1. Haidir - Perjalanan

8.1K 99 65
                                    

Lebuh Raya Timur - Barat

DI ufuk barat, matahari mula perlahan-lahan terbenam, siang bakal berlabuh dan malam bakal muncul.

Di langit jingga, unggas kelihatan sibuk berterbangan untuk pulang ke sarang.

"Bro, dah nak masuk waktu maghrib ni. Elok kita berhenti sekejap... Kita solat dulu." tutur seorang lelaki yang memandu Nissan XTrail berwarna perak kepada sahabat yang berada di sebelahnya.

"Alah, bro kita kan musafir..tak salah kalau buat jama' takhir nanti." balas Haidir bersahaja. Berat sungguh untuk dia menunaikan perkara fardhu yang menjadi kewajiban setiap hamba Tuhan.

"Jama' takhir atau jama' takyah. Macam aku tak kenal kau tu." sindir Faizul.

"Aku pun kenal kau, alim-alim taik kucing.. Siapa yang curi makan dalam bulan puasa di stor belakang kalau bukan kau, Zul!"

"Dah kau yang ajak, setan!" Balas Faizul lalu menekan pedal minyak apabila lampu isyarat merah bertukar hijau di persimpangan Gerik.

Dua orang sahabat yang berada di dalam SUV ketawa berdekah-dekah apabila mereka saling sindir-menyindir di antara satu sama lain.

Remang- remang cahaya mulai melitupi waktu senja. Faizul meneruskan pemanduan membelah keheningan senja untuk menuju ke Kota Bharu. Tidak banyak kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu ketika ini. Cuma sesekali mereka berselisih dengan beberapa kenderaan dari arah yang bertentangan.

"Bro, aku nak singgah di Shell sekejap.
Baik aku solat dahulu.. Kau nak ikut tak?" kata Faizul seraya memberikan signal ke kanan untuk membelok masuk ke perkarangan stesen minyak.

"Kau solatlah dulu.. Aku nak tidur sekejap. Eh, rokok aku dah habis. Tolong belikan dunhill sekotak." balas Haidir seperti bermalas-malasan.

"Amboi dunhill, berlagak sial. Bak duit aku beli. Kau nak apa lagi?"

"Duit company kan ada.. Bila lagi aku nak paw. Ala dunhill je pun..boss tak kisah pun kan. Kau belilah air Redbull untuk aku sebotol..."

"Baik bosskur.. Kau stay dalam kereta ye. Kalau ada awek lalu jangan kau ngorat pula."

"Mana boleh aku tak ngorat.. Kalau yang datang cun macam Neelofa, dah jatuh hukum wajib untuk aku mengorat." Balas Haidir dengan ketawa mengekek.

Faizul berlalu meninggalkan Haidir yang keseorangan di dalam kenderaan. Dia tidak betah untuk melengah-lengahkan solat apatah lagi ketika ini dia sedang melakukan perjalanan yang berjarak jauh. Dia sering mengigatkan akan dirinya tentang pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi ketika sedang bermusafir.

Sedang Faizul menunaikan kewajibannya, manakala Haidir mula menginjak ke alam mimpi. Matanya mula mengantuk dek tubuhnya telah mengalami kelesuan. Rasa penat setelah melakukan tugasan pagi tadi masih lagi terasa tambahan pula sekarang dia terpaksa mengikuti Faizul bertemu pelanggan syarikat di Kota Bharu.

Namun sebagai seorang kawan dan juga rakan sekerja, dia menerima pelawaan Faizul dengan hati yang terbuka. Sememangnya dia gemar untuk mengikut Faizul bertugas di luar kawasan bukankerana sikap kawannya yang tidak lokek untuk berbelanja, tetapi kerana dia ingin mengunjungi bandar itu setelah kali terakhir dia ke sana ketika umurnya 16 tahun.

Haidir menggosok matanya berkali-kali sambil mulutnya juga tak henti-henti menguap. Dia cuba menahan diri dari terus tertidur. Namun gagal. Faktor keletihan menyebabkan dia terlena.

"Abaaang!"

Satu suara gemersik menyapa gegendang telinganya. Suara itu sayup-sayup kedengaran dari luar kenderaan.

JELMAAN BIDADARIWhere stories live. Discover now