Bab 8
SELEPAS makan malam, Lis Dahlia masuk ke dalam bilik. Hatinya tidak tenang selepas berbual dengan Jazman. Dia mundar-mandir di dalam bilik. Rasa malu mula menyerang dirinya.
"Apa bendalah yang aku cakap kat dia tadi eh? Alahai, malunya..." Lis Dahlia menepuk dahinya sendiri.
Dia menghempas tubuh di atas katil. Terlentang sambil memejamkan mata.
"Macam mana esok kalau terserempak dengan dia? Nak menyorok kat mana?" Lis Dahlia masih berkata-kata sendiri.
Kemudian dia buka mata. Lis Dahlia bingkas berdiri dan menutup lampu biliknya. Perlahan-lahan dia terhendap-hendap menghampiri tingkap biliknya yang bertentangan dengan rumah hadapan.
Langsir bilik diselak sedikit. Lis Dahlia boleh melihat dengan jelas bilik Jazman yang terang-benderang. Tingkap bilik lelaki itu dibuka luas-luas. Langsir juga diselak luas, mungkin mahukan udara malam berhembus masuk ke dalam biliknya.
"Apa dia buat tu?" soal Lis Dahlia sendirian.
Dia picingkan mata melihat apa yang dilakukan oleh Jazman. Jazman sedang duduk menghadap tingkap dalam keadaan tidak berbaju.
Lis Dahlia masih terbongkok-bongkok memerhati. Kelihatan Jazman sedang duduk di meja komputer dan khusyuk membaca sesuatu.
"Takkan hari pertama dah tanda paper kut?" soal Lis Dahlia lagi.
"Dia tulis RPH agaknya," balas satu suara.
Terus Lis Dahlia menjerit dan berdiri tegak di tepi tingkap. Kemudian dia tutup mulut. Kepalanya ditoleh, memandang ruang tingkap bilik Jazman. Lelaki itu sedang memandang ke ruang biliknya. Cepat-cepat Lis Dahlia bertinggung di situ.
"Kau ni tak guna betullah!" Keras dalam berbisik suara Lis Dahlia memarahi adiknya.
"Aku curious tengok kau tertonggeng-tonggeng menghendap. Aku pun joinlah." Selamba sahaja Luthfi menjawab.
Sesekali dia turut mengintai apa yang diintai kakaknya tadi.
"Tak payahlah kau intai lagi. Nanti dia perasan pulak. Eh, macam mana kau boleh masuk ke bilik aku ni?" soal Lis Dahlia hairan.
Dia tarik tangan adiknya untuk sama-sama bertinggung di situ. Lis Dahlia pandang pintu biliknya yang ternganga luas. Rasa-rasanya dia sudah tutup pintu.
Ke... dia memang lupa tutup pintu tadi?
"Kau yang tak tutup pintu bilik. Aku lalu depan bilik kau, tengok bilik gelap aje, tapi tuannya terbongkok-bongkok mengintai anak teruna orang," usik Luthfi.
"Bila masa aku mengintai anak teruna orang?" Lis Dahlia cuba menafikan.
Terkulat-kulat dia di situ.
"Sudahlah kak. Kau tak payah nak tipu akulah. Taktik kau ni aku dah guna masa aku kat kolej dulu. Aku siap bawak teropong intai asrama perempuan."
Luthfi bangkit dan menuju ke katil kakaknya. Dia rebahkan badan sambil menyilang kedua-dua belah tangan di belakang kepala.
Lis Dahlia pula perlahan-lahan berdiri dan menutup langsir biliknya. Dia berjalan ke tepi katil dan suis lampu tidur dipetik.
"Kak, kalau kau berkenan kat cikgu tu, kau pergi cakap ajelah kat dia. Hai, Cikgu Jaz, saya nak berkenalan dengan awak. Minta nombor telefon, boleh? Senang. Selesai masalah kau, kak."
Cadangan Luthfi buat Lis Dahlia mendengus geram. Langsung tidak membantu.
"Kau ingat aku perempuan apa?" soal Lis Dahlia sambil bercekak pinggang.
Luthfi duduk pula. Dia bersila di atas katil sambil menghadap tubuh kakaknya yang sudah duduk berlunjur sambil bersandar pada kepala katil.
"Kak, zaman sekarang ni dah tak ada perempuan malu-malu kucing macam kau ni. Siapa cepat dia dapat. Siapa lambat, andartulah jawabnya. Macam kes kau ni, kalau kau lambat, tak kahwin semulalah kau sampai tua. Nanti kau tua siapa nak jaga kau, kak? Takkan aku?" bebel Luthfi.
"Kaulah. Kau kan adik aku."
Lis Dahlia layan sahaja perangai tak betul Luthfi.
"Ah, tak naklah aku cebok berak kencing kau. Bakal bini aku pun nanti kekwat, mesti tak nak punya. Terpaksalah aku hantar kau kat rumah orang-orang tua," usik Luthfi.
"Kurang asam punya adik." Bantal sudah tepat mengenai kepala Luthfi.
Luthfi hanya ketawa geli hati dengan kata-katanya sendiri. Melihat ekspresi Lis Dahlia, ternyata dia berjaya mengusik kakaknya. Lantas, mengundang perasaan bahagian dalam diri Luthfi.
"Keluarlah. Aku nak tidur!" halau Lis Dahlia.
Dia sudah berbaring dan memeluk bantal goleknya sambil pura-pura pejam mata.
"Kak, ingat apa aku cakap ni. Kalau kau suka, cepat kak. Aku tengok Cikgu Jaz tu pun boleh tahan. Lagi satu, dia pun macam berkenan kat kau."
Sempat Luthfi beri nasihat sebelum tutup pintu bilik Lis Dahlia.
Sebaik sahaja terdengar pintu bilik ditutup, Lis Dahlia buka mata semula. Kata-kata Luthfi mula ternginag-ngiang di telinganya. Aku sukakan dia ke? Takkanlah? Tak ada rasa berdebar pun. Spontan Lis Dahlia memegang dadanya.
Tapi, kalau aku dah pandang dia, susah untuk aku alihkan pandangan. Itu aje. Lis Dahlia bermonolog sendiri dalam hati.
Malas melayan kata hati yang dah mula merepek, Lis Dahlia ambil sebiji lagi bantal dan dihempap ke mukanya.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...