Bab 13

54 1 0
                                    

Bab 13
SIAP memasak, Lis Dahlia masukkan sebahagian kari ikan tenggiri itu ke dalam bekas. Kemudian dengan cermat dia menutup lauk tersebut dan diletakkan di atas meja.
Luthfi yang baru pulang daripada kerja menegur kakaknya yang sudah siap sedia mahu hantarkan lauk kepada Jazman dan Khairy.

"Kau nak hantar ke mana lauk tu kak?" soal Luthfi.
Dia menuju ke peti ais. Cawan yang tergantung di almari diambil. Air di dalam botol minuman dituang ke dalam cawan dan diteguk perlahan.

Lis Dahlia masih setia menunggu adiknya selesai minum. Terkebil-kebil memandang wajah yang nampak letih itu.

"Dah kenapa kau tengok aku? Soalan aku pun tak berjawab lagi." Luthfi masih belum dapat tangkap apa yang bermain dalam fikiran kakaknya.

"Dik, kau tolong aku boleh?" soal Lis Dahlia.
Sengaja dia cuba nasib. Untung-untung adiknya mahu menolong walaupun dia tahu harapan itu sangat tipis.

"Tolong apa pulak?" soal Luthfi sambil mengangkat tudung saji.

"Fulamak! Kari ikan. Kau masakkan favourite aku ni kak. Sayang kau!" Luthfi menepuk-nepuk perutnya yang sudah mula berkeroncong.

Dia mahu mengambil pinggan.

"Eh, nanti!" tegah Lis Dahlia.

Luthfi mendengus dan malas-malas dia pandang kakaknya.

"Kau tolonglah aku dulu," ucap Lis Dahlia separa merayu.

"Tolong apa pulak? Dua kali dah aku tanya ni. Kali ketiga kau tak cakap apa benda yang kau suruh aku tolong tu, aku betul-betul tak nak tolong nanti," ugut Luthfi.

Dia menjeling kakaknya. Orang dah lapar, dia minta tolong pula.

"Kau tolong hantarkan lauk ni kat jiran baru kita tu." Lis Dahlia buat muka comel sambil menunjukkan bekas di tangannya.
Luthfi sudah tersenyum penuh makna. Sesekali dia mencebik.

"Ha, tu mengata aku dalam hatilah tu! Ni mak yang suruh hantar tau." Lis Dahlia menjeling adiknya.

"Mak yang suruh hantar ke kau yang psiko mak? Lepas tu mak pun percaya cakap-cakap kau," tebak Luthfi sambil mengerutkan dahinya.

"Eh, mana ada! Cepatlah tolong aku," balas Lis Dahlia.
Dia tidak ambil peduli tuduhan Luthfi tadi. Apa yang penting, hajat orang dia mahulah tunaikan.

"Okey, aku memandang dari segi cakap-cakap orang pasal kau. Jadi, aku temankan kau aje. Kau bagi sendiri." Luthfi beri kata putus.

Lis Dahlia berfikir sejenak. Ada betulnya juga kata-kata Luthfi. Kalau dia pergi sendirian, nanti jadi buah mulut orang pula.

"Kalau macam tu, jomlah cepat." Lis Dahlia keluar dari ruang dapur. Dia meletakkan bekas berisi lauk di atas meja.

Tudung bawal yang sudah sedia tersangkut di kerusi disarungkan ke kepala.

"ASSALAMUALAIKUM," ucap Lis Dahlia dari luar pagar.
Sesekali dia memandang kiri dan kanan. Risau juga kalau-kalau ada jiran yang menjenguk.

"Assalamualaikum," ucap Luthfi pula. Kali ini lebih kuat dan lantang.

Mereka menunggu seketika.

Lis Dahlia pandang Luthfi, Luthfi pandang Lis Dahlia yang setia memegang bekas berisi lauk. Akhirnya, Luthfi menolak pintu pagar yang tidak berkunci dan mereka menghampiri pintu gelangsar.

Luthfi mengetuk cermin pintu tersebut sambil kepalanya cuba mengintai di sebalik langsir yang bertutup.

"Mengunyit agaknya tak, kak?" seloroh Luthfi.

"Hei! Tak baiklah kau ni." Lis Dahlia jeling adiknya.
Luthfi tersengih-sengih. Sengaja dia mahu mengusik kakaknya.

"Assalamualaikum," ucap Luthfi lagi.

Cinta Kuasa DuaWhere stories live. Discover now