Alhamdulillah!
Officially, ASH akan muncul dalam versi novel! Fuh, jauh perjalanan Aliya dan Haziq, daripada cerpen beberapa tahun dulu, sekarang dah jadi novel! (Sama macam Lyssa-Hafiy, dalam AKU ADA)HAPPY READING! 🥰🥰❤️❤️
——
BAB 16
BERKALI-KALI Oppo F1nya berdering, sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi pemanduan Aliya. Lewat ekor mata, Aliya mengerling skrin Oppo F1 yang terletak di atas dashboard. Muncul satu nombor yang tak dikenali.
"Daripada tadi asyik call aku aje. Tahu tak aku ada masalah besar sekarang? Janganlah kacau!" omel Aliya sambil perhatian ditala semula pada jalanraya. Kereta Aliya kini berada di lorong kanan. Sebuah kereta Audi yang berada di depannya bergerak dengan sangat perlahan, berjaya menimbulkan satu lagi punca untuk Aliya membebel.
"Beli kereta mahal-mahal tapi bawa slow. Kalau nak slow, drivelah kat lorong kiri!" marah Aliya lagi sambil jarinya menghidupkan signal. Sesekali mata mengerling lorong kiri. Setelah yakin lorong kiri kosong, dengan pantas kereta Kancil Aliya bergerak masuk ke lorong kiri dan kemudian signal dihidupkan lagi lalu Aliya pandu masuk ke lorong kanan semula. Pedal pemecut ditekan semahu-mahunya.
Tolak ke tepi perihal undang-undang jalanraya. Pedulikan juga artikel yang pernah dibacanya tentang sikap gopoh pemandu Malaysia. Selama ini dia memang seorang pemandu berhemah dan rekod trafiknya bersih tanpa sebarang rekod saman. Namun hari ini, Aliya tak mampu mempertahankan gelaran tersebut. Kewujudan dua insan di rumahnya dengan ayat lapuk 'Mahu memetik bunga di taman' buatkan Aliya runsing.
"Ini jodoh datang dari langit ke apa?" Sempat pula Aliya bertanya bodoh pada diri sendiri. Tak dapat langsung dia tebak siapakah gerangan yang berniat untuk menyuntingnya sebagai isteri. Saat satu wajah terbit di minda, Aliya terjerit.
"Naim ke?!" Bergema kereta Kancil yang kecil itu dengan jeritan Aliya.
Ya, detik ini hanya lelaki itu saja yang berpotensi besar untuk menghantar orang ke rumahnya. Bukankah lelaki itu kononnya serius mahukan Aliya? Memanglah Aliya tak pernah berikan alamat rumahnya tapi manalah tahu kalau-kalau lelaki itu mengekorinya? Mengintipnya?
Lampu trafik sudah bertukar kepada lampu merah, semerta kaki yang tadinya memijak pedal pemecut beralih pada pedal brek. Oppo F1 Aliya berbunyi nyaring sekali lagi. Tangan dipanjangkan untuk mencapai telefon pintarnya. Ada sebelas panggilan tak berjawab dan semuanya daripada pemanggil yang sama.
"Ini siapa pula? Confirm bukan Naim," getus Aliya. Nombor telefon Naim sememangnya ada dalam simpanan Aliya. Naimlah yang beria-ia berikan padanya. Katanya, manalah tahu kalau-kalau satu hari nanti Aliya tergerak hati untuk menghubunginya.
Malas mahu berteka-teki, Aliya jawab juga panggilan tersebut. Alang-alang lampu trafik masih lagi merah.
"Melur! Nak terbakar telinga aku call kau, tahu tak?!"
Satu suara nyaring di hujung talian memecahkan gegendang telinga Aliya. Refleks tangannya menjauhkan Oppo tersebut daripada telinga. Automatik hati Aliya jadi berbuku.
"Kau nak apa? Menyesal pula tak save nombor kau. Kalau aku tahu ini kau, tak payah jawab pun tak apa. Block aje terus!" Aliya menggerutu. Sesekali mata mengerling lampu trafik.
"Kau nak pergi mana?"
"Balik. Ada hal," jawab Aliya pendek-pendek.
"Jangan balik!" jerit Haziq di belah sana.
YOU ARE READING
Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]
Storie d'amore🌸 BLURB AKULAH SI HEROIN! 🌸 Pertama kali bertemu selepas bertahun-tahun tidak bersua muka, Aliya dan Haziq tetap menjadi seteru sama lain. Semuanya gara-gara stalker tegar Haziq yang menggunakan nama 'Aliya J' hingga tercetusnya salah faham di ant...