Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 15)

646 39 5
                                    

BAB 15

MATA tertumpu pada Dekna yang sedang mop lantai. Beralih pada Suraya yang sedang menghantar makanan pada pelanggan. Beralih lagi pada Farizul yang berdiri di sebelahnya, sedang mengisu bil untuk pelanggan yang sudah selesai menikmati santapan di Mikro. Dan sekarang...

Aliya pandang sebuah meja kosong. Tiada sesiapa di situ tapi entah kenapa matanya terbayang-bayang figura seorang lelaki yang khusyuk membaca sesuatu di skrin komputer ribanya. Akal Aliya masih ligat berimaginasi. Kali ini dia lihat lelaki itu sedang menikmati hidangan Tuna Shak penuh berselera.

Usai mengucapkan terima kasih kepada si pelanggan dan menyerahkan resit, Farizul menghantar pemergian si pelanggan dengan sorotan mata dan senyuman di bibir. Di saat Farizul menoleh pada Aliya, semerta senyumannya lesap. Sekarang Farizul bercekak pinggang sambil matanya memandang Aliya dari atas ke bawah.

"Tak pernah-pernah umur kau termenung. Kau tengah fikir apa?" tanyanya perlahan. Bukannya dia tak perasan hari ini Aliya lebih banyak berdiam diri daripada biasa. Sedar Aliya termenung pada satu arah, Farizul juga halakan anak mata ke tempat yang sama.

Suraya yang baru memberi pesanan pada Wan di dapur, mara menghampiri Farizul dan Aliya. Dipandangnya mereka bersilih ganti sebelum Suraya pacakkan pandangannya pada Farizul.

"Bos kita dah jadi mannequin ke? Susah sangat aku nak dengar suara dia hari ni," tanya Suraya. Belum sempat Farizul berikan sebarang jawapan, Suraya berkata lagi.

"Aku curiouslah apa jadi semalam. Kau tahu tak, Fariz? Haziq pun sama macam ni. Termenung, menyengih sendiri. Al tengah tenung meja yang Haziq selalu duduk kan?"

"Wow ini berita hangat. Dia orang dah angau dengan satu sama lain pula ke?" tanya Farizul penuh keterujaan. Suraya menjongket bahu. Sejujurnya, dia juga mahukan jawapan untuk soalan itu. Kehadirannya ke rumah Haziq malam tadi tidak membuahkan apa-apa hasil tetapi bagus juga. Dapatlah dia berkongsi cerita Haziq dan Aliya kepada keluarga Haziq.

Hati Suraya sudah mengejek nakal. Entah berapa lamalah Haziq terperangkap dalam sesi soal-jawab bersama Halimah dan Warda malam tadi...

"Nurul Suraya."

Satu suara yang begitu sebati dengan telinga setiap pekerja di kafe Mikro kedengaran. Aliya yang tadinya termenung, kini sudah kembali ke alam realiti. Automatik tiga pasang mata tertumpu pada seorang lelaki berbaju kelabu dan berseluar hitam.

Bulat mata Suraya jadinya bilamana lelaki itu berdiri begitu dekat dengannya. Terpaksalah Suraya mendongak untuk mencari sepasang mata lelaki tersebut.

"Kenapa, Ziq?"

Pantas akal Suraya menjana satu soalan. Adakah Haziq marahkannya kerana membuka cerita tentang Aliya pada Halimah dan Warda? Di saat akal menjawab 'ya', dan-dan Suraya tersenyum kambing.

"Sorrylah pasal semalam. Aku..."

Apa jua yang Suraya hendak katakan, mati di situ bilamana Haziq mencelah terlebih dahulu.

"Kau kena kahwin dengan aku, Su."

Serentak, aura hitam menyelubungi Mikro.


APABILA dirinya menerima renungan tajam Haziq, tawa Suraya mati namun hanya untuk sesaat dua. Kemudian kereta Haziq kembali gamat dengan bunyi ketawa Suraya. Berdekah-dekah.

"Ziq! Aku gelak sampaikan aku menangis. Ya Allah. Sumpah cerita kau kelakar!" Suraya sambung gelak. Wajah cemberut Haziq berjaya buatkan hatinya terus-terusan digeletek.

"Tak kelakar langsunglah! Kau tahu tak semua ni berpunca daripada siapa? Daripada kaulah!" Haziq terus hamburkan amarahnya pada Suraya tanpa menunggu lama. Dia merengus pula. Sebal. Geram. Bengang. Semuanya itu sesuai untuk menggambarkan perasaannya sekarang.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now