak cik. Insya-Allah." Jazman mengangguk senang sambil tersenyum miang.
Bulat mata Khairy memandangnya.
"Ha, jangan lupa datang tau." Pak Deris ketawa senang.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...