BAB 14
SURAYA pandang Halimah. Halimah pandang Warda. Warda pandang Suraya. Kemudian mereka bertiga pandang Haziq pula. Dilihatnya senyuman masih tersungging di bibir lelaki itu. Jasad saja di sini namun mereka bertiga sangat yakin, fikiran Haziq menerawang ke tempat lain.
Halimah pandang Suraya pula, bercakap dalam nada biasa dengan harapan ia memadai untuk menarik Haziq semula ke alam realiti.
"Kenapa dengan kawan Su? Daripada tadi asyik termenung aje? Menyengih sendiri, kuis-kuis nasi dalam pinggan tapi tak makan pun. Ada apa-apa jadi ke tadi?" tanya Halimah.
"Adik rasa dah nak sepuluh minit kita kat meja makan ni tapi orang tua tu..." Terbantut bicara Warda apabila dia menerima jelingan daripada si ibu. Warda mencemih. Faham benar jelingan itu berpunca daripada gelaran 'orang tua' yang diberi kepada Haziq. Kata Halimah, tak elok!
"Su pun sebenarnya curious apa jadi siang tadi, Mak Imah. Sebab itulah Su menempel muka, minta tumpang makan malam kat sini. Su ingat nak korek cerita daripada dia," jawab Suraya jujur. Mata melirik pada Haziq di kirinya dan serta-merta hujung bibir Suraya menjongket sinis.
"Apa jadi siang tadi?" Warda tak menunggu lama untuk bertanya.
"Sekejap, Kak Su basuh tangan dulu," kata Suraya. Apabila Suraya berdiri, automatik Halimah dan Warda berdiri sama.
"Mak Imah pun dah habis makan. Kita basuh tangan dulu, lepas tu kita ke hall. Lauk-pauk biarkan aje dulu. Kutlah Haziq nak makan lepas dah habis melamun nanti."
"Umi, pergi bilik adiklah," saran Warda pula yang kemudiannya dijawab dengan anggukan serentak Suraya dan Halimah. Kedua-duanya bersetuju.
Beberapa detik selepas itu, tawa ketiga-tiga wanita itu terburai memikirkan tahap kekepohan mereka. Ini bukannya kali pertama mereka mengadakan mesyuarat tingkap di bilik Warda. Memandangkan Suraya sudah mengenali Haziq sejak kecil, secara tidak langsung dirinya juga sudah dianggap sebahagian daripada keluarga Haziq. Katakanlah ada kisah-kisah terhangat, laju saja mereka kongsikan pada satu sama lain. Sebelum Wardina dan Wahida berumahtangga, mereka berdua juga tidak ketinggalan. Tetapi mereka sekadar bergosip tentang hal-hal yang membabitkan mereka sajalah. Tak adanya mereka mengumpat dan jaga tepi kain orang lain.
"ABANG..."
Panggilan Halimah menarik perhatian Haziq padanya. Jemari yang tadinya lincah menaip sesuatu di papan kekunci terhenti. Haziq menengadah dan semerta dua wajah memenuhi kornea matanya. Halimah dan Warda duduk sebelah-menyebelah, bertentangan dengan Haziq.
Sebelum komputer riba ditolak ke tepi, mata Haziq sempat mengerling jam digital yang terletak di bahagian bawah kanan skrin. Tertera perkataan '1:47am' di situ.
"Dah nak dua pagi, kenapa umi dengan adik tak tidur lagi?" tanya Haziq hairan.
"Selalunya umi yang bising, tak nak tidur lambat. Takut lambat bangun, nanti lambat buka MyMart. Tapi malam ni terlajak tidur sangat," tambah Haziq lagi.
Walaupun tidak secara formal, Halimah sememangnya punya jadual tidur sendiri. Seawal sepuluh malam dia akan belayar ke alam mimpi dan selepas solat subuh saja, matanya akan segar-bugar. Terus bersiap-siap untuk ke kedai runcit milik arwah suaminya yang diberi nama MyMart. Selalunya Haziqlah yang akan menjadi pemandu Halimah, menghantar dan menjemput Halimah tetapi baru-baru ini, tugasnya sudah diambil-alih oleh Warda.
Dilihatnya hujung bibir Halimah sudah menaik.
"Kalau takut umi terlajak tidur atau takut tak ada orang jagakan MyMart, tolonglah umi. Ini tidak. Rela ke tempat lain daripada tolong umi dia." Satu sindiran diberikan khas untuk si anak lelaki merangkap anak sulungnya. Halimah pandang Warda, memberi isyarat kepada Warda untuk menyambung bicaranya. Mengerti maksud lirikan mata si umi, Warda segera membuka mulut.
YOU ARE READING
Akulah Si Heroin! [TERBIT - KARYASENI]
Romance🌸 BLURB AKULAH SI HEROIN! 🌸 Pertama kali bertemu selepas bertahun-tahun tidak bersua muka, Aliya dan Haziq tetap menjadi seteru sama lain. Semuanya gara-gara stalker tegar Haziq yang menggunakan nama 'Aliya J' hingga tercetusnya salah faham di ant...