Bab 12 : Amirul - Dunia Dimensi

1.7K 44 10
                                    

Suasana hening menyelubungi ruang ICU yang sempit itu. Hanya kedengaran bunyi 'beep' yang melatari pendengaran seorang pemuda berkurta putih.

Dia meraup wajahnya sebelum mengucup naskah surah yaasin. Diletakkan naskah itu di atas meja kecil di tepi katil. Haidir masih terbaring kaku namun masih lagi bernafas. Hanya jasad yang terbungkam di dunia sedangkan rohaninya sedang terperangkap di dalam alam yang tidak berdinding.

Bibir Ustaz Amirul terkumat-kamit, lidahnya sentiasa dibasahi dengan sebutan zikir. Memuji kebesaran Allah Taala berserta berselawat pada kekasih Allah. Pada masa yang sama, matanya umpama burung helang merenung dan meneliti segenap raut wajah tenang Haidir. Menaakul sesuatu yang bersifat mistik dengan menggunakan ilmu laduni yang telah dipelajari dan diamalkan sejak beberapa tahun yang lalu.

Ustaz Amirul memejamkan mata- mencari satu titik pusat yang muncul bersama garis-garis yang bergulungan. Dia menajamkan mata minda supaya dicapai titik pusat yang muncul ditengah-tengah layar yang bergaris halus.

Lelaki yang berkurta putih itu mengangkat tapak tangan dan dijulang tinggi. Perlahan-lahan muka tapak tangannya di letakkan sekaki dari ubun-ubun Haidir. Gerakan tangan Ustaz Amirul seperti mesin pengimbas yang sedang mencetak objek. Saat itu, tubuh Haidir menggeletar dengan ritma halus. Seolah-olah wujud arus elektrik yang membuat renjatan pada tubuhnya.

Wajah Ustaz Amirul berkerut seribu sambil dibasahi dengan peluh. Satu objek hitam pekat muncul dari garis yang bergelung lalu menerpa ke arahnya. Ustaz Amirul menguatkan benteng sebagai persediaan menghadapi serangan mengejut yang digerakkan oleh musuh dari alam tidak berdinding itu.

Objek hitam pekat yang besar menjerit nyaring seraya menonjolkan barisan gigi-gigi kuning yang tajam. Terkaman objek yang bersifat buas seperti raksasa hitam membuatkan Ustaz Amirul tersentak. Secara spontan matanya terbuka luas. Sejurusnya dia mengucapkan kalimah syahadah sebelum beristighfar. Lidahnya perlu dibasahi dengan ucapan syahadah sebagai pembaharuan iman dan pembersihan hati.

Mata Ustaz Amirul celik. Nafasnya dihembus kasar sebelum lidahnya beristighfar dan bertasbih buat sekian kalinya. Firasatnya, ada makhluk alam gelap yang tidak dikenali sedang mengawal rohani Haidir. Malah makhluk tersebut nampaknya tidak mudah untuk di ajak berunding.
Sebentar tadi, dia berhajat sekadar mahu berziarah- mahu berkenalan dengan 'orang' yang membuat angkara. Malangnya belum sempat salam yang dihulur, mereka membalas dengan herdikan kasar.

"Maaf encik. Masa melawat dah habis. Minta encik tunggu di luar ye." Tegur seorang jururawat setelah mendapati Ustaz Amirul seolah enggan untuk berganjak pergi.

"Oh, maafkan saya. Saya tak sedar dah habis masa." Jawab Ustaz Amirul dengan sopan. Dia menghadiahkan sebuah senyuman sebagai menghormati jururawat yang berdiri di hadapan mesin ECG.

"Encik ni nampak macam ustaz yang boleh mengubat penyakit mistik. Ermmm.... sebelum encik keluar. Boleh saya tanya sesuatu?" Soal jururawat itu teragak-agak.

"Misi nak tanya apa?"

"Apa yang sebenarnya berlaku pada En. Haidir. Doktor sendiri pun tak pasti. Hasil pemeriksaan doktor mengatakan dia tiada masalah kesihatan. Tetapi kenapa dia koma! Dia kena sihir ke encik?"

"Wallahu 'alam misi. Saya juga masih mencari jawapan." Jawab Ustaz Amirul seraya memandang wajah Haidir yang tampak tenang. Dia masih di alam sana, gamaknya?

"Tapi encik. Bila saya dekat dengan patient ni. Bulu roma saya tiba-tiba meremang, saya selalu rasa seperti ada orang tengok saya. Kadang-kala saya takut!" Lirih jururawat yang mempunyai pengalaman lima tahun mengendalikan wad ICU.

"Kalau begitu, misi kena selalu berzikir dan baca ayatul qursi. Takutlah pada Allah bukan pada makhluk lain. Ermm. Saya kena minta diri dulu."

Mata misi itu terbeliak, secara refleks dia menggosokkan lengan kiri apabila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Ustaz Amirul. Bulu romanya mula merinding di sekitar lengan dan tengkuk. Ada ketakutan yang muncul secara senyap.

JELMAAN BIDADARIWhere stories live. Discover now