3. Haidir - Malang

3.8K 89 52
                                    

FAIZUL terkejut lantas terjaga dari lena. Dadanya berombak, bernafas kencang. Mata yang celik, meneroka sekeliling. Sedar bahawa dia terdampar di atas sebuah katil di dalam biliknya. Walaupun kepalanya masih berdengung. Dia cuba menafsirkan keadaan. Haruman citrus menusuk ke hidungnya. Dia berasa pelik.

"Faizul, bangun.. Faizul dah solat subuh ke?" Satu laungan kedengaran. Suara dari seorang perempuan. Faizul yang masih mamai mulai bangkit. Mencari handphone miliknya. 

'Astargfirullah al'azim. Dah pukul 7.30,' Faizul meraup wajahnya. Dia perlu bersegera untuk menunaikan kewajiban yang telah terlucut waktunya. Dia hanya mengambil wudhu' tanpa menyirami tubuhnya. Perkara yang fardhu perlu dilaksanakan dengan lekas.  Dia memang tidak sengaja. Tidurnya telah terbabas waktu. Usai melakukan fardhu subuh, dia menapak keluar dari kamar beradu.

"Kenapa bonda tak kejutkan Zul awal-awal? Terlepas solat subuh tadi." Sapa Faizul kepada seorang perempuan menghampiri usia separuh abad yang duduk di tengah ruang tamu. Perempuan yang dipanggil itu telah siap berdandan rapi. Rambutnya disanggul dan bahunya dilitupi dengan selembar kelubung broked. Cucuk sanggul berwarna emas berceracak di atas rambutnya.

"Bonda dah kejut banyak kali. Tapi kamu tidur nyenyak. Barangkali bom meletup pun kamu tak sedar." Ujar Bonda tersenyum. Gembira melihat anak teruna yang satu ini pulang ke rumah. Sudah beberapa bulan anak bujangnya tidak pulang. Sibuk dengan kerja, katanya.

Mata Faizul masih berat. Beberapa kali dia menguap. Keletihan akibat menempuh perjalanan jauh masih belum lagi hilang. Wajah bondanya ditenung lama. Melihat gaya bondanya yang berpakaian lengkap seperti wanita bangsawan membuatkan Faizul kehairanan.

"Bonda nak ke mana pagi-pagi lagi? Pakai cantik-cantik ni."

"Bonda nak ke rumah Tengku Long Zaharah. Kenapa?"

"Oh, ada majlis apa di rumah Bonda Tengku Long? Majlis merisik Tengku Adelia ke? Kenapa Zul tak tahu." Usik Faizul. Melihat bondanya mengenakan kebaya songket tenunan tangan berserta dokoh emas yang menghiasi dadanya. Bagaikan bonda ingin menghadirikan satu majlis rasmi kerabat. Terlintas di benaknya tentang Tengku Adelia. Mungkin ada majlis merisik untuk sepupunya.

"Hissh, kamu ni. Malam ini ada majlis keraian untuk kerabat kita. Kamu dah lupa? Setiap 15hb Jamadil akhir setiap tahun, kerabat kita akan membuat majlis." Bonda menjeling tajam pada anak terunanya. Dia menduga bahawa anaknya mungkin telah terlupa akan tradisi turun-temurun keluarga sendiri.

"Kamu ikut sekali. Dah cepat bersiap!" Titah Bonda.

"Maaf bonda, Zul balik sebab ada urusan. Lagipun Zul balik dengan kawan. Pagi ini sepatutnya Zul jemput dia di hotel." Barulah Faizul teringat akan Haidir yang menginap di hotel di  bandar Kota Bharu. Puas dia memujuk supaya rakannya itu menumpang bermalam di rumahnya. Namun Haidir tetap berkeras untuk bermalam di hotel. Alasannya tidak mahu menyusahkan keluarga Faizul ditambah pula bayaran hotel telah dijelaskan oleh syarikat. Akhirnya Faizul mengalah dengan keputusan Haidir.

Faizul sebenarnya kecewa dengan sikap rakan-rakan yang pernah dia kenal. Setelah kali pertama berkunjung ke rumahnya, selepas itu, kebanyakan rakannya akan menolak pelawaan. untuk menumpang bermalam lagi. Entah apa yang mereka bayangkan dengan rumahnya ini. Pernah dia mendengar bisik-bisik yang mengatakan rumahnya berhantu.

'Hei, kalau ada hantu tentu aku telah jumpa. Selama aku hidup, tak pernah pernah aku nampak hantu , kecuali ... aghhhh.'  Rungut hati kecil Faizul.

Teringat akan Haidir, dia segera membuat panggilan telefon. Beberapa kali dia mencuba, namun tiada sebarang jawapan. Dia mendengus. Anggapannya Haidir masih lagi terbuai dengan mimpi. Baru sahaja ingin melangkah kaki menuju ke bilik air. Telefona berdering.

JELMAAN BIDADARIWhere stories live. Discover now