Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 3)

988 57 4
                                    

BAB 3

ALIYA pandang lelaki di kanannya. Kemudian dia pandang lelaki yang berdiri bertentangan dengannya pula. Kedutan jelas kelihatan di dahi, menandakan rasa bingungnya.

"Apa kau cakap?" tanyanya, hanya untuk mendapatkan kepastian.

Tangan Haziq spontan mengangkat tinggi beberapa keping surat lalu digerak-gerakkan di depan Aliya.

"Kaulah Aliya J, kan? Yang selalu bagi aku surat-surat ni?" tanya Haziq bersama keningnya diangkat berkali-kali. Apabila Aliya menggeleng laju, Haziq merengus. Sudah ketahuan pun, masih cuba menafikan.

"Aku tahulah aku kacak, pandai. Walaupun tak kaya-raya, Alhamdulillah senanglah juga. Kiranya satu pakej lengkap tapi kau tak payahlah stalk aku sampai macam ni sekali. Tiap-tiap hari bagi aku surat. Creepy!" Nada Haziq naik sedikit di hujung bicaranya. Badan sudah tergerak-gerak bagaikan cacing apabila membayangkan dirinya yang selalu diperhatikan Aliya.

Minggu pertama menjadi pelajar di kolej ini, hidup Haziq aman damai tanpa sebarang gangguan. Bukanlah niatnya untuk mendabik dada tetapi sekadar menerima kenyitan mata, nota yang bertulis nombor telefon dari gadis-gadis... Heh itu ialah perkara biasa. Namun minggu seterusnya, perkataan 'aman' kian menjauhi Haziq. Saban hari dia akan menerima sepucuk surat di mana initipatinya menyatakan betapa si pengirim meminati Haziq.

Sehari dua... Sekali dua... Masih ada ampun lagi. Tetapi ia berlarutan untuk sebulan lamanya hinggakan Haziq jadi rimas. Pantang alpa sedikit, tahu-tahu saja ada sepucuk surat di dalam begnya. Baru toleh sesaat, tiba-tiba sepucuk surat wujud di depan mata.

"Aliya Jasmine. Dalam kolej ni, nama kau yang paling dekat dengan Aliya J. Lebih baik kau mengaku sekarang. Memang kau yang kirim surat-surat ni kan? Kau memang stalk aku daripada sebulan lepas kan?" Haziq terus-terusan mendesak Aliya supaya mengaku.

Hujung bibir Aliya naik dengan sendirinya. Di setiap kata-kata yang meluncur keluar dari mulut Haziq, dia dapat kesan nada angkuh di situ.

"Siapa nama kau?" Bukan jawapan yang diberi Aliya, sebaliknya satu soalan. Aliya sudah berpeluk tubuh manakala anak mata memanah tepat ke anak mata Haziq. Berani.

"Dah stalk aku lepas tu acah-acah tak tahu nama aku pula?"

"Aku tanya, jawablah! Tak payah nak putar-belit alam!"

"Haziq. Alif Haziq bin Yusof. Kau nak nama atuk dan moyang aku sekali tak?" Jawapan dan sindiran diberi dalam satu pakej.

"Sedap nama kau. Tapi perangai kau, nauzubillah." Satu komen ikhlas dihadiahkan Aliya.

"Kau..."

"Al..." Farizul menegur rakannya sekali gus matikan niat Haziq untuk mencicih. Apabila Aliya memandangnya, Farizul gelengkan kepala. Sudahnya Aliya hentakkan kaki dan membuang pandang ke tempat lain. Farizul pandang Haziq pula, mahu membela si rakan. Pada hematnya, lebih baik dia yang bersuara. Harapkan Aliya? Mulut yang cuma tahu lemparkan kata-kata pedas itu pastinya buatkan keadaan jadi semakin tegang. Dari gaya Haziq, Farizul tahu lelaki itu serius. Dan dia juga harus serius dan bijak menangani situasi ini.

"Al bukannya Aliya J," kata Farizul pendek.

"Siapa kau? Boyfriend dia? Jagalah girlfriend elok-elok. Janganlah kemaruk sangat nakkan lelaki sampai stalk aku dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu. Seriau tahu tak?" Haziq cerunkan matanya pada Farizul. Baru terdetik di hatinya apakah hubungan mereka berdua.

Tak sempat Farizul menjawab apa-apa, Aliya sudah mencelah. Mencerlang matanya pada Haziq. Meski lelaki itu lebih tinggi daripadanya, saat ini Aliya nampak Haziq besar kecil besar kecil saja. Diturutkan hati, mahu saja Aliya seligi kepalanya.

Cakap ikut sedap mulut!

"Mulut kau memang macam puakalah. Siapa yang malang sangat nakkan kau? Apa yang dia nampak kat kau? Muka? Tak adalah kacak mana. Letak sebelah Shrek pun, aku rasa Shrek kacak sepuluh kali ganda. Hidung pun taklah mancung sangat. Hidung Pinocchio lagi molek daripada hidung kau! Tinggi?" Aliya pandang Haziq dari atas ke bawah. Mahu terus menilai fizikal lelaki itu walaupun jauh di sudut hati, Aliya sedar ianya tak wajar dilakukan.

Tak kisahlah apapun rupa bentuk Haziq, itu semua ciptaan-Nya. Tak seharusnya Aliya mengutuk atau merendah-rendahkannya tetapi Haziq pun kenalah beringat. Allah dah pinjamkan rupa elok sebegitu, jagalah! Gilap sikit nilai-nilai murni yang ada dalam diri, bukannya berperangai buruk sebegitu. Alih-alih saja tuduh orang membuta tuli tanpa menyiasat terlebih dahulu.

"Kau tinggi macam zirafah sekalipun tapi kalau budi bahasa jatuh sampaikan masuk ke liang lahad, tak guna juga!" tempelak Aliya. Tangan Farizul yang menarik lengan bajunya ditepis berkali-kali. Mata menjegil pada Farizul, menghantar amaran kepadanya.

Jangan dikacau orang yang tengah emosi!

Haziq terpinga-pinga mendengarkan komen terlampau ikhlas itu. Tangannya spontan memegang pipi, hidung dan kepala. Kemudian kepala tunduk sementara akal ligat melakukan kira-kira sedalam mana liang lahad. Terasa surat-surat di tangannya dirampas, kepala Haziq automatik mendongak. Kini matanya tertumpu pada surat-surat yang ada di tangan Aliya pula.

Sampul surat dibuka lalu mata Aliya laju berlari di atas surat. Bukan main lagi si pengirimnya. Siap menyembur minyak wangi lavender. Betul-betul mahu mengorat!

Farizul turut panjangkan lehernya. Penasaran dengan isi surat tersebut. Kalau isinya biasa-biasa, masakan Haziq akan 'menyerang' Aliya sebegitu. Kaedah 'skimming' digunakan. Di setiap surat yang dibaca, kedua-duanya pamer muka toya. Bukan saja setiap pergerakan Haziq diperhatikan. Malah ayat yang digunakan Aliya J, walaupun berbunga dan agak puitis, ia tetap menakutkan.

Dasar stalker tegar!

Tidak sanggup meneruskan bacaannya, cepat-cepat Aliya pulangkan balik surat-surat tersebut pada Haziq.

"Aliya J? Seriuslah. Kalau aku jumpa perempuan yang guna nama aku ni, memang aku sekeh kepala dia sampai botak. Dalam ramai-ramai orang, dia gunakan nama aku untuk berkenalan dengan kau? Tak ada taste langsung!"

"Eh mulut kau..."

"But I have to admit it. She. Is. Creepy. Tapi aku bukan Aliya J. Faham?" Jari telunjuk tegak di depan Haziq saat Aliya tuturkan itu. Tanda tegas.

"Tapi nama kau Aliya Jasmine!"

"Ya Allah Ya Tuhanku. Ya, nama aku memang Aliya Jasmine. Tapi aku bukan Aliya J. Kau faham tak?!" Aliya menengking akhirnya.


"HAZIQ... Memang sengaja cari pasal dengan aku," kata Aliya sebaik sahaja pita memorinya dijeda di situ. Jemari mengetuk meja perlahan sambil kepala digeleng. Seketika kemudian, pita memori bermain lagi. Kali ini bagaikan ada fungsi 'fast-forward' pula.

Atas persetujuan Haziq dan Aliya, mereka memulakan misi untuk mencari tahu gerangan siapakah si Aliya J. Dan akhirnya mereka berjaya menemui insan itu!

"Daripada kolej sampailah sekarang. Even lepas dapat tahu siapa sebenarnya Aliya J, Haziq tetap sengaja panggil aku 'miss stalker'," omelnya lagi sambil mengimbau kembali memori beberapa tahun lalu. Berbuih mulut Aliya marahkan Haziq namun hanya sengihan yang diterima.

Sengihan yang menyakitkan hati Aliya.

Satu perkataan muncul di benak Aliya dan sekelip mata, amarahnya meledak.

"Berani kau panggil aku 'my'? 'My'?!"

*****

Silakan komen, vote & share! 💙

PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now