Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 4)

934 58 10
                                    

BAB 4

TENGAHHARI itu, kafe Mikro dikunjungi beberapa pelanggan. Tidaklah terlalu ramai hinggakan tak cukup tangan namun taklah kosong tanpa pelanggan. Bak kata orang, sedang-sedang saja.

Dulang yang berisi makanan bernama Desperado dan juga segelas air putih ditatang Aliya menuju ke satu meja. Senyuman menghiasi bibir tatkala menghampiri si pelanggan. Dengan penuh sopan, Aliya pindahkan Desperado dan gelas ke atas meja.

"Makanlah, Su. Gerenti sedap," kata Aliya seraya kenyitkan mata.

Laju saja kepala Suraya mengangguk. Mata terpaku pada makanan yang terhidang. Inilah kali pertama dia mencuba hidangan bernama Desperado itu. Fillet ikan yang telah digoreng, salsa yang disajikan bersama tortilla dan juga yogurt bawang putih tahina. Kecur liur Suraya. Serta-merta perutnya berkeroncong minta diisi.

Aliya menarik kerusi tanpa dipelawa. Dilihatnya Suraya sudah menadah tangan untuk membaca doa makan.

"Kau dah lama tak datang sini. Padahal UO kat sebelah aje," kata Aliya sambil bibirnya dimuncungkan, kononnya mengunjuk pada UO Taman Melawati yang terletak di sebelah Melawati Square. Suraya yang sedang mengunyah makanan sekadar mengangguk laju. Setelah ditelan, barulah Suraya menjawab.

"Aku manalah mampu makan sini tiap-tiap hari. Dengan gaji aku selaku cashier UO, memang tak lepaslah. Eh tapi sedaplah Desperado ni. Aku harap aku tak jadi desperate!" seloroh Suraya yang disambut dengan tawa kecil Aliya. Di sebalik jenakanya, Suraya ikhlas memuji. Ibu jari siap diangkat dan digerak-gerakkan.

"Tempoh sebulan dah nak habis kan? Hah jangan risau. Lepas ni kau dah tak payah bayar duit makanan lagi. It's on the house," kata Aliya, merujuk pada notis berhenti Suraya selaku juruwang di UO. Suraya mengangguk sebagai jawapan memandangkan mulut masih sibuk mengunyah makanan. Terpancar kegembiraan di setiap inci wajahnya.

Aliya senyum tipis tetapi hanya bertahan untuk sesaat. Dia kecilkan mata pada Suraya pula.

"Kau... Tiba-tiba aje muncul kat sini. Tak payah nak bagi alasan kau mengidam. Nanti kau dah kerja sini, kau boleh makan banyak-banyak. Ini mesti ada apa-apa kan?" tanya Aliya serkap jarang. Nalurinya sangat yakin, Suraya ada niat lain. Bukan baru sehari dua dia mengenali Suraya. Bahkan detik perkenalannya dengan Suraya bermula sejak Aliya bertemu dengan...

"Haziq dah cerita kat aku pasal kelmarin," kata Suraya pendek seraya meletakkan pisau garfu di atas pinggan. Tisu diambil untuk mengesat mulut kemudian Suraya teguk air putihnya dengan rakus. Pinggan ditolak ke depan lalu Suraya palingkan tubuhnya menghadap Aliya. Perkataan 'kepoh' ibarat tertulis besar-besar di mukanya.

Semerta hujung bibir Aliya naik. Ya, dia dah duga jawapan itu daripada Suraya.

Secara matematik, tempoh persahabatan Suraya dan Haziq jauh lebih lama berbanding Aliya dan Farizul. Mereka berdua sudah berkenalan seawal usia sepuluh tahun lagi dan masih berlanjutan sehingga kini. Aliya mula mengenali Suraya sewaktu mereka sama-sama dalam misi mencari Aliya J. Tamat saja kolej, Aliya masih berhubung baik dengan Suraya. Sementelah, Suraya selalu melayannya dengan baik. Jauh berbeza dengan Alif Haziq!

Tiba-tiba tawa Suraya meledak sambil tangannya memukul lembut bahu Aliya. Tangan kiri pula sudah menekup mulut untuk menahan bunyi tawa daripada mengganggu pelanggan-pelanggan lain.

"Sumpah lawak. Serius," kata Suraya pendek sebelum dia sambung ketawa. Lupa terus pada Desperado yang menanti. Yang ada di fikirannya kini hanyalah cerita Haziq.

"Kau tahu tak... Dia terus datang rumah aku..."

"Nak mengadu?" tukas Aliya. Laju kepala Suraya mengangguk.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now