Chapter 34 ~ Rachel's Memories

2.1K 91 3
                                    

Aydan melangkah perlahan memasuki banglo keluarga Smith. Setiap langkah yang diambil terasa berat namun dia tetap meneruskan langkahnya. Sudah lama sekali dia tidak menjejakkan kaki ke sini, sekitar empat tahun mungkin? Dia sendiri tidak ingat. Sapaan para pembantu rumah yang bertanggungjawab menjaga rumah itu tidak diendahkan. Sedikit pun dia tidak berniat untuk melirik mereka. Langkah kaki diteruskan mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.

Rumah ini menyimpan beribu kenangan indah tetapi cukup pahit bagi Aydan. Setiap kenangan yang dia miliki di dalam rumah ini ibarat pisau yang menoreh hatinya sedikit demi sedikit. Hanya Edward yang sering ke rumah ini, memantau keadaan rumah ini dari masa ke semasa. Namun entah kenapa, hari ini Aydan akhirnya punya keberanian untuk menjejakkan kaki ke sini setelah sekian lama menutup pintu hatinya untuk datang ke sini. Rindu mungkin?

Pintu bilik tidurnya dibuka. Aydan berdiri di depan pintu sambil berpeluk tubuh. Bilik ini masih sama, setiap susun aturnya tidak berubah. Hanya satu yang berubah, pemiliknya tidak lagi berada di sini. Di bilik ini, dia sering mendengar Andrea bercerita. Dan dia akan tertidur dalam pelukan wanita itu bersama senyuman lebar di bibir.

Aydan mengetap bibir dengan kuat. Tangan turut dikepal erat. Sebab inilah, dia tidak mahu datang ke rumah ini. Ketika dia mengingat setiap memori bersama orang tuanya, hatinya seolah dicabik-cabik dan ianya sangat menyakitkan. Pintu ditutup kembali dan Aydan berlalu dari situ. Dia berjalan tanpa halatuju sampailah dia terhenti di depan sebuah pintu. Aydan merenung pintu itu dengan pandangan sayu, gagang pintu dipulas dan dia melangkah masuk.

Bilik ini terasa kosong, tidak ada seri seperti dulu. Katil bersaiz king di tengah bilik itu dituju lalu dia duduk di birai katil. Ini bilik orang tuanya. Dulu dia selalu meluru masuk ke sini dan membangunkan ayahnya yang selalu saja liat untuk membuka mata. Kadang-kala dia dan Andrea akan sengaja menjirus Calvin dengan air dan kemudian mereka akan bantai ketawa melihat Calvin yang terbangun secara tiba-tiba.

Kenangan….

Aydan tersenyum pahit. Memori itu masih menyakitinya, membunuhnya secara perlahan.

Aydan leka memerhati keadaan bilik itu sampailah matanya tertumpu pada meja kecil di sisi katil. Meja itu didekati lalu laci ditarik. Apa yang ada di dalam laci tersebut buat Aydan mengerutkan kening. Buku? Seolah didorong, Aydan mengambil buku itu lalu diselak dari satu halaman ke halaman yang lain, tidak ada hal yang mencurigakan. Hanya kisah hidup Andrea yang ditulis oleh wanita itu sebelum dia mengenali Calvin dan…Carlos?!

Aydan terbeliak, apa benda ni? Bacaannya diteruskan sampailah pada satu halaman, darah Aydan mendidih dan amarah mula menguasai diri. Gambar yang terselit di buku itu diambil dan diperhati, Aydan tersengih sinis. Dia menggelengkan kepala tidak percaya. Jadi ini sebabnya?

Aydan berdiri lalu keluar dari bilik tersebut. Dia keluar dari banglo tersebut dan memandu Aston Martin V12 berwarna merah miliknya meninggalkan banglo keluarga Smith dengan laju. Buku tadi turut dibawa. Sedang leka dia memandu, telefon Aydan berdering. Earpiece diambil lalu disumbat ke telinga.

“Ya Edward?” Aydan meneruskan pemanduannya. Kawasan jalan yang dia lalui kini sedang menuju ke Empire Mansion.

“Tuan muda…” Suara Edward kedengaran takut-takut di seberang sana.

Say it.” Tegas suara Aydan membalas. Dari nada suara Edward saja, dia tahu ada yang tidak kena.

“Cik muda..” Aydan mendengus. Edward memang tidak faham bahasa, masih tidak habis-habis lagi dengan hal Eryna.

Aydan baru saja mahu mematikan talian bila kata-kata Edward seterusnya buat dia terus menekan brek secara mengejut.

Skrett!!

He And His BrideWhere stories live. Discover now