BAB 11
KHUSYUK. Berselera. Menikmati.
Apa lagi kosa kata yang sesuai untuk menggambarkan Aliya saat ini?
"Mikro dah laku sangat? Dah kaut untung berjuta-juta sampaikan kau boleh tutup awal lagi hari ni?" sindir Farizul, secara tak langsung mengganggu Aliya yang sedang leka menikmati kebabnya. Aliya jegilkan mata walaupun mulut tidak membalas apa-apa.
"Seminggu lepas kau tutup Mikro awal sebab Naim. Hari ni kau tutup awal untuk seret aku ke Wangsa Walk Mall? Semata-mata untuk makan kebab?"
"Daripada kau membebel, lebih baik kau bersyukur. Mana ada bos lain yang relaks, cool gila bagi pekerja balik awal? Atau kau takut aku potong gaji kau?" sela Aliya bersama nada tak puas hati. Manalah tahu kalau-kalau Farizul bersangka buruk padanya, menganggap dia sengaja memendekkan waktu kerja agar gaji juga boleh dikurangkan. Di saat Farizul mengangguk bagai burung belatuk, mata Aliya membulat.
"Haah aku memang taaaakut sangat kau potong gaji aku. Tapi more than that, aku lebih risau kau dah mula buat kerja sambil lewa. Macam mana kalau kau dah jadi manja, asyik nak balik awal? Lepas tu mulalah buat perangai, tak nak pergi kerja, malas buka Mikro. Al, kita ni punyalah beria nak cipta menu baru untuk Mikro tapi sampai sekarang, habuk pun tak ada!" ujar Farizul. Ada teguran di situ yang disampaikan secara terang-terangan.
Hujung bibir Aliya naik dengan sendirinya. Telinga tajamnya dapat mengesan perkataan 'takut' disebut lebih lama berbanding perkataan-perkataan lain. Berapa harakat agaknya, ya?
"Aku sanggup berhenti kerja kat tempat lama untuk sama-sama susah dengan kau, tahu tak? Bertungkus-lumus dengan family kau sebelum Mikro dibuka lagi. Su pun dah berhenti kerja kat UO, kerja dengan kau pula sebab dia percayakan kau. Aku bukan nak mengungkit, Al. Aku cuma tak nak kau..."
"Ya, aku faham. Aku minta maaf, okey?" cantas Aliya sekali gus menjeda bicara Farizul.
Sejujurnya, Aliya sedar sampai bila-bila pun jasa Farizul tidak akan dapat dibalas. Begitu besarnya pengorbanan seorang sahabat apabila Farizul sanggup melepaskan kerja pejabatnya semata-mata untuk Aliya. Sungguh, Aliya sangat bersyukur kerana dianugerahi seorang sahabat seperti Farizul!
"Tapi kau janganlah risau. Aku bukannya buat kerja sambil lewa. Aku memang teringin nak makan kebablah. Dan lagi satu, aku bukannya saja-saja. Kau tak perasan ke muka Dekna tadi?" Aliya bertanya semula. Kebab yang berbaki separuh diletakkan sebelum tangan mencapai tisu untuk mengesat jemari dan hujung bibirnya.
Berlapis dahi Farizul. Laju saja kotak memorinya mengulang-tayang babak di Mikro. Muka Dekna cuba diingati bersama ekspresi wajahnya.
"Aku terdengar dia on the phone. Adik dia masuk hospital sebab accident. Mak dia nak pergi tapi tak ada sesiapa boleh bawakan. Dekna nak call Uber atau Grab untuk mak dia tapi mak dia tak nak sebab dia takut pergi sorang."
Aliya sekadar menyampaikan apa yang dia tahu. Waktu itu Dekna sedang bercakap di telefon bimbitnya di belakang kafe. Walau dengan volum yang sangat minimum, tetap juga Aliya berjaya dengar dari sebalik pintu. Sengaja Aliya diamkan diri, menanti Dekna suarakan apa-apa tetapi mulut Dekna terkatup rapat. Hanya wajah resahnya kelihatan dan rasa itu terbukti melalui kekalutannya menjalankan kerja.
"Kenapa Dekna tak beritahu kita? Kenapa dia tak minta balik awal?" Farizul bertanya polos.
Aliya jongket bahu. Sejujurnya, soalan yang sama dilontarkan pada diri sendiri. Dan selepas difikir sedalam-dalamnya, Aliya membuat satu kesimpulan.
"She is the breadwinner of the family. Mungkin dia takut aku akan potong gaji dia kalau dia minta balik awal? Siapalah tahu kan, kut-kut dia fikir sama macam kau," sinis Aliya di hujung bicaranya.
YOU ARE READING
Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]
Romance🌸 BLURB AKULAH SI HEROIN! 🌸 Pertama kali bertemu selepas bertahun-tahun tidak bersua muka, Aliya dan Haziq tetap menjadi seteru sama lain. Semuanya gara-gara stalker tegar Haziq yang menggunakan nama 'Aliya J' hingga tercetusnya salah faham di ant...