Novel: Akulah Si Heroin! (Bab 10)

708 44 3
                                    

BAB 10

"AYAH..."

Johan menoleh ke kanannya apabila dipanggil si anak. Aliya senyum sesaat sebelum sampul surat berwarna putih diletakkan di atas riba si ayah.

"Apa ni?" tanya Johan dengan dahi berlapis.

"Duit hutang Al pada ayahlah," jawab Aliya.

Mulalah si ayah tarik muka masamnya. Jawapan sependek itu sudah memadai untuk memberitahu apa yang dimaksudkan Aliya. Kaki yang tadinya terjuntai ke lantai, Johan tarik lalu dia duduk bersila di atas sofa menghadap Aliya. Sampul surat putih kembali ke telapak tangan si anak.

"Berapa kali ayah nak cakap? Tak payahlah bayar balik. Ayah dengan abang kan memang nak tolong..."

Selang dua bulan, dialog inilah yang wajib dia lontarkan pada Aliya. Entah kenapalah si anak berkeras sangat mahu membayar semula duit yang dia dan Ali dahulukan untuk membuka Mikro. Sudah berkali-kali Johan dan Ali menolak. Sungguh, mereka benar-benar ikhlas!

"Al tahulah tapi Al tak selesa. Lagipun Al kan memang dah janji nak bayar semula pada ayah dan abang. Al tahu ayah dan abang berhabis duit, berikat perut semata-mata demi Al. Ayah jual rumah lagi satu tu untuk Al juga. Al hargai sangat-sangat jadi Al tak naklah terus-terusan ambil kesempatan," kata Aliya bernada lembut.

Johan tarik muncungnya.

"Ambil kesempatan? Al rasa ayah dengan abang ni, orang luar ke? Kenapa ada istilah 'ambil kesempatan' pula antara kita bertiga?" tegur Johan yang mula terasa hati.

"Bukanlah... Al ada prinsip Al sendiri. Sampai bila ayah dan abang nak terus-terusan provide semuanya untuk Al? Al tahulah ada masanya Al childish dan tak matang tapi itu tak bermaksud Al harapkan semuanya dah terhidang, disediakan depan mata. Al pun nak berusaha juga. Al nak berdikari dan berdiri atas kaki sendiri. Dan yang paling penting, Al nak buat diri Al bangga. Jadi satu hari nanti, Al boleh toleh belakang dan cakap kat diri Al.

'Tengok, Al. Kau dah berjaya lepasi semua episod hitam kau. Kau ada orang-orang kuat di belakang kau tapi tunjang utamanya ialah diri kau sendiri.'

Al tak maksudkan ayah dan abang sebagai orang luar. Ayah pun tahu kan? Sampai bila-bila pun, ayah dan abang tetap orang paaaaling penting dalam hidup Al. Janganlah cakap macam tu lagi. Eh?"

Panjang lebar Aliya jelaskan prinsip hidupnya kepada si ayah, diikuti dengan azamnya sendiri. Di hujung bicara, Aliya tarik jemari Johan lalu ditepuk lembut. Mahu memujuk si ayah agar tidak berfikir bukan-bukan tentangnya.

Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Aliya, Johan hadam satu per satu. Perlahan-lahan rasa kecewanya beransur pergi. Johan melirik senyum sambil tangan kanan diangkat dan diletakkan di kepala Aliya. Ubun-ubun si anak diusap perlahan.

"Ayah asyik lupa anak ayah dah dua puluh lapan tahun. Ayah asyik nampak Al macam budak sepuluh tahun aje, yang ayah kena selalu jaga," kata Johan. Ada rasa bangga menyelit masuk ke dalam hatinya.

Betul, Aliya memang seorang yang tegas dan sentiasa berpegang pada prinsipnya. Di sebalik mulut yang kadang-kala macam murai tercabut ekor, ada seorang wanita yang mampu berdiri dengan gahnya tak kira badai apa yang melanda.

"Tahu pun. Janganlah sentap. Kalau ayah sentap lagi, Al carikan calon bini untuk ayah. Nak?" Sengaja Aliya berlelucon untuk redakan suasana serius. Ibunya sudah meninggal dunia sejak dia berusia sembilan tahun dan sejak itulah dia menjadi buah hati pengarang jantung si ayah dan si abang.

Buntang mata Johan sambil mulutnya separa ternganga. Beberapa detik kemudian, Johan mengangguk. Laju.

"Boleh juga. Isteri menyenangkan hati. Tak macam anak-anak, buat ayah sakit jantung aje!" Usai tuturkan itu, Johan menerima satu cubitan di pehanya. Mengekeh Johan ketawa melihatkan cebikan Aliya.

Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]Where stories live. Discover now