Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 8)

792 44 2
                                    

BAB 8

BEG jinjit yang mempunyai beberapa buah buku resipi, pastri dan minuman diangkat dari tempat duduk penumpang lalu dipeluk di depan tubuh. Berbaloi dia bersesak-sesak di acara Big Bad Wolf tahun lepas apabila puluhan buku boleh dikaut dengan harga yang jauh lebih murah. Hari ini hari Rabu dan kebiasaannya, kafe lengang. Rencana Aliya, dia mahu gunakan kesempatan ini untuk menelaah mana-mana resipi bersama Farizul. Sekadar khidmat atas talian saja tak memadai.

Ilmu boleh dicekau di mana-mana. Ya, Aliya bersetuju. Tapi padanya, ilmu harus dituntut dengan sedikit usaha. Walaupun segala informasi ada di hujung jari, Aliya yakin ilmu merata di internet itu tak sama kualitinya dengan apa yang ada di dalam buku.

Pintu kereta ditolak menggunakan kakinya. Baru saja kaki kanan mahu mengorak langkah, satu suara menyapa Aliya dari belakang.

"Hai..."

Suara yang sudah begitu sebati dengan telinganya memudahkan Aliya tahu identiti si penegur tanpa perlu menoleh. Tahu-tahu saja seorang lelaki berdiri tepat di hadapannya, menyengih bagaikan kerang busuk.

"Waalaikummussalam," sindir Aliya.

"Baguslah Melur! Mengingatkan sesama Muslim betapa pentingnya memberi salam dan mendoakan kesejahteraan satu sama lain. Aku bukannya tak nak bagi salam tapi aku nak minimakan kebarangkalian untuk kau dapat dosa."

Akal Aliya cuba mencerna ayat-ayat Haziq yang agak berbelit itu namun awal pagi sebegini... Tahap kelajuan otak Aliya tak ubah seperti siput babi. Lembap. Tak dapat langsung dia rungkai apa yang cuba disampaikan Haziq.

"Kau merepek apa?" Sudahnya, Aliya bertanya semula. Sempat matanya mengerling komputer riba dan buku nota yang dipeluk Haziq. Di tangan kiri pula, ada sebatang pen yang digenggam kemas. Aliya mendongak, berbalas pandang dengan lelaki yang tingginya kira-kira 174sm itu.

"Dalam Islam, wajib untuk kita jawab salam." Haziq mulakan mukadimahnya.

"So?"

"Sebab aku tahu Aliya Melur benci sangat dengan aku, jadi kemungkinan besar kau takkan jawab salam aku. Nanti kau juga yang berdosa. Aku tak nak tambahkan lagi dosa kau, dah-dahlah bahu kiri senget semacam," kata Haziq selamba seraya bibir dimuncungkan, mengunjuk pada bahu kiri Aliya.

Semerta Aliya melopong. Penjelasan itu... Layakkah digelar sebagai penjelasan? Sudah pastinya tidak. Aliya gelengkan kepalanya laju. Kaki diatur menuju ke pintu kafe tanpa mempedulikan Haziq. Dapat Aliya dengar bunyi derapan kaki di belakangnya, bererti Haziq sedang membuntutinya. Beg jinjit diletak di atas lantai sebelum Aliya tarik keluar kunci kafe daripada poket seluar.

"Sesungguhnya pagiku telah dicemari oleh insan bernama Alif Haziq. Dan sesungguhnya sabar itu separuh daripada iman. Maka Kau titipkanlah kesabaran untukku, Ya Allah..." Aliya mengomel sendiri sambil mulut terkumat-kamit memanjatkan doa pada-Nya. Hati beristighfar berkali-kali. Aliya tak minta banyak. Sekadar berikan secebis kesabaran sementara stafnya yang lain belum tiba. Tak naklah pula ada babak bertikam lidah di pagi hari. Dalam pada dia merasa bengang, tetap juga Aliya fikirkan keberkatan rezekinya.

Sebaik pintu ditolak, Aliya panjangkan tangan untuk mengangkat semula beg namun pergerakannya mati apabila melihat isi beg tersebut.

"Tolonglah bawakan sekali laptop dan buku nota aku. Tangan aku lenguhlah," kata Haziq seraya tangan kanan menumbuk-numbuk lengan kirinya. Bibir dimuncung pula pada komputer riba dan buku nota yang selamat menumpang di dalam beg Aliya.

Aliya hembus nafas kasarnya. Tak banyak bicara, Aliya angkat beg jinjitnya. Melebar senyuman Haziq apabila Aliya turutkan permintaannya. Namun sesaat kemudian, senyuman Haziq pudar. Aliya letakkan semula begnya, menarik keluar komputer riba Haziq dan diletakkan di atas lantai. Kaki kanan sudah diangkat, menyasarkan pada objek itu. Ada senyuman sinis di bibir Aliya sebelum kaki mula dihayun ke bawah.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now