Bab 9

59 0 0
                                    

Bab 9
RAMAI betul pelanggan hari ini. Tak menang tangan Lis Dahlia mahu mengawal krew-krew di dapur dan juga pelayan yang menghantar makanan.
Dia yang dilantik sebagai supervisor harus memastikan setiap pelanggan mendapat makanan dan layanan yang sepatutnya. Dia juga harus pastikan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
"Meja nombor 23, oder!" laung Lis Dahlia bila dia lihat lampu berwarna merah menyala di meja kaunter tempat dia duduk di situ.
Seorang pelayan lelaki bergegas ke meja yang dimaksudkan. Lis Dahlia menunduk di meja kaunter tempat pembayaran.
"Kak, abang tu nak akak yang serve dia." Lis Dahlia memanggung kepala bila seorang pekerja lelaki lepasan SPM datang memberitahunya.
Mata Lis Dahlia tertuju ke arah yang ditunjukkan. Lis Dahlia mendengus kencang. Dia hentak kaki sambil menjeling tajam wajah lelaki yang sedang tersengih-sengih itu.
Dengan langkah geram, Lis Dahlia mendekati lelaki itu. Sesekali lelaki itu menutup wajahnya dengan kad menu di tangan.
"Hah, awak nak apa sampai cari saya kat sini?" soal Lis Dahlia yang sudah berdiri di tepi Izzul.
Sesekali matanya melingas memandang sekeliling.
"Amboi, takkan nak makan kat sini pun tak boleh?" soal Izzul sambil tersengih-sengih.
"Sudahlah, Izz. Saya kenal awak bertahun-tahun. Awak bukan saja-saja nak makan kat kafe tempat saya kerja ni. Masa kita masih suami isteri dulu pun awak tak pernah jejak kaki pun ke kafe ni. Kenapa tiba-tiba lepas kita bercerai ni awak jadi rajin pulak?" soal Lis Dahlia berani.
Namun, dia masih mengawal nada suaranya. Dia berharap tidak ada pekerja yang perasan tentang mereka.
Izzul cuba menarik tangan Lis Dahlia supaya duduk di sebelahnya.
Cepat-cepat Lis Dahlia menarik tangannya kembali. Dia memandang tajam wajah Izzul.
"Duduklah dulu. Kita bincang," pelawa Izzul.
"Antara kita dah tak ada apa yang nak dibincangkan lagi, Izz. Tolonglah jadi manusia yang faham bahasa. Cukup-cukuplah ganggu saya." Lis Dahlia separuh merayu.
"Saya tak boleh lupakan awak, Lis." Izzul luahkan perasaannya.
"Awak kena cuba. Awak yang lepaskan saya. Jadi, senang untuk awak lupakan saya." Sinis sahaja pandangan Lis Dahlia kepada Izzul yang sudah terkulat-kulat di situ.
"Mungkin waktu tu saya terlalu ikutkan perasaan," balas Izzul.
"Bukan sekali awak ikutkan perasaan, Izz. Tapi tiga kali. Itu bukan ikut perasaan lagi dah, tapi jodoh kita memang setakat tu aje."
Lis Dahlia masih lagi cuba untuk memahamkan Izzul yang susah mahu terima kenyataan bahawa hubungan mereka sudah pun berakhir.
"Kita cuba sekali aje lagi." Izzul berdiri pula.
"Tolonglah, Izz. Baliklah. Jangan ganggu saya lagi." Lis Dahlia berpaling mahu tinggalkan meja Izzul.
Segera Izzul memegang pergelangan tangan bekas isterinya.
Sekali lagi Lis Dahlia merentap tangannya. Dia menoleh dan memandang tajam wajah Izzul. Kalau ikutkan hatinya yang sedang menggelegak itu, mahu sahaja dia tampar pipi Izzul di situ juga. Tapi, dia masih mengawal perasaan dan tidak mahu berlaku kekecohan di kafe itu pula.
"Kak, ada masalah ke? Encik ada tak dapat pesanan lagi?" Salah seorang pelayan bertindak pantas untuk menyelamatkan keadaan.
Dari awal lagi dia sudah perasan ada yang tidak kena, tetapi dia ambil jalan untuk tunggu dan lihat.
"Fadhil, kau ambik pesanan encik ni ya." Lis Dahlia terus berpaling dan tidak hiraukan Izzul yang memanggil namanya.
Bila Fadhil bersedia mahu mengambil pesanannya, Izzul terus keluar dari kafe tersebut.
Lis Dahlia mengerling tubuh Izzul yang laju sahaja masuk ke dalam keretanya. Dia mencebik. Memang dia sudah agak, Izzul ke kafe itu bukan sebab dia nak makan di situ pun, tetapi sengaja mahu mengganggu tugasnya.


PADA mulanya Jazman teruja bila tahu Lis Dahlia bekerja di situ. Dia berniat mahu singgah makan sebelum pulang ke rumah. Siapa tahu untung-untung Lis Dahlia boleh temankan dia makan sekali. Tetapi, lain pula yang dapat dia saksikan.
Mujur sahaja waktu itu dia duduk di bahagian sudut dan sedikit terlindung. Jazman boleh dengar dengan jelas apa yang Lis Dahlia dan bekas suaminya sedang bualkan.
Apa yang buat Jazman bertambah geram bila bekas suami Lis Dahlia suka-suka sentuh, suka-suka tarik tangan wanita itu. Sekejap-sekejap Jazman mengepal penumbuknya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia hadiahkan buku lima kepada lelaki itu.
Bila Lis Dahlia tidak layan, Jazman rasa lega. Bekas suaminya juga turut pergi dari situ.
Selesai makan, Jazman menghampiri kaunter. Lis Dahlia masih duduk di situ. Termenung.
"Uhuk." Jazman pura-pura batuk. Dia keluarkan dompet dari kocek belakang seluarnya.
Lis Dahlia mendongak bila terdengar suara lelaki berhampiran kaunter. Dia berdiri untuk bantu pekerja yang sepatutnya menjaga kaunter.
"Meja berapa?" soal Lis Dahlia perlahan. Lemah sahaja bunyinya.
"Nombor 18." Mata Jazman masih merenung wajah yang ketara mendungnya.
"13 ringgit 50 sen." Lis Dahlia mendongak.
Tergamam seketika bila mata mereka bertentangan. Mata Lis Dahlia turun pula ke bibir lelaki itu yang sedang menguntumkan senyuman manis.
"Err... Awak... Awak buat apa kat sini?"
Soalan Lis Dahlia buat bibir Jazman semakin mekar menguntumkan senyuman. Memang sengaja mahu hati Lis Dahlia yang tadinya menggelegak jadi sejuk semula bila melihat senyuman membunuh daripadanya.
"Makan." Jazman sudah sembunyi senyum.
Lis Dahlia mengeluh, kemudian dia turut tersenyum. Tanya soalan yang tak sepatutnya. Lis Dahlia pulangkan duit baki kepada Jazman yang menghulurkan not RM20 tadi.
Lis Dahlia teringat sesuatu. Dia perhatikan jarak meja nombor 18 dan nombor 23. Tidak terlalu jauh. Selang beberapa meja sahaja. Dia menoleh memandang Jazman yang sedang masukkan baki duit ke dalam dompetnya.
"Err... Tadi ada nampak atau dengar apa-apa ke?" soal Lis Dahlia. Dia gigit bibir.
Jazman mendongak. Tepat memandang anak mata Lis Dahlia. Dia senyum sedikit sambil masukkan dompet di kocek belakang seluar slacknya.
Lis Dahlia seperti tidak keruan selepas dia bertanya soalan itu kepada Jazman.
"Ada."
Sepatah sahaja jawapan Jazman, namun berjaya buat Lis Dahlia mendongak memandangnya.
"Err... Apa yang awak dengar?" soal Lis Dahlia.
Terkebil-kebil matanya memandang Jazman yang masih tersenyum itu.
"Everything. I heard everything, Lis Dahlia."
Lembut dan entah kenapa suara itu membuai perasaan Lis Dahlia seketika. Bila dia sedar, spontan Lis Dahlia menggeleng kepala.
"Kenapa?" soal Jazman pula.
"Err... Jom, kita borak kat luar kejap." Lis Dahlia keluar dari kawasan kaunter dan menggamit seorang pekerja untuk menjaga bahagian kaunter.
Lis Dahlia terus keluar diikuti oleh Jazman. Pintu kaca kembali bertutup rapat.
"Sekarang awak cakap betul-betul, apa yang awak dengar?" soal Lis Dahlia sambil berpeluk tubuh.
"Kan saya dah kata tadi. Semuanya." Sekali lagi Jazman bertindak jujur.
Memang dia dengar semuanya. Kenapa harus dia menipu pula?
"Isy, tak baik dengar perbualan orang," getus Lis Dahlia.
Dia menjeling paras Jazman yang kelihatan tenang.
"Saya bukan suka-suka dengar, Lis. Meja bekas suami awak dengan saya dekat sangat. Tapi, kalau awak tak suka, saya minta maaf," ucap Jazman.
"Haih." Spontan Lis Dahlia duduk di anak tangga yang terdapat di kaki lima itu.
Jazman turut duduk di sebelah Lis Dahlia. Sesekali dia mengintai wajah yang nampak serabut itu.
"Lis, saya nak minta maaf pasal hari tu. Masa malam kita ke pasar malam. Saya... saya minta maaf. Saya tak berniat nak ungkit kisah lama awak." Ikhlas Jazman meminta maaf.
Lama Lis Dahlia termenung. Ya. Dia lupa pula hal itu. Bila Jazman kembali ingatkannya tentang malam itu, terus merona pipinya yang putih melepak itu.
"Err... Kalau saya tak bagi tahu, lama-lama nanti awak akan tahu jugak. Cuma, tadi... Saya rasa malu pulak." Lis Dahlia tertunduk.
"Tak perlu malu, Lis. Saya tak kisah semua tu. Cuma saya tak pasti saya akan berdiam diri kalau sekali lagi bekas suami awak datang mengganggu."
Kata-kata Jazman yang serius itu buat Lis Dahlia menoleh. "Erm..."
Jazman berdiri. Kalau boleh dia tidak mahu dengar apa yang Lis Dahlia ingin katakan. Biar keadaan dan masa yang akan tentukan.
"Okey, Lis. Saya balik dulu. Awak hati-hati, ya." Jazman tersenyum dan mengangguk sedikit.
Lis Dahlia masih terpinga-pinga seperti tadi. Betul ke apa yang Jazman katakan tadi? Dia betul-betul maksudkan kata-katanya ke? Tapi, kenapa dia cakap macam itu pula?
Lis Dahlia memejamkan mata dan menggeleng kepala. Selagi dia layan persoalan hatinya, selagi itulah dia akan fikir yang bukan-bukan.

Cinta Kuasa DuaWhere stories live. Discover now