BAB 5
"APA kau buat kat sini?" tanya Aliya tanpa menunggu lama. Sempat dia kerling Suraya untuk mendapatkan jawapan namun tangan gadis itu sudah tergawang-gawang menafikan. Tak perlu Aliya lontarkan soalannya, Suraya sudah memberi jawapan terlebih dahulu.
Tak. Bukan Suraya yang mengajak Haziq ke sini.
Aliya percayakan jawapan Suraya lalu dia pandang Haziq semula. Tangan memeluk tubuh. Tak kisahlah pasal pelanggan-pelanggan lain. Farizul, Dekna dan Wan boleh uruskan. Apa yang penting saat ini ialah mempertikaikan kewujudan Haziq.
Mendengarkan nada kasar itu, Haziq pamer muka seposen. Rasa takut dirinya menerima habuan sekali lagi mulai diusir jauh-jauh. Bagaikan cermin yang memantulkan, Haziq turut berpeluk tubuh.
"Aku nak cari Su. Yang kau sibuk sangat, kenapa? Kau stalk aku? Kau follow aku sampai ke sini?" balas Haziq semula. Sengaja perkataan 'stalk' itu ditekan. Mata Haziq mula mengimbas pakaian Aliya dari atas ke bawah. Gadis itu memakai blaus putih bersama apron hitam yang mempunyai sulaman logo Mikro. Kemudian Haziq larikan anak matanya. Tika itulah pandangannya bertaut dengan Farizul pula. Mudah saja akal Haziq membuat kesimpulan.
"Kau kerja sini? Sekali dengan Farizul?"
Entah kenapa, mata Aliya seakan-akan dapat menangkap cemihan di bibir Haziq saat dia bertanya.
Aliya yang ditanya tapi Suraya yang terkulat-kulat sendiri. Tangan menarik hujung baju Haziq, menyuruh lelaki itu diam tetapi Haziq tak endahkan. Masih sengaja membalas renungan Aliya dengan gaya menjengkelkan.
Lambat-lambat Aliya kulum senyuman sinisnya. Kepala menoleh ke belakang untuk mencari salah seorang stafnya. Dilihatnya Farizul sudah membuka langkah untuk mara ke arahnya tetapi Aliya bulatkan mata, isyarat menghalang. Semerta Farizul berdiri kaku. Aliya pandang Dekna yang sedang mengangkat pinggan-pinggan kotor di meja hujung. Ringan saja mulutnya memanggil Dekna.
"Dekna! Sini sekejap," panggilnya dengan tangan digerakkan. Saat Dekna menghampiri, jari telunjuk Aliya tegak mengunjuk pada Haziq, si pelanggan yang tak dialu-alukan kedatangannya.
"Awak bagi menu kat customer kita ni," arah Aliya.
Dekna kerutkan dahi. Mata tertumpu pada menu di atas meja sebelum dia pandang Aliya semula. Mulut bertanya dengan polosnya.
"Tapi bos, menu kan memang dah ada atas meja," jawabnya sambil bibir dimuncungkan pada menu.
"Saya suruh awak bagi, awak bagi ajelah. Takkanlah saya pula kena buat."
"Sebelum ni bos tak kesah pun?" balas Dekna, masih lagi dengan riak bingungnya. Jari menggaru kepala yang tidak gatal. Tak pernah-pernah Aliya bersikap sebegini. Kebiasaannya, Aliya tak kisah pun menjalankan tugas-tugas sebegitu. Tak kiralah cuci pinggan, ambil pesanan, hantar makanan ke meja-meja... Semuanya Aliya lakukan dengan senang hati hinggakan ada masanya mereka yang terpaksa menghalang Aliya.
Seganlah. Sudah dibayar dengan gaji setimpal dan dilayan baik, takkanlah mereka mahu biarkan Aliya lakukan kerja-kerja yang tak sewajarnya dilakukan oleh si pemilik kafe.
"Dekna... Sebelum awak kena dengan saya..."
Bukan Dekna yang kalut mencapai menu tetapi Suraya. Lekas-lekas dihulur pada Dekna sambil mulutnya herot-berot mengunjuk pada Haziq. Mata memberi isyarat pada Dekna supaya dia akur dengan kata-kata Aliya. Dalam kebingungan, Dekna capai juga menu itu lalu dihulur kepada Haziq bersama senyuman separa ikhlas.
Masih keliru tapi turutkan sajalah kata bosnya!
"Encik, silakan duduk. Ini menu kafe kami," kata Dekna sopan.
YOU ARE READING
Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]
Romance🌸 BLURB AKULAH SI HEROIN! 🌸 Pertama kali bertemu selepas bertahun-tahun tidak bersua muka, Aliya dan Haziq tetap menjadi seteru sama lain. Semuanya gara-gara stalker tegar Haziq yang menggunakan nama 'Aliya J' hingga tercetusnya salah faham di ant...