18: truth or dare

12.3K 247 4
                                    

Akhirnya hari yang dinantikan oleh ramai rakan pejabatku telah tiba. Memandangkan ini tahun pertama aku bekerja di syarikat ini, inilah juga kali pertama aku ikut serta aktiviti tahunan syarikat ini. Berkhemah di tepi pantai adalah aktiviti luar rumah pertama kali aku buat.

Terdapat sembilan khemah tersedia iaitu empat khemah lelaki, empat khemah perempuan dan satu lagi khemah khas untuk Encik Darren dan Encik Nazih. Mujur saja Cik Zara tidak ikut serta. Kalau tak, pasti dia nak tidur satu khemah dengan Encik Darren. Eh, tiba- tiba pula aku prihatin tentang itu.

Cuaca pada malam itu menyebelahi kami. Malam itu bulan penuh, jadi malam itu disinari cahaya rembulan.
Kami semua membawa makanan masing- masing dari rumah, dan selebihnya kami membuat BBQ. Ada beberapa orang yang bermain gitar dan menyanyikan beberapa buah lagu. Aku tak sangka aku akhirnya dapat melalui pengalaman berkhemah, dan setentunya aku seronok dengan suasana begini.

Farah dan aku pula seperti belangkas. Tidak dapat berpisah. Selepas kami menikmati makan malam, kami diarahkan untuk duduk di sekeliling unggun api yang telah dibuat awal lagi.

Rasa yang nyaman apabila haba api memanaskan tubuh badan kami yang mulai terasa sejuk digigit angin. Tidak kesemua kami duduk di sekeliling unggun api. Ada juga yang masih menikmati makanan dan memanggang ayam. Yang tak tahu nak buat apa macam aku, hanya duduk mengikut arahan. Bunyi gitar mengiringi malam dan sesekali suara kecil berlagu mengikut musik gitar.

Encik Darren dan Encik Nazih pula duduk tidak jauh dari aku dan Farah. Tidak lama kemudian, salah seorang penganjur aktiviti berkhemah iaitu Sulaiman berdiri dan meminta perhatian.

"Selamat malam semua. Terima kasih kerana sudi hadir ke aktiviti tahunan Darling Fashion Company. Dan tidak lupa juga diucapkan setinggi- tinggi penghargaan atas kesudian CEO kita, Encik Darren dan shareholder syarikat ini, Encik Nazih untuk bersama memeriahkan aktiviti tahunan syarikat kita kali ini." Kesemua kami bertepuk tangan sebelum Sulaiman menyambung.

"Okay, tanpa berlengah masa, kita akan main permainan santai iaitu Truth or Dare. Kesemua yang duduk sekeliling bonfire ni harus ikut. Di sini ada papan yang mempunyai jarum, jadi saya akan putarkan jarum ini, dan apabila jarum ini berhenti ia arahnya akan tertuju kepada seseorang yang akan menjadi pemain pertama atau disebut pemangsa. Kemudian jarum akan diputar lagi untuk mencari mangsa. Okay, permainannya begini. Pemangsa akan bertanya kepada mangsa soalan, truth or dare. Jika mangsa memilih truth, maka pemangsa akan bertanya soalan kepada mangsa, dan mangsa harus memberi jawapan jujur. Jika mangsa memilih dare, maka pemangsa akan memberi satu aksi cabaran kepada mangsa, dan mangsa harus melakukannya. Selesai saja pusingan itu, maka mangsa akan jadi pemangsa dan jarum akan diputar untuk mencari mangsa seterusnya. Faham semua?" Kesemua kami mengangguk dan mengiyakan penerangan Sulaiman.

"Baik, jarum akan diputar sekarang untuk mencari pemangsa." Ujar Sulaiman sambil memutarkan jarum. Dan jarum berhenti menuju Nurul. Semua orang diam sejenak sebelum bersorak.

"Nurul adalah pemangsa pertama! Okay, sekarang kita cari mangsa." Semua orang termasuk aku takut menjadi mangsa. Semua orang memeluk lutut dan tubuh masing- masing. Dan jarum berhenti ke arah Aziz. Semua orang ketawa lega melihat mereka tidak terkena. Manakala Aziz pula separuh berteriak kerana takut.

"Hah! Aziz! Awak mangsa pertama. Jadi sekarang Nurul sila tanyakan soalan kepada Aziz." Ujar Sulaiman sambil menggesel kedua tapak tangannya.

"Haha okay Aziz. Truth or dare?" Dengan penuh semangat Nurul bertanyakan soalan.

Lama Aziz memikirkan yang mana selamat untuknya. "Saya pilih truth."

"Woooooo." Jerit suara ramai mengacau Aziz.

Si Hodoh & Si KacakWhere stories live. Discover now