Bab 6. Melisa - Seri Wajah

3.2K 79 20
                                    

JARUM jam di dinding sedang berada pada nombor dua belas. Bermakna sebentar lagi akan memasuki tarikh dan hari yang baru. Mata Melisa terkebil-kebil memandang ke arah jam itu, fikirannya mula sedikit berserabut. Hatinya semakin berbolak-bolak di antara keyakinan dan curiga.

"Perlu ke aku ikut apa yang disuruh Makcik Timah tu..Hissh..." Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia bangkit dari katil untuk berdiri, hanya dua minit dia berdiri kemudiannya dia kembali duduk. Ternyata dia sedikit gelisah. Dia memejamkan mata, cuba mengingati momen pertemuannya dengan Makcik Timah pada dua hari yang lepas.

"Mana kain batik yang kamu selalu pakai? Mana duit satu sen yang aku minta kau bawa." Seorang perempuan yang usianya telah menjangkau enam puluh tahun sedang duduk bersila di hadapan Melisa. Perempuan tua yang berkemahiran dalam perbidanan itu turut handal menjadi bomoh juga

Perempuan tua yang dikenali dengan panggilan Makcik Timah sedang sibuk mengunyah sireh di dalam mulutnya. Di hadapannya terdapat satu mangkuk kecil yang diperbuat dari tanah liat yang berisi tiga biji limau purut, sebatang jarum,selembar benang merah dan dua keping asam keping. Di sebelah mangkuk terdapat satu labu sayung yang berisi air. 

Melisa tidak teragak-agak menyerahkan sehelai kain batik lepas , tiga keping duit siling satu sen kepada Makcik Timah. Dia yang duduk bersimpuh sekadar melihat kelakuan perempuan tua ini tanpa sebarang bicara yang muncul dari mulutnya. Bibirnya bagai dikunci ketat, matanya bagaikan terpukau menyaksikan setiap perbuatan yang dilakukan oleh Makcik Timah.

Makcik Timah membuka lipatan kain batik berwarna kuning berbunga hijau lalu dirapatkan ke wajahnya. Mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca sebuah mentera. Dihembus akan kain itu beberapa kali. Makcik Timah nampak begitu bersungguh-sungguh membuat pekerjaannya.  Kemudian dia mengambil sebiji limau, dicucuk limau itu dengan menggunakan jarum sebanyak tujuh kali. Dibiarkan jarum itu tertusuk pada limau tersebut. Makcik Timah mengambil sebiji limau purut yang lain, dibelah dua lalu dihembus limau itu dengan beberapa kali. Selepas itu Makcik Timah memicit-micit limau tersebut sehingga mengeluarkan air perahan lalu menitis pada kain batik milik Melisa.

Kain batik itu dibentangkan menjadi satu hamparan, sejurus itu Makcik Timah mengambil tiga keping duit siling satu sen lalu disusun satu-persatu menjadi seperti segi tiga. Bibirnya kelihatan terkumat-kamit seperti membaca sesuatu mantera sambil tangan tangannya menggosok lembaran kain batik.

"Kamu kemari.. meh, duduk sebelah aku.. Aku nak tunjuk cara nak bagi naik seri wajah kamu tu." Ujar Makcik Timah sambil menepuk-nepuk lantai sebelah kirinya sebagai tanda supaya Melisa datang ke sebelah itu.

Melisa akur dengan arahan Makcik Timah lalu berganjak untuk duduk berlunjur di sebelah Makcik Timah itu. Gadis itu merapatkan tubuhnya ke arah Makcik Timah untuk mendengar penerangan tentang menaikkan seri wajah. Manakala Makcik Timah bersungguh-sungguh memberi panduan kepada Melisa. Perempuan tua itu turut meminta Melisa menghafal satu ayat yang berupakan jampi serapah sebagai pelengkap kaedah untuk menaikan seri wajah.

Beberapa detik dia berkeadaan seperti termenung jauh. Hatinya sedang berbelah bahagi untuk dia meneruskan hajat. Memiliki wajah yang cantik berseri merupakan idamannya semenjak remaja. Menjadi pujaan dan dambaan lelaki bagaikan memberikan keseronokan pada dirinya. Namun fikiran yang waras seolah-olah menegah kata hatinya yang seringkali membisikan kata-kata galakan. Dia meletakkan kembali lipatan kain batik berserta kotak berbentuk empat segi itu kembali ke dalam almari. 

Dia tersedar dari lamunan.  Dia mengeluh buat seketika. Segera dia menggapai sehelai kertas yang bertulisan tangan. Begitu tekun dia membaca dan menghafal ayat-ayat yang tertulis pada helaian kertas itu. Kemudian dia mencuba untuk  mengingati bait-bait mentera yang telah diajarkan oleh Makcik Timah tempoh hari. Setelah dia berjaya menghafal keseluruhan bait-bait mentera, Melisa bangkit dari duduknya lalu mencapai barang yang dibekalkan oleh dukun perempuan itu. Selembar kain batik yang berlipat, berwarna merah jambu berserta satu kotak kecil berwarna kuning di keluarkan dari almari pakaian .

'Melisa, tiada salah mencuba untuk menjadi cantik. Bukankah memiliki wajah yang anggun sudah menjadi idaman kamu sejak dulu lagi?!' Bisikan hatinya semakin kuat seolah-olah terus memaksanya.

Sebelum ini dia kelihatan seperti teragak-agak, kini telah mendapat keyakinan untuk meneruskan pesanan yang telah diturunkan oleh Makcik Timah padanya. Dia melucutkan baju kaftan dan menggantikan dengan kain batik itu. Dia membalut tubuh dengan memakai kain batik  secara berkemban. Dia membuka penutup kotak kecil lalu mengeluarkan tiga keping duit siling satu sen. Matanya terpaku sejenak apabila melihat duit siling yang dibalut dengan benang merah.

Melisa melangkah menuju ke dalam bilik air. Sejurus dia memasukkan air ke dalam sebuah tempayan, sambil itu mulutnya terkumat-kamit membaca apa yang telah diajarkan oleh Makcik Timah.

'Kun sarik panjik panjik , Bagurung bagirang, Taulas takani kasih,Taulas takani ngidan ,Kasih sayang dia pabila memandang akuk, Cinta sayang  jatuh meliat akuk, Dengan berkat Sang Penguasa Agung'

Usai membaca mantera lalu dia menyirami tubuhnya dengan air dari tempayan. Sambil menyiram akan tubuhnya, sambil itu dia menggosok kepingan duit siling pada sekitar wajahnya. Dia menggosok duit syiling itu seperti meratakan air pada keseluruhan wajahnya. Sambil hatinya berniat agar wajahnya menjadi semakin cantik dan berseri-seri. Siapa yang memandang akan wajahnya pasti akan terpukau dengan kecantikan wajahnya.

Dia lakukan semua ini kerana bersebab. Selain supaya mahu dipandang orang kerana memiliki seraut wajah yang mempesonakan. Dia mahu jadikan rupa paras supaya menarik perhatian dan pujian dari orang sekelilingnya. Bukan itu sahaja, apa yang sebenarnya dia mahukan ialah agar wajahnya kelihatan berseri-seri supaya dapat membuatkan hati seorang lelaki akan terpikat kepadanya. Bahkan dia sanggup lakukan apa sahaja demi meraih perhatian dan cinta seorang lelaki.

Sekarang, dia rela melakukan 'cara halus' ini setelah pelbagai perawatan moden yang telah dijalani sebelum ini yang tidak memberikan kesan terhadap apa yang dia inginkan. Dia berharap dengan bantuan Makcik Timah dapat merealisasikan hasrat hatinya.

'Aku bulatkan tekad untuk cantik. Biarpun apa caranya. Asalnya aku dapat memiliki hatimu, sayang.' Tutur Melisa perlahan.

Walaupun detak jantungnya semakin laju tatkala dia menyapu akan wajahnya dengan kepingan syiling namun dia tidak peduli. Tekadnya sudah bulat. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Itu yang sedang bermain pada fikirannya. Dia tidak peduli malah tidak mahu berfikir panjang akibat dek perbuatannya yang menggunakan ilmu yang beteraskan khurafat untuk kepentingan dirinya. 

Sebenarnya Melisa sememangnya memandang enteng perihal perkara yang melibatkan kepercayaan dan agama. Baginya ritual seperti untuk seri wajah tidak melanggar hukum syarak. Lagipun dia tidak mengadakan sebarang ritual mistik lagi aneh seperti mandi dengan menggunakan pelbagai jenis bunga yang dipetik di dalam hutan, atau dia tidak menggunakan air yang diambil dari tujuh buah telaga. Dia hanya bersiram menggunakan air paip yang disalurkan oleh syarikat bekalan air dan disamping tiga keping siling satu sen yang diletakkan pada wajah, dada dan bahagian ari-ari untuk setiap satunya. Pada pendapatnya, tiada perbuatan aneh yang sedang dilakukan melainkan hanya mandi secara berkemban sahaja.

Sekujur badan Melisa masih berkeadaan basah lencun dengan air mandian. Dia mula menggigil kesejukan. Maklumlah dia sedang bersiram ketika jarum jam sudah melepasi angka dua belas tengah malam. Setelah habis satu tempayan air dicurahkan ke tubuhnya, Melisa bangkit dari duduk lalu keluar dari bilik air dengan kain kemban masih membalut akan tubuhnya.

Ada syarat yang ditetapkan oleh Makcik Timah setelah bersiram, Melisa perlu berkeadaan basah lencun untuk beberapa minit lagi dan perlu berada di tengah-tengah ruang tamu rumah. Bediri tegak sambil mendongakkan kepala ke atas. Melisa perlu membaca satu mantera

"Datangmu membawa sinar cahaya seperti sirnanya rembulan purnama. Hadirmu membawa seri seperti serinya kuntuman bunga yang sedang mekar. Kini aku seru padamu sang pemilik seribu wajah. Serikan wajahku dengan cahayamu.'

Setelah terlafaz kata-kata itu dari bibir Melisa, dengan serentak dia meleraikan simpulan kain padanya. Sengaja dia melorotkan kemban biar jatuh mencecah lantai. Dikala itu bagaikan ada lintasan cahaya putih dari siling rumah menikam dahi Melisa. Cahaya putih yang berbentuk seperti seutas tali halus yang panjangnya hanya sejengkal meresap masuk ke dalam tubuh tanpa disedari oleh Melisa.

***bersambung***

JELMAAN BIDADARIWhere stories live. Discover now