Bab 14
PANAS betul hati Izzul dibuatnya. Ternampak-nampak senyuman dan gelak ketawa Lis Dahlia tempoh hari sewaktu dia mahu mengintai rumah bekas isterinya itu.Dengan jelas dia dapat lihat Lis Dahlia dan seorang lelaki sedang berbual sewaktu membeli ikan di Lori Pon-Pon. Nampak mesra juga di mata Izzul.
Semenjak dari hari itu, hidupnya mula tidak keruan. Risau kalau-kalau Lis Dahlia sudah jumpa lelaki lain. Melepaslah peluangnya untuk kembali bersama dengan bekas isterinya itu. Putih mata pula kalau dia lepaskan Lis Dahlia ke tangan orang lain.
Jadi, hari ini dia ada satu misi. Kudin Sumbing pun dia dah telefon untuk jumpa di warung Cik Jah Bongek ini. Teh tarik disisip penuh nikmat sambil menunggu Kudin datang.
Selalu pagi-pagi Lori Pon-Pon akan singgah di warung ini untuk menghantar pesanan Cik Jah."Assalamualaikum, bang," sapa Kudin sambil menepuk kuat bahu Izzul.
Hampir tersembur air yang baru dihirupnya.
"Ha, sampai pun kau!" jeling Izzul.
"Sorry, bang. Ada hal tadi. Nak pergi dah ke? Jomlah." Kudin sudah bersedia.
Dia faham dengan apa yang Izzul terangkan kepadanya melalui telefon malam semalam.
"Eh, amboi. Tak menyempat pulak kau, kan?" sindir Izzul sambil tersenyum sinis.
Kudin hanya tersengih-sengih sambil mengusap tengkuknya. Dia duduk di hadapan Izzul. Menunggu lelaki itu selesai menikmati sarapannya.
"Kau dah sarapan?" soal Izzul sekadar berbasa-basi.
"Dah, bang. Dah makan kat rumah tadi," balas Kudin sopan.
Izzul terangguk-angguk. Dia meneliti Kudin di hadapannya. Dia yakin Kudinlah orang yang paling sesuai untuk dia capai hasratnya.Selesai sahaja Izzul meneguk teh tarik, Lori Pon-Pon muncul dan Ameng mula mengeluarkan bahan-bahan yang dipesan oleh Cik Jah.
"Kita kena ikut Lori Pon-Pon. Nanti Ameng berhenti kat lorong rumah janda aku tu, kita cepat-cepat jumpa dia. Biar aku cakap kat Lis tentang rancangan yang aku ceritakan kat kau tu," pesan Izzul perlahan.
Kudin mengangguk tanda faham. Dia juga teruja dengan rancangan Izzul. Siapa yang tak mahukan Lis Dahlia yang cantik itu? Semua orang idamkan, tetapi rezeki Izzul yang dapat mengahwini wanita itu. Tetapi, Izzul buat rancangan pasti ada syaratnya.
"Kau kena ingat apa yang aku cadangkan tu. Tiga hari aje aku bagi can. Kalau lebih, kau tahulah nasib kau." Izzul tunjuk penumbuk.
Izzul buat rancangan macamlah Lis Dahlia akan bersetuju dengan rancangan mengarutnya itu.
Kudin menggeleng-geleng kepala. Dia faham maksud Izzul. Dia juga tidak berani lebih-lebih.
Izzul tersenyum puas hati. Dia juga tahu Kudin tidak akan berani bertindak lebih daripada apa yang dirancangkan. Dia tahu Kudin seorang yang lurus bendul. Sebab itulah dia pilih Kudin sebagai perantaranya.
Lori Pon-Pon sudah bergerak. Izzul juga berdiri diikuti oleh Kudin.
"Okey, jom. Naik sekali dengan aku aje." Izzul sudah bersedia menunggang motosikalnya.
Cepat-cepat Kudin membonceng. Motosikal bergerak dan mengekor ke mana sahaja Lori Pon-Pon pergi. Nasib mereka baik bila Lori Pon-Pon masuk ke lorong rumah Lis Dahlia terlebih dahulu.
"Okey, kita standby kat sini. Tunggu sampai janda aku keluar, baru kita ke sana," arah Izzul.
"Abang takut dengan bekas isteri abang tu ke?" soal Kudin jujur.
"Aku tak takut dengan dia. Tapi, aku malas nak bertembung muka dengan bekas mertua aku. Nanti langsung aku tak dapat jumpa Lis lagi," jawab Izzul panjang lebar.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...