Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 9)

785 46 9
                                    

BAB 9

"SELAMAT datang, Abang Naim!" Ceria suara Dekna menyapa salah seorang pelanggan tetap Mikro.

Demi mendengarkan nama itu, Aliya mendongak dengan sendirinya. Automatik pandangannya berlaga dengan Farizul. Jelas kebingungan di wajah masing-masing. Bunyi kerusi ditarik kedengaran lalu mereka berpaling memandang meja sebelah.

"Hi Al," ucap Naim bersama senyuman manis.

"Dekna, bagi saya macam biasalah. Saya dah rindu makanan Mikro," kata Naim pada Dekna pula. Kepala Dekna mengangguk laju apabila frasa 'macam biasa' disebut Naim. Dia tahu, Naim memaksudkan teh jasmin dan juga burger daging yang dinamakan Magic Mushroom.

"Jasmine dah ada depan mata, bang. Takkanlah nak minum teh jasmin lagi untuk lepaskan rindu," usik Dekna bersama kenyitan mata. Bukan sengaja mereka cerita tetapi itulah hakikatnya. Naim sendiri mengaku, dia gilakan teh jasmin hanya kerana nama itu sama dengan nama Aliya. Agaknya kalau ada teh bernama atau berperisa 'Aliya' pun, Naim akan jadi hantu!

Naim ketawa kecil sambil kepala digeleng perlahan. Sebaik saja Dekna hilang dari pandangannya, perhatian Naim kembali tertumpu pada Aliya.

"Al, sinilah sekejap," panggilnya sambil tangan menarik kerusi sebelah lalu ditepuk perlahan.

"Saya ada kerjalah. Tengah bincang dengan Fariz pasal menu baru," dalih Aliya bersama senyuman tipis. Farizul di sisinya mengambil watak si pemerhati.

"Kalau awak tak nak ke sini, saya pergi sana. Tapi lecehlah sebab meja awak penuh dengan buku-buku. Macam mana saya nak makan nanti? Sinilah, Al. Kita pun dah lama tak berborak." Naim masih lagi berusaha untuk memujuk Aliya, si pujaan hati. Dua minggu lamanya tidak bersua muka dengan Aliya buatkan Naim angau sendiri. Jasadnya ada jauh nun di Kuching, Sarawak tetapi fikirannya asyik teringatkan Aliya. Kalau tak salah kiraannya, sudah hampir tujuh bulan juga mereka berkenalan. Kehadirannya ke kafe Mikro bersama beberapa orang rakannya membuka ruang untuk Naim mengenali Aliya.

Cinta pandang pertama. Ya, Aliya ialah cinta pandang pertamanya.

Kerusi yang diduduki, Aliya tolak perlahan. Kemudian dia labuhkan semula punggung di atas kerusi yang telah ditarik Naim untuknya. Muka dimaniskan di depan si pelanggan, bertanya soalan sekadar untuk berbasa-basi.

"Macam mana kerja kat Kuching? Okey?"

Naim mengeyakan dengan anggukan. Sekali lagi dia terima satu soalan daripada Aliya.

"Bila awak balik daripada Kuching?"

"Baru aje tadi. Lepas tu saya terus ke sini. Nak jumpa awaklah," kata Naim dengan senyuman meleret. Langsung tak berselindung tentang perasaannya. Tidak mahu berhenti di situ, Naim luahkan pula rasa rindunya pada Aliya.

"Saya rindu awaklah. Kan bagus kalau awak bagi nombor telefon kat saya. Bolehlah saya call awak untuk lepaskan rindu. Tapi balik-balik, awak bagi nombor Fariz. Saya tak nak Fariz, saya nak awak!"

Sebal rasanya setiap kali mengenangkan Aliya enggan berikan nombor telefonnya. Dah dihujani dengan pelbagai alasan dan janji Aliya takkan diganggu setiap hari, tetap juga gadis itu berkeras menolak. Bukan Aliya saja, bahkan orang-orang sekelilingnya. Merayu pada Farizul, Dekna dan Wan untuk berikan nombor telefon Aliya tapi mereka semua sama kerasnya seperti si pemilik kafe itu.

Farizul yang setia memasang telinga, segera juihkan bibir. Tak pasal-pasal namanya pula dipetik Naim. Selaku seorang lelaki, Farizul juga keliru Naim termasuk dalam kategori mana. Lelaki yang gigih berusaha mengejar cintanya dan pantang menyerah? Ataupun lelaki yang kuat mendesak walaupun sudah ditolak Aliya berkali-kali? Sudahnya Farizul membuang pandang ke tempat lain dan waktu itulah matanya tertancap pada Suraya dan Haziq.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now