#CintaKuasaDua
#LisJazman
#HannyEsandraBab 4
MALAM itu, Cik Kuntum sudah sediakan berbagai jenis lauk-pauk untuk menjamu jiran baru mereka. Lis Dahlia juga sibuk membantu maknya di dapur."Hah, siap dah ke?" Pak Deris yang baru muncul ke dapur melihat-lihat juadah di atas meja makan.
"Siap dah ni. Abah ni, macam kenal rapat aje dengan jiran baru tu sampai nak bawak naik ke rumah. Asal jumpa orang saja, bawak naik ke rumah. Asal jumpa orang saja, bawak naik ke rumah."
Sengaja Lis Dahlia mengulang dialog Roseyatimah dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Dia tahu Pak Deris kaki filem P. Ramlee.
Tersengih-sengih Pak Deris mendengar kata-kata Lis Dahlia. Kemudian matanya beralih memandang Cik Kuntum yang senyap sahaja dari tadi.
"Dah siap tu awak pergilah bersiap-siap pulak, Cik Kuntum. Berpeluh-peluh dah tu." Pak Deris mahu mengusik.
"Ini semua angkara awaklah, Bang Deris. Ajak tetamu tak menyempat-nyempat. Ajaklah malam esok ke, malam lusa ke. Tengok, juadah apa ajelah kita bagi kat budak-budak tu. Kesian tau," bebel Cik Kuntum.
Dia mengesat peluh yang merenik di dahi dengan hujung lengan bajunya.
"Okey apa ni, mak. Gulai lemak sardin, telur mata kicap dengan bawang bertaburan, kangkung goreng belacan, ulam raja cicah sambal tempoyak. Sedap apa ni. Tak sabar orang nak mencekik," sampuk Luthfi sambil menggosok kedua-dua belah tapak tangannya.
Dia cuba meratah sayur yang sudah cantik tersusun di atas meja. Cepat tangan Lis Dahlia menampar tangan nakal Luthfi. Luthfi berdecit sambil menjeling kakaknya.
"Alah, kak. Aku tahulah jiran depan ni lelaki. Kau pun bersemangat tolong mak sediakan semua ni. Siap buat koktel lagi. Kat aku pun kau tak pernah buatkan, kak," kompelin Luthfi.
"Eh, ada aku kisah ke jiran depan ni lelaki ke perempuan?" Lis Dahlia jegil biji mata.
Gugup rasa hati Lis Dahlia. Tak ada siapa yang tahu dia sudah pun berkenalan dengan salah seorang jiran mereka itu.
Luthfi ketawa sakan. Sengaja mengenakan kakaknya.
Semenjak kakaknya bergelar janda, dia selalu sahaja cuba memperkenalkan kakaknya dengan mana-mana kawannya yang masih single. Bukan dia tak sensitif dengan keadaan kakaknya sekarang, tetapi dia tidak mahu kakaknya itu terus hanyut dibuai perasaan.Bagi Luthfi, hidup mesti diteruskan. Rugi kalau setiap masa, setiap saat hanya duduk mengenang perkara yang menyedihkan.
LIS DAHLIA mengintai di sebalik dinding berhampiran tangga. Dia melihat Jazman dan Khairy tersenyum-senyum dan berjabat salam dengan abah dan adiknya."Haisy, terintai-intai. Macam anak dara mengintai anak teruna." Cik Kuntum sembunyi senyum.
"Isy, apalah mak ni. Orang nak tengok rupa paras jiran tetangga yang abah beria-ia ajak makan malam tu." Lis Dahlia menjeling Cik Kuntum yang masih lagi tersenyum-senyum.
"Ah, sudahlah. Jomlah tolong mak kat dapur. Bawak makanan ke meja makan kat ruang makan tu." Cik Kuntum mencuit lengan Lis Dahlia.
Berdebar-debar Lis Dahlia mahu bawa lauk-pauk ke meja yang disediakan di ruang makan. Sesekali dia memeriksa wajah dan letak tudungnya di kepala. Manalah tahu kalau tudungnya senget-benget. Baju kurung kain kapas juga dibetul-betulkan.
Terlihat sahaja kelibat Lis Dahlia, Jazman terus menoleh. Tak berkelip dia memandang wanita yang sedang menyusun atur lauk-pauk di atas meja makan. Dari ruang tamu dia boleh lihat ruang makan dengan jelas. Tiada segaris senyuman, tetapi wajah Lis Dahlia tetap menawan.
Selang beberapa minit, Cik Kuntum pula ke ruang makan. Dia meletakkan dulang berisi minuman dan koktel yang dibuat oleh Lis Dahlia tadi.
"Sini, Kuntum, Dahlia. Kenal-kenallah dengan jiran baru kita ni." Pak Deris tersenyum lebar.
YOU ARE READING
Cinta Kuasa Dua
RomanceTajuk: CINTA KUASA DUA Penulis: HANNY ESANDRA Harga: RM24 / RM27 ISBN: 978-967-2116-28-8 Betulkah ada peluang kedua? Tapi, bukan dengan orang yang sama? Ada. Jazman dan Lis Dahlia. Seorang teruna. Seorang janda. Seorang guru yang secara sukarela d...