Chapter 38 ~ The first encounter

2.3K 118 3
                                    

Selepas kembali dari melawat makam kedua orang tuanya, Aydan kembali ke Empire Group. Ketika itu jam sudah menginjak ke jam enam setengah petang. Dia masuk ke dalam pejabat dan di sana sudah ada Edward yang sejak dari tadi menunggu kepulangannya.

"Tuan muda." Edward menegur sambil menunduk.

"Hmm, ada apa-apa yang aku kena buat ke?" Aydan bertanya. Meja kerjanya dijeling.

Dia atas meja sudah ada beberapa buah fail yang sedang menunggu untuk diperiksa. Aydan mengeluh. Nampak gayanya, malam ni dia memang akan balik lewat.

"Kau baliklah. Aku nak buat kerja dulu." Aydan duduk di atas kerusi kerjanya dan mula membuka salah satu fail di atas meja.

"Saya boleh tolong."

Aydan menggeleng.

"Takpe, kau baliklah. Malam ni aku mungkin balik lambat lagi. Kau tolong tengok-tengokkan Aurel."

Kali ini giliran Edward pula mengeluh.

"Baiklah." Edward patuh meskipun dia tidak rela mahu meninggalkan Aydan di sana sendirian. Entah kenapa, saat ini perasaannya tidak tenang.

"Saya akan suruh pengawal tunggu tuan muda kat bawah." Ujar Edward sebelum berlalu dari situ.

Aydan hanya diam. Mahu membalas pun sudah tidak berguna kerana lelaki itu sudah tidak ada di sana. Aydan mengeluh perlahan. Fail yang sudah dibuka tadi ditutup semula lalu dia berdiri dan melangkah ke arah cermin, di sana dia hanyut dalam fikirannya sendiri.

Dalam tempoh hampir empat tahun, dia sudah bersusah payah untuk sampai ke tahap ini. Sedikit lagi semuanya akan selesai. Sedikit saja lagi. Dia akan terus bertahan sehinggalah masa itu tiba.

Dan selepas semuanya berlalu dan dia berjaya menghukum Carlos berserta dengan sekutunya... Barulah, dia akan berhadapan dengan Eryna.. Untuk saat ini dia akan bertahan.. Sikit saja lagi..Demi gadis itu..

Tanpa Aydan sedari beberapa jam sudah berlalu. Jam di pergelangan tangan dilirik, sudah hampir tengah malam. Aydan menghembuskan nafas kasar, satu kerja pun tidak tersentuh. Rambut perangnya turut digosok kasar. Akhirnya dia memutuskan untuk balik dan menunda kerja yang menumpuk di atas meja. Esok masih ada.

Aydan memandu dengan tenang kembali ke Empire Mansion. Pengawal yang menunggunya pula berada di hadapan. Mereka berkeras untuk menunggu Aydan atas arahan Edward, walaupun sudah disuruh kembali ke Empire Mansion terlebih dahulu. Serba sedikit Aydan kagum dengan Edward kerana berjaya melatih para pengawal yang bekerja untuk mereka menjadi seorang yang setia dan patuh pada arahan. Aydan tidak perlu susah payah turun tangan, semuanya sudah Edward laksanakan bagi pihak dirinya.

Drrit.. drit drit..

Aydan menyeluk telefon bimbit yang tersimpan di saku jaket. Sengihan sinis terukir di bibir saat melihat nama pemanggil. Earpiece dipakai lalu panggilan diangkat.

"Hmm, apa kau nak?" Aydan menyoal dengan suara datar.

"Selamat malam Aydan.. Awak kat mana?" Suara Eryna kedengaran.

Aydan tersenyum lembut. Mendengar suara gadis itu sedikit sebanyak buat dia rasa tenang.

"Kenapa kau tak tidur lagi?" Alih-alih membalas soalan Eryna, dia menyoal gadis itu semula. Sengaja.

Di dalam biliknya, Eryna yang elok terbungkus dalam selimut mencebikkan bibir. Geram.

"Jawablah soalan saya dulu." Eryna membalas disertai dengan suara tidak puas hati.

Aydan hampir ketawa namun terbatal bila dia perasan akan kehadiran sebuah kereta di belakang. Kereta itu dipandu sangat rapat dengan keretanya. Aydan menggenggam stereng kereta dengan erat dan bibir turut diketap. Entah sejak bila kereta itu mengekorinya, dia tidak perasan. Signal diberi kepada pengawal yang berada di hadapan. Saat itu juga mereka mula beraksi.

He And His BrideWhere stories live. Discover now