Bab 10

55 0 0
                                    

Bab 10
WAKTU rehat, Jazman dan Zaryn menuju ke kantin. Mereka berjalan beriringan sambil berbual di satu lorong kaki lima khas menuju ke kantin.

Sewaktu melalui lorong kaki lima tersebut, beberapa orang pelajar juga lalu di situ. Jazman dan Zaryn perasan mereka berbisik sesama sendiri dan menjeling-jeling ke arah mereka berdua.

Zaryn sudah sembunyi senyum. Dia masak benar dengan kenakalan pelajar-pelajar di sekolah itu.
Jazman masih selamba dan teruskan sahaja berbual dengan Zaryn seperti biasa.

"Selamat tengah hari, cikgu," ucap salah seorang pelajar kepada Jazman.

Pelajar itu tersenyum manis sambil matanya tak lepas daripada memandang raut wajah Jazman.

Jazman turut tersenyum dan mengangguk. Kemudian dia memandang ke hadapan semula.

Jelas di telinga Jazman dan Zaryn yang pelajar-pelajar tadi menjerit teruja bila Jazman tersenyum kepada mereka. Zaryn menoleh seketika. Kelihatan para pelajar tadi tertoleh-toleh ke belakang, memandang Jazman sambil berbisik sesama mereka.

"Habislah you," ucap Zaryn ringkas.

Jazman menoleh. Tersenyum kekok tanda tidak faham.
"What?"

"I macam dah dengar-dengar gosip tentang you. Memang you ramai peminat kat sekolah ni." Zaryn sembunyi senyum.

"Alahai, Ryn. Dia orang semua tengah meningkat remaja. Biasalah tu," balas Jazman.

Dia tidak ambil pusing langsung tentang hal itu. Apa yang dia tahu, dia bekerja dan berkhidmat untuk negara. Bekerja menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat. Tak mungkin dia mahu menyalahgunakan kuasanya sebagai seorang guru.
Di bilik rehat di kantin, Jazman dan Zaryn sama-sama mengambil nasi dan pilihan lauk-pauk yang disediakan. Kemudian mereka duduk di satu tempat.

"I sendiri naik letih, Jaz. Letih nak jawab bila pelajar-pelajar kelas I tanya pasal cikgu math baru tu. Soalan paling famous, Cikgu Jaz dah kahwin ke teacher? Haih, budak-budak sekarang," keluh Zaryn dalam tawanya.

Jazman juga turut ketawa sambil menggeleng kepala. Situasi seperti itu sudah terlalu biasa dia lalui. Di sekolah lamanya juga begitu. Disebabkan satu peristiwa jugalah dia bawa diri sampai ke sini.

Jazman pejam mata dan buang bayangan silam itu jauh-jauh.

"Biarlah, Ryn. Asalkan I tak melampaui batas dan pelajar-pelajar tu tak melebih-lebih sudahlah."

"Betul tu. Kita ni kena tegas dan tegur kalau mereka ada lakukan kesalahan. Kalau tak, pelajar tak hormat kat kita. I memang tak bagi muka kalau sampai dah tak ikut arahan I. Gurau, gurau jugak, tapi biar kena pada tempatnya," bebel Zaryn.

Jazman hanya tersenyum. Dia bersetuju dengan apa yang Zaryn cakapkan. Malah, dia juga begitu.

"Tapi, I nak tahu jugak. You dah kahwin ke belum?"
Soalan Zaryn buat Jazman yang sedang menyedut air tersedak. Terbatuk-batuk jadinya.

"Sorry, sorry, Jaz." Zaryn tersengih geli hati.

"You pun sama macam anak murid you ke?" Jazman masih terus menyedut minumannya.

Zaryn ketawa pula. Dia masih menunggu jawapan daripada Jazman.

"Belum. Sedang mencari calon." Jazman tersengih-sengih.

"Ruginya! Kacak bergaya macam ni masih tak ada calon? Tsk. Tsk. Tsk." Zaryn menggeleng kepala ala-ala terkilan sambil kecilkan matanya.

"Belum ada jodoh, nak buat macam mana. I pun tengah cari-cari jugak ni. You ada calon?" seloroh Jazman.

Mulutnya sahaja yang berseloroh, tapi dalam hati sepertinya sudah ada satu nama yang mula bertapak.

"Ni mesti kes you memilih. Itu tak kena, ini tak kena. Hisy, tak naklah I jadi matchmaker. Buat sakit kepala aje," balas Zaryn. Laju dia menggeleng kepala.

Jazman ketawa. Kemudian dia melihat jam di pergelangan tangan.

"Jomlah, lepas rehat I ada kelas ni."

Mereka sama-sama meninggalkan ruangan kantin yang sudah mulai lengang itu.


SALWA tidak lepaskan peluang bila melihat Jazman sudah masuk ke dalam kereta dan bersedia untuk memandu pulang. Dia yang menunggang motosikal sambil dibonceng oleh Dila juga bersedia untuk bergerak.

Hari ini Salwa tunggu Dila sehingga habis waktu sekolah. Pelan dia konon-kononnya mahu hantar Dila pulang ke rumah. Tapi, sebenarnya dia punya agenda lain.

"Dila, kejap lagi aku hantar kau balik, eh? Aku ada misi nak dijalankan ni." Salwa memulas minyak motosikal tersebut.

"Eh, kau nak ke mana?" soal Dila.

Tercengang-cengang dia melihat gelagat Salwa yang tak ubah seperti seorang spy.

"Kau diam dan ikut ajelah. Nanti kau tahu," balas Salwa.
Matanya masih fokus memandang ke mana arah tuju kereta yang dipandu oleh Jazman.

"Eh, ni memang jalan nak balik ke rumah kita ni," teka Dila selepas lima minit mereka mengekori Jazman dan berhenti di lampu isyarat.

Salwa diam. Dia juga rasa perkara yang sama. Jangan-jangan Cikgu Jaz berjiran dengan aku tak? bisik Salwa dalam hati. Dia mengukir senyum.

Bila lampu isyarat bertukar hijau, Salwa masih terus mengekori Jazman. Hatinya semakin berdebar-debar bila kereta Jazman membelok ke kiri dan masuk ke kawasan Kampung Muka Pecah.

"Ha, sahlah Dila!" jerit Salwa.

"Apa yang sahnya?" Dila yang masih belum tahu apa-apa itu jadi blur pula.

"Ha, kau tengok, kau tengok. Cikgu Jaz berhenti kat satu rumah ni. Kat sini kut dia tinggal. Hek eleh, tak sangka dia berjiran dengan aku, Dila!" Teruja sungguh Salwa beritahu Dila.

Barulah Dila faham apa yang Salwa katakan. Jadinya, selama dia membonceng motosikal Salwa, mereka jadi penyiasat tak bergaji untuk menyiasat di mana tempat tinggal Jazman rupa-rupanya.

"Eh, ha'ahlah, Salwa. Rumah kau dengan rumah Cikgu Jaz bertentangan dapurlah, kan?" soal Dila pula.

Dia pula terjangkit dengan perasaan teruja Salwa tadi.

"Betullah tu! Isy, seronoknya aku, Dila. Kalau macam ni, hari-hari aku boleh skodeng dia." Salwa sudah pasang angan-angan.

"Makin tak buat kerja sekolahlah kau," perli Dila. Tahu sangat dengan perangai kawan rapatnya itu.

"Apa pulak tak buat. Makin bersemangat aku rasa nak siapkan kerja sekolah ni ha," balas Salwa menafikan andaian Dila.

"Eleh, yalah kau tu." Dila mencebik.

Macamlah dia tidak tahu siapa Salwa yang sebenarnya.
"Eh, diamlah kau. Aku suruh kau balik jalan kaki nanti baru tahu," jeling Salwa.

Dila menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Tersengih-sengih bila diugut begitu. Salwa tersenyum bangga. Ha! Tahu pun takut!

"Ha, sekarang kau nak buat apa?" soal Dila.

Salwa mahu kembali meneruskan perjalanan. Hatinya sudah berbunga riang setelah dapat tahu Jazman berjiran dengannya.

"Aku hantar kau balik dululah. Lepas tu aku nak intai-intai Cikgu Jaz," balas Salwa tanpa berselindung.

Dila hanya mencebik. Dia sudah agak dengan gelagat Salwa yang mula menaruh hati terhadap guru itu.

"Ha, intai, intai jugak. Kerja tuisyen kita tu siapkan. Jangan nak tiru-tiru aku pulak. Kau tu belajar sendiri sekarang," perli Dila lagi.

"Hah, yalah!" Salwa memulas minyak dan motosikalnya meluncur laju di atas jalan raya.

Cinta Kuasa DuaWhere stories live. Discover now