Bab 2

107 3 0
                                    

Bab 2
RUMAH teres yang dihuni bersama Izzul selama lima tahun dipandang sepi. Berakhirlah sudah idahnya. Jadi, dia bercadang untuk keluar dari rumah itu.
Kalau boleh Lis Dahlia mahu cepat-cepat kemaskan barang dan keluar dari rumah itu. Tidak akan dia jejak lagi kaki ke rumah yang mereka sewa bersama itu.
Lis Dahlia cepat-cepat masuk ke bilik dan mengambil semua barang-barang dan dokumen penting miliknya. Barang-barang yang lain akan dia kutip dari semasa ke semasa.
Rumah itu juga akan dijual untuk dapatkan hak masing-masing dalam harta sepencarian. Tidak mahu dia ingat lagi kenangan-kenangan yang dicipta bersama dengan Izzul.
Selesai memasukkan semua barang-barang penting ke dalam beg, Lis Dahlia keluar semula dari bilik yang pernah menjadi saksi saat suka duka hubungan mereka berdua. Dia pejam mata, tidak mahu fikirkan apa-apa lagi.
Elok sahaja kakinya melangkah keluar dari rumah, kereta milik Izzul berhenti di luar pagar. Tersentap jantung Lis Dahlia melihat kelibat Izzul keluar dari kereta dan meluru ke arahnya.
"Lis."
Lis Dahlia kalut sarung kasut dan mahu meninggalkan rumah itu.
"Nantilah dulu, Lis!" Izzul pegang lengan Lis Dahlia.
"Isy, nak apa lagi? Tepilah! Saya tak ada masa nak layan awak. Lagipun, kita dah berjanji takkan berjumpa lagi. Kalau mak awak tahu kita jumpa, dia akan salahkan saya tau."
Lis Dahlia tepis tangan Izzul yang melekap di lengannya. Tak faham bahasa. Orang kata jangan pegang, tetap nak pegang.
"Takkan tak sudi langsung nak berbincang dengan saya?" soal Izzul sedikit emosi.
"Tak ada lagi perkara yang nak dibincangkan dah," bentak Lis Dahlia.
"Ada. Lis lupa ke yang saya nak bincang nak nikah balik." Izzul masih lagi mahu mengharap untuk kembali.
"Hisy, awak ni memang tak faham bahasa! Mana boleh kita bersama balik? Awak dah ceraikan saya kali ketiga, Izz! Kali ketiga!" Lis Dahlia sudah tidak peduli senyaring mana suaranya.
"Muhalil! Perkahwinan muhalil!" Nampak sangat Izzul terdesak.
"Muhalil? Cina buta?"
Pang! Satu tamparan hinggap di pipi bekas suaminya.
Lis Dahlia menjarakkan tubuhnya setapak ke belakang. Tangan yang terketar-ketar itu dipandang. Tidak sangka dia berani meletakkan tangan di pipi bekas suami sendiri. Dia pandang Izzul yang tergamam sambil memegang pipi sendiri.
"Mana awak letak maruah saya, Izz? Hah? Mana? Dalam keadaan macam ni pun awak masih pentingkan diri sendiri."
Kesal sungguh Lis Dahlia dengan sikap Izzul yang tidak pernah berubah.
"Bukan macam tu, Lis."
"Awak tahu tak apa hukum cina buta tu? Hah? Awak ni dari dulu sampai sekarang sama aje. Suka buat keputusan melulu dan tak pernah nak fikir panjang." Sayu kedengaran suara Lis Dahlia.
Izzul hanya mengeluh. Dia masih mengharapkan Lis Dahlia kembali ke pangkuannya.
"Tolonglah, Lis. Saya dah menyesal. Saya nak kita bersama balik."
Rayuan Izzul tidak mampu meruntuhkan hati Lis Dahlia yang sudah mulai keras seperti batu.
"Awak nangis air mata darah sekalipun saya takkan ikut rancangan bodoh awak tu. Kalau saya nak kahwin lain, biar saya kahwin dengan rela hati. Sudahlah, saya nak balik." Lis Dahlia melangkah pergi.
"Tapi, saya betul-betul nak kita bersama balik."
Kaki Lis Dahlia terhenti mendengar kata-kata Izzul. Dia berpaling memandang lelaki itu.
"Kalaulah kita dijodohkan semula pun suatu hari nanti, famili awak tak mungkin akan terima saya. Dia orang dah buang saya pun. Mustahil kita akan bahagia tanpa restu orang tua. Tengoklah apa terjadi pada hubungan kita sebelum ni. Mak awak terima, tapi tak ikhlas sepenuhnya. Sudahlah, carilah perempuan lain yang pandai ambil hati mak dan ayah awak."
Lis Dahlia kembali melangkah dan tidak menoleh lagi. Dia terus masuk ke dalam kereta dan pergi meninggalkan rumah yang banyak menyimpan kenangan antara dirinya dan Izzul.

SEBELUM balik ke rumah, Lis Dahlia singgah di pasar raya Giant terlebih dahulu. Malas dia nak balik ke rumah dalam keadaan stres begitu.
Dia pula jenis yang tak pandai menipu. Jenis yang setiap rasa hatinya akan terpamer pada wajah. Dia tidak mahu Cik Kuntum atau Pak Deris risau dan bertanya macam-macam.
Masuk sahaja ke dalam Giant, Lis Dahlia terus ke bahagian minuman 3 dalam 1. Bungkusan Milo yang diletakkan di rak paling atas sekali. Sudahlah hanya tinggal dua bungkus kecil dan jauh ke dalam pula.
"Isy." Lis Dahlia berusaha capai bungkusan Milo tersebut.
Masih juga tidak berjaya. Dia tidaklah rendah sangat, tapi kalau dah bungkusan kecil itu jauh ke dalam, payah juga dia nak capai.
Lis Dahlia pandang ke kiri dan ke kanan. Bila lorong bahagian minuman itu tidak ada yang lalu, perlahan-lahan dia panjat rak paling bawah dan cuba mencapai bungkusan Milo.
"Ya Allah... Apa yang susah sangat ni?" rungutnya sendirian di situ.
"Ehem."
Suara berdeham itu buatkan Lis Dahlia betul-betul terkejut. Cepat-cepat dia turun dari rak dan berpaling. Dia sangkakan pekerja Giant yang menegurnya, tetapi bila dia mendongak, kelihatan seorang lelaki berwajah selamba mengambilkan bungkusan Milo tanpa perlu bersusah payah memanjat.
Terkelip-kelip mata Lis Dahlia melihat perlakuan lelaki itu. Dia masih kaku biarpun lelaki itu sedang hulurkan bungkusan Milo kepadanya.
"Milo cik," tegur lelaki itu sambil tersenyum manis.
Dia masih setia menghulurkan bungkusan Milo itu kepada Lis Dahlia.
"Err... Terima kasih." Perlahan-lahan Lis Dahlia ambil Milo di tangan lelaki itu.
Dia cuba ukir senyuman, namun gagal. Canggung pula rasanya bila melihat lelaki segak di hadapannya.
Lis Dahlia berpaling dan mahu pergi, tetapi lelaki itu masih bersuara.
"Cik."
Lis Dahlia menoleh. Menunggu lelaki itu yang sedang keluarkan sehelai kertas yang berlipat dalam poket belakang seluar jeannya.
"Err, cik tahu tak kat mana Kampung Muka Pecah? Betul ke tak jauh dari sini?" soal lelaki itu.
"Eh, itu nama kawasan perumahan saya. Encik nak cari siapa?" soal Lis Dahlia.
"Oh, tak. Saya baru aje berpindah ke kawasan ni. Lori dengan kawan serumah saya dah ke kawasan tu. Saya singgah sini kejap. Saya ni bakal mengajar kat Sekolah Menengah Seri Gading," cerita lelaki itu jujur sambil tersenyum.
Hampir cair pula hati Lis Dahlia melihat senyuman manis lelaki itu. Lis Dahlia! Sila sedar! Kau tu baru habis idah.
Lis Dahlia cepat-cepat tersedar. Dia juga turut tersenyum. "Oh, cikgulah niya."
"Ya. Saya Jazman. Ziad Jazman." Jazman menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat.
"Saya Lis Dahlia. Biasa kawan-kawan panggil Lis." Lis Dahlia membalas senyuman Jazman.
"Kalau awak nak saya tunjukkan kawasan perumahan tu, jomlah." Lis Dahlia menawarkan diri untuk membantu.
"Boleh ke? Tak menyusahkan ke ni?" soal Jazman lagi.
"Eh, tak apa. Lagipun saya dah selesai beli barang-barang ni." Lis Dahlia tersengih.
"Beli Milo aje?" soal Jazman sambil pandang sebungkus Milo dalam troli Lis Dahlia.
"Err... Ha'ah. Milo aje yang habis kat rumah tu." Lis Dahlia garu dahi. Sesekali dia betulkan lipatan tudung bawalnya.
Sebenarnya ada lagi barang dia nak beli, tapi dah dia tawarkan diri nak bantu lelaki di hadapannya ini, terpaksalah datang semula ke Giant lain hari.
"Kalau macam tu, terima kasih Lis," ucap Jazman.
Lis Dahlia hanya mengangguk.
Mereka sama-sama menolak troli ke bahagian juruwang. Sesekali mata Lis Dahlia memandang lelaki tinggi lampai yang memakai T-shirt berkolar warna merah. Lis Dahlia mengagak lelaki itu sedikit muda daripadanya.
Selesai membayar harga barangan, Lis Dahlia mendekati Jazman.
"Saya tunggu kat simpang keluar Giant sebelah kiri," beritahu Lis Dahlia.
Jazman mengangguk. Mereka melangkah ke kereta masing-masing. kemudian kereta Jazman mengekori belakang kereta Lis Dahlia. Dalam masa 10 minit, Lis Dahlia berhenti di tepi jalan bila masuk ke kawasan Kampung Muka Pecah.
Dia turun dari kereta dan menghampiri Honda Jazz milik Jazman. Jazman menurunkan cermin keretanya.
"Sinilah kawasannya. Encik Jazman boleh terus ke alamatnyalah." Lis Dahlia tersenyum sedikit.
Jazman mengangguk tanda faham. "Terima kasih, Lis."
Mereka berpisah di situ. Lis Dahlia masuk semula ke dalam kereta dan terus bergerak balik ke rumah orang tuanya.
Selepas beberapa minit memandu, Lis Dahlia mula perasan kereta milik Jazman masih mengekorinya. Dia jadi tidak sedap hati. Lis Dahlia belok ke kiri, dia juga belok ke kiri.
Akhirnya, Lis Dahlia perlahankan kereta dan beri isyarat supaya Jazman juga ikut berhenti. Wajah Lis Dahlia sudah sedikit kelat. Dia keluar dari kereta dan terus menghampiri Jazman.
"Encik Jazman kenapa ikut saya? Encik dah boleh ke rumah baru encik. Inilah Kampung Muka Pecah," ujar Lis Dahlia sambil memerhati sekeliling.
"Saya tak ikut awak pun, Lis. Saya nak ke rumah baru sayalah ni. Ni alamatnya. Nombor 230, Lorong Jerawat Lima." Jazman yang berada di dalam kereta mendongak, memandang wajah Lis Dahlia.
Lis Dahlia diam sejenak. Kalau ikutkan alamat yang Jazman bagi, rumah itu betul-betul berhadapan dengan rumahnya. Rumah itu memang kosong.
Jangan-jangan Jazman ni berjiran dengannya tak? omel Lis Dahlia dalam hati.
"Err... Kalau macam tu tak apalah. Saya pergi dulu." Lis Dahlia buru-buru menuju ke keretanya.
Jazman memandang pelik wanita itu, tetapi dia tetap tersenyum. Terhibur hatinya melihat gelagat Lis Dahlia.
Kereta Lis Dahlia terus memecut. Sesekali dia melihat cermin pandang belakang. Kereta Jazman masih berada di belakangnya.
Lis Dahlia ketap bibir. Dia terus pusing stereng keretanya ke lorong kiri walaupun sepatutnya dia belok ke kanan. Lis Dahlia kerling kereta Jazman yang masuk ke lorong kanan.
"Hmm, sahlah dia ni berjiran dengan aku." Lis Dahlia melepaskan keluhan.
Bukan apa, dia rasa malu bila tadi dia ingatkan Jazman sengaja mengekorinya. Dasar perasan!
Selang lima minit dia menunggu di simpang itu, Lis Dahlia akhirnya menggerakkan kereta dan pulang ke rumah.

Cinta Kuasa DuaWhere stories live. Discover now