Bab 1
Wajah dia yang kosong aku tenung dalam. Entah berapa kali aku dengar keluhan yang terbit dari bibirnya. Dada aku rasa mahu pecah. Aku tahu apa yang mahu dia ucapkan. Hubungan dingin kami menggambarkan segalanya. Tapi aku? Masih lagi mahu terus berharap dengan ikatan dua jiwa kami. Dia duniaku. Dia nyawaku. Aku tak punya siapa-siapa melainkan dia dalam hidup aku ini.
Sekali lagi dia melepas keluhan. Menatap wajah aku yang kian sendu. Kemas aku mengepal tangan yang terletak dipahaku. Ruang restoran yang hingar aku rasa seperti terhenti berputar. Seolah diam menanti butir bicara dari kami memecah hening.
“Najla.. I’m sorry for telling you this. Tapi, I rasa kita dah tak sehaluan lagi. Jadi I fikir kita patut..." Tak! Tak! Niqris tak akan sebut perkataan. Aku geleng-geleng menidakkan apa yang mungkin bakal dia lafazkan.
"Tak! Saya tak mahu." Aku terus bangkit menepuk meja. Aku tak mahu dengar ayat seterusnya dari dia. Aku tak mahu kami berpisah. Aku cintakan dia! Sangat-sangat cinta.
"Najla…" Dia melepas keluhan buat sekian kalinya. Menyebut namaku dengan nada berat. Dia memandang aku dengan rasa yang aku tahu telah mati untukku.
"Maafkan I." Dia meletak duit di atas meja selepas memandang aku dengan rasa bersalah. Untuk apa dia minta maaf? Untuk hancurkan hatiku sehingga menjadi debu begini?
Aku pandang kepingan kertas itu. Mata aku sudah mula berpasir. Inikah yang awak fikir tentang saya Niqris? Awak ingat hubungan kita selama ini hanya bersandarkan ini ke?
Tidak! Aku tak mahu duit. Aku mahukan dia. Aku mahu cinta dia semula. Kami baik-baik saja. Bukan tak sehaluan seperti yang dia fikir. Hati aku mendesis menyangkal apa yang diucapkan Niqris tadi.
Elok saja bayang Niqris menghilang, baru aku tersedar. Nafasku tersedut semula. Cepat aku berlari mengejar langkahnya ke muka pintu restoran.
Sampai dihadapan restoran, aku nampak kereta Niqris berlalu dihadapanku. Sepantas mungkin aku berlari mendapatkan kereta aku.
Terketar-ketar tanganku menghidupkan enjin kereta dan mula mengejar bayang keretanya. Awak tak boleh tinggalkan saya Niqris. Tak boleh! Saya hanya ada awak. Awak saja dunia saya. Awak segala-galanya bagi saya. Ya ALLAH.. Niqris.. Tolonglah faham saya. Saya cuma mahukan cinta awak semula!
Aku hentak stereng kereta apabila lampu isyarat bertukar merah. Bayang kereta Niqris sudah lesap dari pandangan mataku.
Air mata aku sudah mengalir laju. Tersedu-sedu menghambur tangisan apabila cintaku dipersia suamiku. Suami yang kucinta dengan seluruh nadi nafasku.
Sedang aku asyik meraung. Telinga kau menangkap bunyi ketukan di pintu keretaku. Spontan aku berpaling ke arah kanan. Seorang kanak-kanak yang comot sambil mengangkat sebuah kotak ditangannya.
Aku turunkan cermin. Lap air mata yang membanjiri pipiku tadi. Entah bagaimana rupa aku sekarang ni. Entah-entah lagi comot dari budak yang sedang tersengih-sengih disebalik pintu kereta aku ni.
"Nak apa?" Kasihan pula aku tengok dia. Aku bukan boleh tengok budak-budak yang macam ni. Aku rasa simpati.
"Kakak nak gula-gula? Saya jual gula-gula." Dia tunjuk satu bekas gula-gula berisi gula-gula berbentuk bulat kecil ditangannya. Oh! Jual gula-gula rupanya. Dalam aku merasa sedih yang menimpaku, hatiku sedikit tersentuh melihat bening pengharapan dari anak kecil itu.
"Berapa?" Aku soal budak lelaki itu.
"Lima ringgit saja kakak." Dia senyum manis dengan giginya yang rongak.
Aku ambil dan beri dia lima puluh ringgit.
“Eh, banyak ni kak. Saya tak ada duit baki.” Terkejut besar budak lelaki itu. Ah, kalau aku dan Niqris punya anak. Tentu anak kami sebesar ini.
"Tak apa. Ambil saja baki tu. Buat belanja sekolah. Doakan hidup kakak bahagia ye." Aku senyum manis buatnya. Biarlah dia simpan baki duit tu. Anggap saja aku bersedekah hari ini.
"Terima kasih kakak. Kakak, jangan sedih-sedih tau. Saya doakan kakak dapat yang kakak mahu." Ceria dia membalas sebelum berlalu pergi.
Aku pandang bekas berisi gula-gula itu. Bayangan Niqris menjelma semula.
Sampai hati awak Niqris.. Mengalir lagi air mata aku. Terus aku capai sebiji gula-gula yang dari dalam bekas itu dan sumbat ke dalam mulut.Pin! Pin ! Pin!
Bunyi hon kerta yang bersahutan menganggu lena aku. Siapa pulalah yang hon waktu-waktu sekarang ni?
Aku buka mata perlahan. Tangan aku naik mengenyeh mata. Kenapa bahu aku rasa lenguh ni?
Tok! Tok! Tok!
Aku dengar bunyi ketukan kuat dari sebelah kanan aku. Terus terbuntang luas biji mata aku. Wait! Aku di mana ni? Macam mana aku boleh ada dalam kereta?
Di luar, seorang lelaki mungkin dalam lingkungan 30-an sedang mengetuk pintu kereta. Aku toleh sekeliling aku. Aku seorang diri saja dalam kereta ini.
Sekali lagi aku terhinjut bahu apabila lelaki kat luar itu ketuk cermin kereta serupa nak bagi pecah aje.
Terjegil-jegil anak matanya mengarah aku supaya membuka pintu.
Takut-takut aku buka pintu. Manalah aku tak takut. Aku sekarang entah kat mana. Tiba-tiba aje aku ada kat sini.
"Woi! Kau ni ni kenapa perempuan? Mabuk ke apa?"
Tiba-tiba lelaki itu sergah aku dengan muka bengis. Terus berdesing telinga aku. Pantang betul aku orang kurang ajar macam pak cik ni.
"Eleh! Tak boleh cakap elok-elok sikit ke pak cik? Saya tak pekak lagilah!" Bentak aku tak kurang garangnya. Bukan niat aku nak berkurang ajar. Aku boleh je balas baik-baik kalau dia cakap baik-baik dengan aku. Dahlah kepala aku tengah pening ni. Tertanya-tanya kenapa aku boleh berada di sini. Dia tau apa?
"Pak cik kau panggil aku?" Terangkat kening aku memandang lelaki yang sedang berang itu. Eh! Orang tua ni. Nak marah pulak. Apahal?
"Sabar bang.. sabar. Tak baik berkasar dengan perempuan." Seorang lelaki lain datang menenangkan pak cik tak sedar diri itu. Baru aku perasan yang kami sudah dikelilingi orang ramai. Ada yang macam sedang merakam kami guna kamera petak kecil dan nipis. Sibuknya dia orang ni.
“Haa... dengar cakap pak cik tu. Hormat sikit orang. Tak kan nak kena panggil abang pulak? Tak kuasa saya. Eeiii!” Aku buat gaya geli. Kalau handsome tak apalah jugak. Ini muka bengis macam entah apa lagi.
“Ish! Perempuan ni. Kurang ajar betullah! Kau dah buat jalan jem. Lagi kau nak belagak dengan aku! Mabuk agaknya! Kau minum arak ya!” Makin berapi pak cik bengis itu marahkan aku. Tuduh aku minum arak pulak. Agak-agaklah!
"Cik.. Cik okey tak ni? Lama cik tidur dalam kereta tadi." Lelaki yang tenangkan pak cik itu tegur aku pula. Baru tersedar, spontan anak mataku meliar mengitari sekeliling semula. Jalan mula sesak. Hon berbunyi bersahutan dengan kuat. Agaknya memang betul aku dah jadi penyebab kesesakan lalulintas. Aku nampak banyak bangunan tinggi. Aku sebenarnya di mana ni? Berpusing-pusing rasa kepala aku sebelum mata aku menangkap skrin besar ditepi bangunan memaparkan iklan barangkali. Selamat datang 2020. Happy new year!
Mata aku terbeliak besar. 2020? Aku salah nampak kan?
Aku pandang semula lelaki itu. Tiba-tiba aku rasa gemuruh. Aku tengah mimpi ke apa ni?
YOU ARE READING
Aku & Sweet 17 Lala ( HOLD)
RomanceNajla, seorang isteri yang mendedikasikan hidupnya pada si suami. Hinggalah suatu hari, dia dapati dirinya kembali pada usianya yang berumur 17 tahun. Iaitu Lala. Bagaimana Najla menangani Lala yang sesekali muncul dalam hidupnya? Genre : Fantasi...