Dua hari sebelum.
Dua minggu yang lalu, adalah kali pertama Syamri berkunjung ke pondok Dukun Tijah. Dengan hajat untuk membalas dendam terhadap lelaki yang telah merosakkan hidup adiknya, Sheila. Dalam pada yang sama dia turut kesal kerana dia juga memberikan layanan buruk kepadanya. Dia keraskan hati bahawa lelaki itu yang bersalah dan bukan dia sebagai seorang abang. Lelaki itu perlu menerima hukuman yang paling kejam di atas perbuatan ke atas Sheila.
Syamri duduk melepaskan lelah di sebuah pondok di dalam sebuah kebun getah. Dia menyeka peluh yang membasahi wajahnya dengan menggunakan sehelai tuala putih yang telah kusam. Pandangan matanya tampak kosong, walhal benaknya sarat dengan pelbagai persoalan. Apa yang paling membimbangkan adalah berkenaan adiknya, Sheila yang kini terpaksa menanggung aib. Adik perempuannya didapati hamil luar nikah dan usia kandungan telah mencecah enam bulan menjadi satu tamparan hebat kepadanya.
Dalam termenung, Syamri cuba mencari akal untuk menyelesaikan masalah adiknya. Sementelah, lelaki yang menjadi penyebab adiknya mengandung enggan bertanggungjawab.
"Hoi, kau tanya pada adik kau. Berapa ramai jantan yang telah dia tidur. Adik kau tu sundal!!! Aku tak akan mengaku yang itu anak aku. Itu bukan anak aku!" Masih terngiang-ngiang kata-kata herdikan yang diterimanya. Sakit hatinya bertambah parah.
'Celaka! Aku mesti ajar budak bedebah itu!' Gumam Syamri yang menyimpan dendam. Kata-kata hinaan yang dilemparkan oleh lelaki itu semakin menekan jiwa Syamri. Dia bertekad untuk membalas setiap perbuatan lelaki itu yang menyebabkan adiknya dirundung malang.
Dua hari lepas, satu kejadian yang meruntun hatinya. Sheila diketemukan dalam keadaan tidak bernyawa. Darah merah pekat membasahi lantai. Sekujur tubuh seorang gadis terbaring tidak bernyawa di ruang pintu rumahnya. Terbaring dalam terlentang tidak lagi bernafas. Dengan mata dan mulutnya yang terbuka luas, tubuh Sheila sudah kaku menjadi mayat. Nampak seperti adiknya menanggung azab yang tak terperi ketika Izrail menjalankan tugasnya.
Syamri menyusur mendapatkan jasad adiknya. Dalam tangisan dia membentak-bentak kemarahan. Menyesali apa yang telah terjadi. Enggan dari terus melangut di birai pankin, Syamri menunggang motosikal menuju ke rumah.
****
"Kau memang lelaki tak guna Haidir!" Dalam kesakitan dia masih lagi sempat menghamburkan kemarahan yang telah berbuku di dalam hatinya.
Sheila membentak sendirian. Dia bagaikan kerasukan apabila tingkah lakunya yang menyepah-nyepah bilik tidur. Dia mengeluarkan segala benda di dalam almarinya lalu disepahkan. Dia membaling bantal ke dinding, sekejap kemudian dia mengutip balik lalu dibaling ke luar pintu.
Dengan rambutnya yang mengerbang tanpa disisir rapi. Baju kurungnya yang koyak dan lusuh seperti orang yang tidak siuman. Sekejap Sheila menangis teresak-esak sebentar kemudian tertawa terletus dari mulutnya. Nampaknya penyakit jiwa yang dihidapinya semakin kronik.
Sheila menekan perutnya di mana kandungannya sudah mencecah usia enam bulan. Terasa perutnya bagaikan dipulas dengan kasar. Kaki dan tangannya berasa kebas. Tambahan pula rasa loya dan mual menyerang tekaknya. Dia cuba bangkit, namun kudratnya amat longlai. Kesakitan yang dialami dirasakan seperti isi perutnya ingin ditarik keluar. Perutnya bagaikan dirobek-robek oleh sesuatu benda yang amat tajam. Pedih dan memeritkan.
Kesakitan yang dialami semakin tidak tertanggung olehnya. Namun Sheila tetap gagahi dirinya merangkak di lantai sambil memegang perutnya yang membusung. Darah pekat mula mengalir membasahi kedua-dua belah pehanya. Dia perlu mendapatkan pertolongan.
"Aduh... Sakitnya." Dia hanya mampu merintih. Dia merangkak sambil nafasnya tersekat-sekat. Sebelah tangan memegang perutnya dan sebelah lagi menongkat pada lantai. Kain sarung yang dipakainya mulai lencun dengan darah.
YOU ARE READING
JELMAAN BIDADARI
TerrorApabila Tiga Cerita Menjadi Satu. DIA muncul apabila dihajati. DIA muncul apabila diseru DIA muncul apabila dicintai DIA adalah JELMAAN engkau.. Wahai Kekasih! Book cover by me, myself and Irine...