"Lebat hujan ni, cikgu!," tegur Cikgu Ramadhan yang kebetulan berselisih dengan Cikgu Suraya di koridor pejalan kaki. Cikgu Ramadhan ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah yang mana sebahagian tugasnya ialah menjaga kebajikan pelajar. Kebetulan, Suraya ada hal yang nak dicakapkan tentang pelajarnya.
"Itulah, nampaknya beberapa hari ni, banyaklah pelajar akan pakai selipar. Alasan diorang, kasut basah. Padahal, diorang tak tahu yang kasut tu, boleh je cepat-cepat ambik letak tempat teduh kalau jemur. Pelik. Takkan diorang tak kisah pasal kasut tu sampai kasut tu boleh basah lecun?," persoal Suraya.
"Budak-budak cikgu. Diorang ni tak macam kita. Diorang ada seribu satu alasan untuk mengelak apa sahaja masalah di dunia. Apa kita mampu buat, cikgu. Kita jalankan je tanggungjawab kita. Nampak je, tegur. Selebihnya, jika tak berubah juga, biarlah mak ayah diorang yang ambil kisah," balas Cikgu Ramadhan.
"Cikgu, saya nak tanya pasal budak nama Amir, pelajar kelas 1 Marikh"
"Anak Haji Musa tu?"
Suraya angguk.
"Kenapa?"
"Saya nampak dia ni selalu sangat lewat ke sekolah. Kadang-kadang, lepas rehat baru dia masuk kelas. Tak tahulah macam mana dia boleh masuk kawasan sekolah tanpa kena tindakan. Patutnya, kalau selalu masuk lewat, dah boleh kena tindakan tu. Hari ni, dia tak datang terus sekolah," adu Suraya.
Cikgu Ramadhan diam seketika memikirkan jawapan yang selayaknya untuk soalan anak buahnya itu.
"Begini cikgu. Saya rasa, Amir ni tak masuk ikut pintu depan. Kalau ikut pintu depan, rasanya pengawal dah tangkap dia dan bawa jumpa saya. Saya dah memang arahkan pengawal kita untuk tangkap pelajar yang masuk lewat ke sekolah kecuali jika pelajar tu ada masalah yang dipertimbangkan. Saya rasa, Amir ni masuk ikut lubang tikus. Ada pagar di sekeliling kawasan sekolah kita ni yang mungkin dah dirosakkan dan dijadikan lubang untuk pelajar ponteng," jelas Cikgu Ramadhan.
"Dah tu, bagaimana dengan Amir?"
"Saya rasa, nanti kalau dia datang, cikgu beritahu dia yang saya nak jumpa dia. Saya nak soal dia sikit," pinta Cikgu Ramadhan.
Hujan makin lebat. Guruh mula berdentum. Pelajar di kelas berdekatan sudah mula bising-bising. Entah ke mana guru yang sepatutnya masuk mengajar. Cikgu Ramadhan akhirnya minta diri.
"Apapun, pasal Amir tu, kita bincang lainlah ya. Saya nak pergi tengok kelas jap. Kalau saya tak jenguk, lagi menjadi dibuatnya," pinta Cikgu Ramadhan.
Suraya senyum. Senyuman yang menjadi kegilaan guru-guru lelaki di sekolahnya itu disambut dengan senyuman mesra dari Cikgu Ramadhan. Suraya beredar menuju ke bilik guru sambil membimbit buku teks yang digunakan untuk mengajar.
Jam sudah menunjukkan jam 1.50 petang. Sebentar lagi, loceng akan berbunyi dan menandakan waktu sekolah untuk hari ni sudah tamat. Suraya dapat rasakan seperti ada seseorang sedang mengekorinya. Bulu romanya meremang. Entah kenapa, dia rasa lain macam. Rasa sejuk.
Pantas Suraya menoleh. Ruang pejalan kaki kosong. Tiada siapa pun. Saat dia menoleh, dia terpandang cikgu Fendi yang mengajar di sebuah kelas yang tidak jauh daripada lorong pejalan kaki. Mereka berbalas senyuman buat seketika dalam suasana hujan yang kian lebat.

ANDA SEDANG MEMBACA
'Cikgu' Suraiyya
ParanormalSuraiyya, dan adiknya berpindah ke tempat baru selepas ayahnya terpaksa bertugas di luar daerah. Suraiyya putus dengan teman lelakinya, Idham kerana tidak digemari keluarganya. Sementara menunggu posting guru, Suraiyya mengajar kelas Bahasa Inggeri...