Chapter 35 ~ As long as you are Eryna

2.2K 96 0
                                    

Eryna duduk sambil memeluk lutut dengan kepala berada di tengah kedua lutut yang diapit rapat di atas katil. Kata-kata Carlos masih terngiang-ngiang di telinga. Setiap bait yang dikatakan oleh Carlos seolah berputar bagaikan kaset rosak di kepala.  Apa maksud lelaki itu mengatakan hal seperti itu kepadanya, dia sendiri tidak tahu. Mungkin lelaki itu sengaja mahu membuat Eryna bingung sehingga hilang kewarasan dan akal sihat mungkin. Sedang gadis itu larut dalam fikiran, pintu bilik rawatan yang dia tempati ditolak dari luar.

“Cik muda, kita kena balik sekarang.” Edward terus bersuara tanpa menyapa Eryna. Mimik muka lelaki itu juga serius seolah-olah sedang menanggung beban yang berat.

Eryna angkat muka.

“Kenapa?”

“Tuan muda arahkan saya untuk bawa cik muda balik sekarang juga. Semua proses untuk keluar dari sini juga saya dah uruskan. Lepas ni Lily dan Jenny akan bantu cik muda bersiap dan kita akan segera balik.” Edward terus keluar tanpa menunggu balasan Eryna. Lagipula, Eryna seharusnya sudah faham apalagi selepas Edward menyebut nama Aydan tadi.

Cukuplah, dia tidak mahu menambah serabut dalam kepalanya lagi.

Selang beberapa saat, Lily dan Jenny masuk dan kedua wanita itu terus menjalankan tugas mereka. Manakala Eryna lebih memilih untuk mengunci mulut. Tapi jauh di dasar hati, dia tahu, Aydan sudah tahu semuanya. Lelaki itu tidak mungkin mengarahkan Edward untuk membawa dia pulang secepat ini melainkan jika dia sudah tahu tentang kejadian hari ini.

Jika Aydan sudah tahu apa yang berlaku tengah hari tadi, maka lelaki itu pastinya sudah tahu jika Eryna juga sudah tahu mengenai kisah silamnya. Eryna kah yang tersilap? Mungkin dia sepatutnya menahan diri ketika bertemu dengan Carlos siang tadi dan berpura-pura tidak tahu apa-apa mengenai mereka. Maka dengan itu, Aydan tidak akan tahu jika Eryna tahu mengenai kisah silamnya. Sepatutnya Eryna mendiamkan diri. Edward sudah memberinya amaran sebelum ini.

Aydan tidak akan sukakannya.

Eryna hanya mampu mengeluh dalam diam. Mengapa penyesalan selalu datang terlambat?

Mereka tiba di Empire Mansion tepat ketika jam sudah menginjak ke jam 7.30 malam. Eryna berjalan perlahan disusuli Jenny dan Lily yang setia di belakang gadis itu. Manakala Edward sudah menghilangkan diri entah ke mana. Eryna langsung tidak sedar.

“Cik muda nak masuk dalam bilik terus ke?” Jenny bertanya ketika mereka sudah berdiri di depan pintu lif.

“Emm… Saya nak rehat. Awak berdua tak perlu ikut saya, pergilah berehat. Mesti korang pun penat.” Eryna mengukir senyuman hambar.

Dia bukan suka-suka meminta kedua pembantunya itu untuk berehat. Dia hanya mahu bersendirian. Entah apa yang harus dia hadapi esok, dia sendiri tidak tahu. Aydan langsung tidak menunjukkan batang hidung walaupun lelaki itu pasti sudah tahu jika dia sudah pun sampai ke rumah ini. Sebab itu Eryna mahu bersendirian. Dia mahu menyiapkan dirinya untuk berhadapan dengan Aydan esok.

“Cik muda yakin tak nak kami teman?” Lily bersuara.

“Ya. Pergilah. Tak perlu risaukan saya.” Eryna masuk ke dalam lif lalu kotak besi tersebut terus meluncur ke tingkat empat.

Ketika pintu lif terbuka, dia segera keluar dan berjalan menuju ke bilik tidurnya. Pintu bilik ditolak lalu suis lampu dipasang. Ketika cahaya lampu menyinari bilik tersebut Eryna terus kaku.

Aydan ada di sana!

Lelaki dengan rambut perang berkilat itu sedang berdiri sambil membelakangi Eryna yang masih berada di muka pintu. Aydan berdiri tegak di depan jendela kaca dengan tangan kiri berada di dalam seluar hitam yang dia kenakan, manakala tangan kanan sedang memegang gelas kaca yang berisi wain berwarna merah. Sudah berapa lama lelaki itu berada di sini dengan lampu yang sengaja tidak dipasang?

He And His BrideWhere stories live. Discover now