Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 2)

1.2K 74 5
                                    

BAB 2

PUFFF!

Air kosong yang baru diteguknya tadi menyembur keluar dari mulut. Lekas-lekas Aliya jarakkan diri daripada Farizul. Tangan kanan menarik beberapa helai tisu lalu dicampak tepat ke arah Farizul.

"Selekeh!" marah Aliya. Nasib baiklah dia duduk di kanan Farizul. Kalaulah dia duduk di depan Farizul, tak pasal-pasal dia bermandi hujan ciptaan manusia pula!

Aliya jegilkan mata pada Farizul yang sedang mengesat bahagian mulutnya menggunakan tisu. Diperhatikan saja pergerakan Farizul. Kini tisu dibawa ke bahagian baju pula. Tiba-tiba pergerakan Farizul terhenti. Muka berubah riak.

"Laplah cepat. Gelilah!" tempelak Aliya walaupun baju itu sekadar dibasahi air putih. Tangan menarik beberapa helai tisu lagi lalu diserahkan pada Farizul.

Malangnya, niat baik Aliya dipandang sepi. Farizul masamkan muka pula. Perlahan-lahan kedua-dua tangan bergerak mendekati salah satu anggota badannya. Kononnya, mahu sorokkannya daripada pandangan Aliya.

"Kau tendang dia kat situ?" tanya Farizul perlahan.

Angguk.

"Kau... Betul-betul... Tendang dia kat... Situ?" Mata Farizul dikebilkan berkali-kali dengan harapan Aliya akan menukar jawapannya. Apabila Aliya mengangguk untuk kali kedua, dapat Farizul rasakan seluruh semangatnya meluruh. Kasihan pada insan itu! Tak semena-mena menerima tendangan di bahagian sulitnya! Dan Farizul selaku seorang lelaki, amatlah mengerti rasa sakitnya.

"Siapa suruh dia menggatal sangat? Padan muka, biar dia rasa sikit!" balas Aliya bersahaja, tiada walau sekelumit rasa bersalah dalam diri. Malah, Aliya berpuas hati. Dia paling benci lelaki yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan atas perempuan. Apa mereka fikir wanita ini layaknya diperlakukan sesuka hati? Heh tolonglah. Ini Aliya Jasmine! Jangan berani-berani sentuh walaupun sekadar hujung jari!

Kedengaran Farizul lepaskan keluhan berat.

"Sahlah, Al. Jodoh kau dengan Alif Haziq memang kuat," komen Farizul. Penuh keikhlasan tetapi berjaya buatkan Aliya menyinga. Tak semena-mena meja makan dihentak dengan telapak tangan.

"Jaga sikit mulut! Jangan kaitkan aku, dia dengan istilah 'jodoh'. A big no from me," kata Aliya seraya memberi amaran.

Farizul angkat kedua-dua tangannya tegak di udara, gaya si pesalah yang sedang menyerahkan diri pada pihak polis. Tangan kanan dibawa ke mulut lalu membuat isyarat zip mulut dari hujung bibir kiri ke hujung bibir kanan. Aliya menjeling Farizul, sengaja membuang pandang ke tempat lain.

Alif Haziq...

Nama itu diseru Aliya di dalam hati. Seterunya semasa di zaman kolej dan nampaknya, mereka dipertemukan lagi selepas beberapa tahun tidak bersua muka. Tangan sudah mengepal penumbuk di luar sedar.

Dalam banyak-banyak insan, kenapalah dia ditakdirkan untuk berjumpa dengan Haziq? Dan dalam banyak-banyak situasi, kenapalah mereka dipertemukan dalam situasi sebegitu? Di mana Aliya tersalah masuk tandas lelaki dan Haziqlah satu-satunya lelaki yang ada!

"Kau memang tak ingat muka dia ke? Kau tak cam dia?" Farizul bertanya hairan. Pantas kepala Aliya bergerak ke kiri dan kanan sebagai satu bentuk penafian.

"Memori kepala aku boleh sumbat sejuta muka manusia lain tapi bukan dia. Semaklah!" kata Aliya bersahaja. Sungguh, dia memang terlupa seraut wajah Alif Haziq. Yang tersimpan di stor memorinya hanyalah babak pergaduhan mereka manakala muka Haziq sudah awal-awal lagi dilupuskan. Namun apabila Haziq menggelar dia 'miss stalker', sepantas kilat memorinya pulih. Muka Haziq yang kabur-kabur, dan-danlah jadi sejelas-jelasnya. Sepertinya orang yang hilang ingatan dan baru mendapatkan semula cebisan memori yang satu ketika dahulu pernah lesap.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now