Renunganku hanya dibalas kembali dengan telahan matanya. Dia tidak berkata apa-apa. Aku menunggu dengan sabar akan dramanya. Mengenangkan kembali semua perkara yang terjadi kepadaku melahirkan satu sifat keapian yang tak dapat dipadamkan.
"Kau nak panggil aku apa, itu kau punya pasal. Lagipun, kau mencari aku kerana kau mahu menyusahkan aku, kan? Apa kau kata tadi? Kumpulan Forma? Oh ya, kumpulan tu sekarang ni tengah menyusahkan aku."
Dia memeluk tubuhnya, sambil merenung aku.
"Aku memang ada sebab kenapa aku cari kau, Aslan. Seperti yang kau katakan, engkau merupakan manusia yang paling irregular, sesuai dengan aku. Aku sangat perlukan kau, kerana itulah kekuatan kau sebenarnya, irregular, bug kepada kod," katanya dengan wajah yang tiada perasaan.
"Dengan kata lain, kau nak mempergunakan akulahkan?" Celahku selamba.
Dia menggelengkan kepalanya.
"Aku faham, sangat faham kenapa kau berfikiran macam tu. Aku tak salahkan engkau jika kau bersyak wasangka denganku. Adatlah, bila seseorang ditimpa masalah yang sebegini, kepercayaan semakin terhakis.
Tapi, kau di sini kerana kau merupakan kawan sekerja aku. Yang kedua, aku cuba melindungi Anna. Ketiga, engkau perlukan bantuan untuk melepaskan diri dari masalah ni, dan aku juga sama. Kau dan aku bekerjasama dan tamatkan semua kekalutan ni."
Dia ni....
"Haha. Ini kelakar. Kau rasa, lepas aku lalui semua benda yang bangsat ni, aku akan senang-senang percayakan engkau ke?" Ketawaku di depan matanya.
"Tak. Aku tahu kau jenis yang berhati-hati dan mengambil peluang selagi boleh. Kau irregular. Manusia yang selalu terjebak dalam masalah tetapi berjaya melepaskan diri. Aku pula... ya, kau dah tanya tadi, siapa sebenarnya aku, bukan?
Aku manusia yang tak wujud. Dengan kata lain, hantu." Terangnya lagi.
Hantu?
"Kau banyak sangat tengok filem aksi misteri ni," kataku malas.
"Haha, ikut suka kau nak percaya atau tidak. Tapi Aslan, kau pun tahu yang kau sekarang ni berpijak di bumi yang nyata. Kau pun tahu yang kau sekarang ni dalam keseorangan. Kau pun tahu, kumpulan Forma aka kumpulan buah hati kau tu sebenarnya tengah tunggu masa nak bunuh kau. Dengan kumpulan Izzat dan Mary lagi. Ditambah pula dengan ahli kumpulan yang kau sendiri tak tahu, macam orang yang kejar kau tu," katanya sambil merapatkan mukanya kepadaku.
Dahiku berkerut.
"Soalan ni agak cliche, tapi macam mana kau tahu semua benda tu?"
"Itu tak penting, Aslan. Aku nak kau tengok dari perspektif yang lebih luas. Engkau manusia yang melawan arus norma kemasyarakatan kita. Kau tahu, yang kau perlukan bantuan. Aku juga perlukan bantuan, Aslan. Kau tak ada cara lain selain daripada bergantung dengan aku. Kita perlukan antara satu sama lain."
Hm.
"Lepas tu, kau akan bunuh aku, kan?" Tambahku lagi tanpa teragak-agak.
Dia diam seketika.
"Haha, betullahkan? Manusia. Sejak bila manusia tak bodoh dan bengap? Kita buat sesuatu yang akan memuaskan hati kita sendiri. Peduli apa dengan orang lain, kan?"
"Maaf, Aslan. Aku tak faham apa maksud kau."
Haha, sejak bila pula aku minta orang faham aku ni?
"Tak perlu faham. Aku cuma cakap apa yang aku tengah rasa sekarang ni. Aku tolong kau, kau tolong aku. Cukup waktu, aku mati.
Lumrah, habis madu sepah dibuang."
Keluhannya mengganggu telingaku.
"Tak apa. Kau berehatlah dulu. Fikirkan dulu cadangan aku ni. Aku... aku cuma perlukan orang yang betul-betul ada potensi. Kau antara salah seorang manusia yang ada potensi yang aku maksudkan tu. Salah seorang manusia yang hanya menjadi bug kepada kod kehidupan orang lain, skil yang jarang ditemui.
Rugi, jika tidak digunakan sepenuhnya."
"Haha. Ironinya, aku tak faham sepatah pun apa yang kau maksudkan? Bug? Kau samakan aku dengan bug sesebuah kod? Tak pernah lagi aku kena hina macam ni. Sesuatu yang baru dan luar biasa ni," perliku selamba.
"Kalau kau anggap bug yang aku maksudkan ni sebagai sesuatu yang buruk, aku tak boleh halang, Aslan. Tapi, apa yang aku maksudkan ialah engkau merupakan seseorang yang tak diingini dalam mana-mana kumpulan bawah tanah. Kalau kau sanggup bekerjasama dengan aku, iaitu hantu, kita berdua dapat menamatkan segala kecelaan ni," balasnya sambil bangun dari kerusinya.
Aku tak tahu nak kata apa. Maksud aku, apa maksud dia hantu, bug, potensi semua ni? Aduh, kalau sehari tak jumpa orang pelik-pelik memang tak sah, ke?
"Aku tak rasa kau menjawab soalan aku. Kau kata diri kau hantu? Apa maksud kau tu? Aku tak ada masa nak bermisteri bagai ni. Aku tahu, aku kena selamatkan orang-orang tak bersalah yang terlibat secara tak sengaja dalam hal ni, Lea."
Anak matanya tak bergerak. Aku dapat melihat wajahku dari anak matanya.
"Aku faham yang kau nak selamatkan Anna dan keluarga kau. Kau mungkin fikir aku nak mempergunakan kau, tapi hakikat yang sebenarnya aku perlukan bantuan kau. Tak lebih, dan tak kurang. Jadi, kau berehatlah dulu dalam rumah aku ni. Ambillah sebanyak mana masa yang kau perlukan. Aku tunggu jawapan kau," katanya sambil berjalan ke pintu bilik ni.
"Oh ya, aku tahu Anna berada di mana. Aku rasa, sesiapa yang tangkap dia waktu ni tak akan berani buat apa-apa dekat Anna, memandangkan Anna memiliki sesuatu yang sangat penting. Selagi mana mereka tak dapat merungkai kebergunaan Anna, selagi tu Anna akan terus hidup. Cuma, kalau terlalu ambil masa untuk berfikir tentang pelawaan aku, kau akan menyebabkan dia terbunuh," tambahnya lagi tanpa memandangku.
Pintu bilik ni di tutup.
Aku hanya merenung pintu itu dalam kegelapan bilik ni.
"Lagi lama aku tunggu, lagi cepat budak tu mati, eh?" Bisikku sendirian.
YOU ARE READING
GREMLIN.EXE: KRIPTOGRAFI [COMPLETE]
Science FictionAh, aku tahu ini semua salah aku. Salah aku kerana tidak memejamkan mata. Salah aku kerana tidak menghargai sebuah hubungan yang sukarku capai. Tapi.... Apalah hidup seorang lelaki, menjadi hamba wanita yang dicintai olehnya? Atas dasar cinta? Atas...