Bab 7. Haidir - Hospital

2.7K 78 10
                                    

SUDAH dua hari Haidir terlantar di atas katil wad rawatan rapi Hospital Sultanah Zainab II, Kota Bharu. Malangnya, Haidir masih tidak menunjukkan perkembangan positif. Masih lagi terbaring kaku seolah-olah telah kehilangan nyawa, Pada mulutnya dilekatkan alat bantuan pernafasan supaya dia dapat meneruskan kelangsungan hidup.

"Apa yang sebenarnya berlaku kepada anak pakcik?" Tegur seorang lelaki separuh abad kepada Faizul. Dari semalam lelaki itu mahu mengetahui kejadian sebenar yang telah menimpa anaknya.

Mereka berdua berdiri dan menyandar pada dinding di luar wad berkenaan. Lelaki separuh abad itu merupakan ayah kepada Haidir, Encik Mohammad atau lebih mesra dikenali Pak Mad Janggut. Ketika ini, isterinya Mak Siti yang sedang menemani Haidir di dalam wad tersebut. Faizul berdiri bersebelahan dengan Pak Mad hanya mampu mengeluh sahaja. Berat lidahnya untuk bercerita apa yang telah terjadi pada Haidir. Sedangkan dia sendiri tidak pasti kejadian sebenar yang telah menimpa Haidir.

"Kami menjumpai Haidir pengsan dalam bilik hotel!" Terang Faizul. Dia menarik nafas panjang.

"Dia pengsan? Bagaimana boleh pengsan, tentu ada sebabnya." Tanya Pak Mad inginkan penjelasan lanjut. Nalurinya seolah-olah dapat menjangkakan sesuatu yang aneh yang telah menimpa anak lelakinya.

"Aku tengok badannya lebam dan berbirat-birat. Ada misi cakap satu badan Haidir berlemoih dengan selut. Takkan dalam bilik hotel ada selut. Apa yang kamu tahu tolong beritahu pakcik." Sambung Pak Mad. Dia bersama isterinya terpaksa berkejar dari Alor Setar ke Kota Bharu setelah mendapat perkhabaran berkenaan Haidir.

"Saya minta maaf pakcik. Pada malam tu saya telah ajak Haidir supaya tidur di rumah saya.. Tapi dia berkeras tak mahu. Dia nak tidoq kat hotel. Pagi tu sepatutnya kami berdua pi jumpa dengan client, banyak kali saya call dia tapi tak berjawab...." Faizul meneguk liur. Dia memandang wajah orang tua Haidir yang seperti berminat untuk mendengar penjelasan ini. "Lepas saya jumpa client, saya pi cari dia kat hotel. Tu yang kami jumpa dia pengsan atas katil."

"Lagu mana rupa dia masa kamu jumpa tu. Pakcik dengaq misi cakap badannya berlemuih selut hitam. Ada lendir kat dalam mulut dia.. Muka dia hitam legam. Awat boleh jadi lagu tu?"

"Betul pakcik, kami jumpa dia lagu tu lah!"

"Astargfirullah al'azim... " Pak Mad hanya mampu menggelengkan kepalanya apabila mengenangkan musibah yang telah menimpa anak lelakinya.

"Sabar pakcik. Sekarang ni polis telah buka siasatan. Mungkin ada ada orang buat khianat pada Haidir. Sama-sama kita berdoa semoga Haidir kembali sedar." kata-kata Faizul seperti memujuk orang tua itu.

"Siapa nak pedajai anak aku tuh. Dia budak baik.. Mana ada musuh dengan sesiapa pun!" Suara Pak Mad kedengaran cukup sayu di telinga Faizul.

"Pakcik dah makan ke? Tak elok dibiarkan perut tu kosong. Apa kata pergi makan dahulu. Sambil makan boleh kita sembang panjang lebar." Ajak Faizul, perutnya mula berkeroncong supaya diisi. Berat hati untuk membiarkan orang tua itu bersendirian di ruangan menunggu. Sementelah isteri berseorangan menemani Haidir di dalam wad ICU.

Pak Mad bersetuju untuk mengikut Faizul ke kantin hospital, lagipun dia juga turut berasa kelaparan. Semasa berada pintu lift, mereka terserempak dengan Ustaz Amirul yang muncul dari celah-celah kelompok manusia yang keluar dari kotak lift. Faizul terus meluru mendapatkan Ustaz Amirul lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Faizul turut memperkenalkan Ustaz Amirul kepada Pak Mad.

"Apa yang ustaz tahu mengenai kejadian yang berlaku pada kawan saya?" Soal Faizul setelah duduk berhadapan dengan Ustaz Amirul. Sepinggan mee goreng diletakkan di hadapannya.

Ustaz Amirul memejamkan matanya seketika. Dia sedar bahawa kemampuannya agak terbatas untuk melihat perkara di luar hijab matanya. Namun berdasarkan pemerhatian terhadap Haidir, dia dapat mengagak bahawa Haidir terkena gangguan ilmu hitam. Cuma dia tidak begitu pasti bagaimana perkara itu terjadi.

"Begini Encik Faizul... saya ni bukanlah pandai sangat nak melihat benda yang tak nampak dari mata kasar kita. Cuma hati saya kuat mengatakan bahawa kawan encik terkena sihir." Terang Ustaz Amirul lambat-lambat. Pemuda itu kelihatan cukup berhati-hati dalam pertuturan. Walaupun hatinya terasa sedikit gelisah dek apa yang telah berlaku kepada sahabat Faizul namun dia cuba berlagak tenang. Dia tidak mahu membuat andaian yang terburu-buru.

"Sihir?Maksud ustaz, anak saya terkena sihir. Siapa yang hantar pada dia?" Sampuk Pak Mad. Wajahnya kelihatan cukup resah. Dia tidak mampu menyembunyi rasa gelisah yang semakin meluap di dalam hatinya.

"Begini pakcik... Saya hanya mengandaikan.. tetapi mungkin juga betul atau mungkin juga salah. Tetapi Insha Allah saya berjanji untuk bantu tengok-tengok anak pakcik itu. Cuma buat masa ini, biarlah pihak hospital yang menguruskan sehingga dia betul-betul sedar."

"Kenapa nak tunggu dia sedar baru ustaz nak tolong. Kalau dia tak sedar atau dia mati. Lagu mana ustaz? Tak boleh ke ustaz mengubat dia sekarang ni." Tingkah Pak Mad.

Kelihatan Ustaz Amirul menarik nafas panjang. Faizul sekadar memandang wajah Pak Mad dan Ustaz Amirul secara gergilir-gilir. Baginya ada betul akan kata-kata Pak Mad itu. Dia juga berharap agar Ustaz Amirul dapat melakukan sesuatu mengikut kepandaiannya yang tersendiri.

"Ustaz boleh tolong kan. Saya tak kisah berapa upahnya.. Saya bayar ustaz, asalkan kawan saya itu boleh pulih." Pinta Faizul dengan penuh hemah.

"Bukan soal bayaran atau upah Encik Faizul. Insha Allah saya cuba sedaya upaya untuk tengokkan kawan encik itu... Cuma saya harap encik Faizul dan pakcik sama-sama berdoa pada Allah. Kita ni hanya mampu merancang dan berusaha. Sama-sama kita berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan kita ini." Jawab Ustaz Amirul dengan tenang.

Mendengar kata-kata Ustaz Amirul membuatkan hati Pak Mad sedikit lega. Dia juga berusaha untuk menyingkirkan rasa walang yang sudah bersarang di dalam hatinya semenjak mendapat perkhabran duka itu. Cuma yang menyebabkan hatinya berasa sebal, apakah perkara sebenar yang telah berlaku terhadap Haidir. Jika benarnya, Haidir disihir. Siapakan petualang yang tergamak melakukan onar terhadap anaknya. Kenapa dia bertindak sedemikian? Apa salah anaknya?

"Betulkah anak saya disihir?" Akhirnya persoalan itu terpancul dari mulut Pak Mad. Dia hanya mahu mendapat pengesahan daripada ustaz muda itu.

"Itu adalah andaian saya sahaja pakcik. Buat sementara ini, kita tunggu laporan perubatan hospital dan pihak polis dahulu." Sekali lagi Ustaz Amirul memberikan jawapan yang selamat. Memang dia hanya mampu membuat andaian, walaupun dari pemerhatiannya bahawa Haidir seperti disihir. Dia juga berusaha untuk menyingkapkan hijab namun keupayaannya sedikit terbatas. Dia bukanlah seorang dukun atau pawang yang menggunakan makhluk halus untuk mendapat kuasa sakti. Dia hanya seorang manusia biasa yang mengamalkan ilmu perubatan yang berlandaskan hukum syarak, ilmu yang dianugerahkan oleh Tuhan. Sebolehnya dia mahu manfaat dengan sebaik mungkin. Membantu manusia yang teraniaya adalah salah satu matlamat ketika dia dianugerahkan dengan kebolehan itu.

Pertemuan mereka bertiga di kantin telah mengambil masa sehingga satu jam. Kemudian mereka bertiga mengambil keputusan untuk kembali ke Wad ICU. Di dalam wad seperti tiada perkembangan positif terhadap Haidir. Lelaki itu masih lagi terlantar tidak sedarkan diri. Ustaz Amirul yang berdiri disebelah katil Haidir tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci Al-Quran sambil berdoa semoga Allah mempermudahkan urusannya. Duduk disebelahnya, kelihatan Mak Siti tekun membaca Surah Yassin, sesekali wanita tua itu menyeka kelopak matanya. Ibu mana yang tidak berasa gundah melihat keadaan anaknya yang sedang bertarung nyawa di dalam wad. Hanya Ustaz Amirul dan Mak Siti berada di samping Haidir, kerana menjadi peraturan bahawa dua orang pelawat sahaja yang dibenarkan menemani pesakit dalam suatu masa.

Faizul terpaksa meminta diri setelah dua jam berada di hospital itu. Dia perlu berkejaran semula, melakukan beberapa perkara yang tergendala. Sementara masih ada ruang waktu berada di Kota Bharu sebelum kembali ke Pulau Pinang. Dia melangkah laju untuk mendapatkan keretanya yang telah diparkir di penghujung kawasan hospital. Berdekatan dengan rumah mayat.

"Arjuna... Wahai Arjuna.... Lihatlah ke dalam hatimu.." Suatu bisikan suara halus kedengaran dari arah belakangnya. Tiba-tiba bulu romanya meremang.

Bunyi kibaran sayap kedengaran di atas kepalanya serentak dengan angin bertiup lembut yang menyapa wajahnya. Faizul terkesima... Hatinya mula berdetak kencang.....

***bersambung***

JELMAAN BIDADARIWhere stories live. Discover now