Makhluk jelmaan bertubuh perempuan berwajah khinzir terperosok dalam kelelahan yang amat sangat. Makhluk yang bernama Mae Trang enggan mengangkat wajahnya apabila namanya diherdik kasar oleh tuan yang membelanya. Dia merunduk bukan disebabkan rasa malu, tetapi dek kerana keangkuhan dirinya sebagai makhluk dari alam kegelapan. Tunduknya pada manusia adalah sebagai helah semat-mata.
"Mae Trang, apa yang telah berlaku?" Suara seorang perempuan tua menyergah makhluk jelmaan yang terperosok di penjuru rumah.
"Aku buat apa yang kau suruh!" Bentak makhluk jelmaan itu dengan angkuh.
"Habis tu kenapa kau tak bunuh sahaja lelaki itu seperti mana aku suruh!" Perempuan tua yang digelar sebagai Dukun Tijah atau Mak Tijah mula membengis. Dengusan nafasnya kedengaran seperti seekor kerbau yang sedang disembelih lehernya.
"Budak lelaki itu telah aku kerjakan cukup-cukup! Tetapi belum sempat untuk aku cabut nyawa budak itu, entah dari mana muncul seorang perempuan dan menghalang kerja aku. Aku tepaksa berundur seketika. " Jelas Mae Trang dengan suara yang garau.
"Maksudnya kamu telah kalah, Mae Trang! Kamu tahu apa hukuman yang bakal aku lakukan kepada kamu jika kamu gagal selesaikan kerja yang aku perintahkan." Bentak perempuan sihir. Ditangannya terdapat satu tongkat yang dipercayai mempunyai kesaktian. Mae Trang amat takut terhadap kesaktian tongkat itu kerana dengan hanya satu tujahan boleh melumpuhkan seluruh tubuhnya.
"Maafkan aku dukun. Kasihanilah aku wahai dukun. Aku berjanji akan menghapuskan mereka semua. Aku berundur bukan bermakna aku tewas. Cuma aku perlukan sedikit kuasa untuk melawan perempuan itu. Ternyata kekuatannya sangat ampuh untuk aku kalahkan. Berikan aku lebih kuasa wahai dukun yang bijaksana!" Rayu Mae Trang. Sesungguhnya makhluk dari dunia gelap amat pandai menutur kata. Bicara mereka selalu penuh muslihat. Rayuan mereka bukan bererti mereka akan tunduk, malah mereka lebih menggemari untuk menundukkan manusia yang alpa. Manusia yang terpesong dari amalan agama langit.
Begitu juga dengan sikap Mae Trang, berlagak sebagai hamba kepada seorang manusia. Bukan bererti dia adalah hamba yang sebenar pada tuan. Dia sengaja mengikut tutur kata dukun kerana matlamat keturunannya supaya dapat mengheret manusia untuk bersama-sama mereka ke dasar neraka. Kejahatan yang diciptakan adalah berdasarkan dendam kesumat dari leluhur keturunannya yang telah bersekutu dengan mahkluk yang terlaknat di alam ini. Mereka berjanji akan berganding bahu untuk menyesatkan seluruh anak Adam di muka bumi ini.
"Apa maksud kamu? Siapa sebenarnya perempuan itu?" Ahli sihir itu menjengilkan matanya. Api kemarahan semakin meluap-luap. Jarang sekali makhluk belaannya tewas.
"Aku tidak tahu. Yang pasti dia bukan dari kaumku malah dia juga bukan manusia." Jawab Mae Trang sambil memicingkan mata ke arah tongkat sakti. Hatinya menjadi radang apabila mengenangkan musibah yang telah menimpa dirinya dahulu. Andai ada kesempatan, ingin sahaja dia mencuri dan menyembunyikan tongkat itu daripada Dukun Tijah. Keperitan hukuman terdahul masih lagi terasa azab pada tubuhnya. Dia tidak lagi rela diperlakukan dengan hukuman yang memeritkan tubuh fizikalnya.
"Aku mahu kau hapuskan lelaki itu dan mereka yang menghalang kerja-kerja aku. Faham!!!" Sergah perempuan tua yang sedang duduk bersila di tengah ruang sebuah rumah. Pandangan matanya seperti ingin membahan makhluk jelmaan yang telah sekian lama menjadi hambanya. Dukun Tijah menghentak hujung tongkat pada permukaan lantai papan beberapa kali sebagai isyarat untuk menghalau Mae Trang di hadapannya.
Makhluk jelmaan itu mengerti akan permintaan dukun perempuan itu, lantas mengecutkan dirinya yang besar untuk berubah menjadi seekor musang. Kemudian, musang jelmaan itu merangkak dan terus melompat keluar melalui jendela untuk keluar dari rumah itu. Musang itu tidak berada jauh melainkan hanya duduk di atas bumbung rumah Dukun Tijah. Hanya sesekali dia keluar untuk memburu darah atau daging haiwan-haiwan peliharan penduduk kampung di kawasan kejiranan.
YOU ARE READING
JELMAAN BIDADARI
HorrorApabila Tiga Cerita Menjadi Satu. DIA muncul apabila dihajati. DIA muncul apabila diseru DIA muncul apabila dicintai DIA adalah JELMAAN engkau.. Wahai Kekasih! Book cover by me, myself and Irine...