ZAFRAN pulang ke rumahnya selepas meninggalkan rumah Aisyah. Agak lama dia berada di dalam kereta di luar rumahnya. Sesekali terlihat bayang isterinya dari cermin tingkap rumah mengintai-ngintai dirinya dari dalam. Berat rasa kakinya untuk melangkah masuk. Namun, lebih berat lagi hatinya untuk menghadap isterinya sendiri.
Perlahan pintu kereta dibuka. Walaupun kaki berat melangkah, Zafran gagahkan juga. Dia tidak sanggup lagi hidup dalam keadaan begitu. Selama ini mereka mungkin bergelar suami isteri. Namun baginya, yang menjadi suami itu hanya jasadnya. Namun hatinya hanya untuk Aisyah semata-mata. Walau bagaimana kuat pun dia cuba, dia tetap kalah melawan hatinya. Dia tidak menyintai isterinya. Sungguhpun dia pernah cuba untuk menyintai, namun tetap sahaja rasa itu tidak datang menyapa diri.
Zafran berlalu sepi di hadapan isterinya tanpa sepatah kata. Dia terus menuju ke arah biliknya tanpa memperdulikan soalan-soalan yang datang menerpa. Bukan hanya jawab, dipandang pun tidak hendaknya.
"Abang.... Abang pergi mana? Kenapa Sara telefon abang, abang tak angkat." Qaisara mengekori Zafran dari belakang.
"Abang.... Sara tanya abang ni. Abang pergi mana?"
"Abang pergi dekat perempuan tu ka?" Qaisara meninggikan suaranya.
Zafran terus menghentikan pergerakkannya. Perlahan dia memusingkan tubuhnya dan memandang tepat ke arah mata Qaisara. Pandangan tajam yang penuh dengan api kemarahan itu membuatkan Qaisara tertunduk layu. Lalu dia bergerak semula menuju ke arah biliknya.
Tertib langkah diatur bagi mengekori Zafran dari belakang. Sepanjang hidupnya, itulah kali pertama dia melihat Zafran dengan wajah yang penuh dengan api kemarahan. Selama ini, wajah itu sentiasa tenang dalam menghadapi apa saja situasi. Tetapi kali ini, tidak lagi. Qaisara mengekori Zafran dan berhenti di pintu bilik mereka.
"Abang nak buat apa dengan beg tu?"
Zafran tidak memperdulikan soalan yang keluar dari mulut Qaisara. Dia terus mengambil pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg tersebut. Selepas diambil segala keperluannya, Zafran berlalu tanpa memperdulikan Qaisara.
"Abang... Abang nak pergi mana ni. Kenapa abang bawa beg dengan baju ni semua. Abang tolonglah jangan buat dekat Sara macam ni." Rayu Qaisara.
Zafran hanya berdiam diri tanpa sepatah kata.
"Abang... Tolonglah jangan diam macam ni. Sara tahu Sara salah. Sara tak patut bagi tahu dekat perempuan tu yang kita dah kahwin. Tapi tolonglah jangan buat Sara macam ni."
Air matanya jatuh berderai membasahi pipi. Zafran pula masih lagi berdiam diri. Dia tidak memperdulikan rintihan isterinya.
"Abang tolonglah abang. Sara merayu dekat abang tolonglah jangan buat dekat Sara macam ni. Sara merayu sangat-sangat." Rayu Qaisara lagi.
Zafran tidak memperdulikan rayuan isterinya. Dia terus menuju ke arah pintu rumah. Namun sebelum tiba di pintu rumah, dia berhenti dan memalingkan wajahnya ke arah Qaisara.
"Sara nak tahu tak? Perkahwinan kita adalah kesalahan terbesar yang pernah abang buat. Jadi maafkan abang. Abang tak sanggup lagi nak hadapi semua ni."
"Abang... Tolonglah abang... Tolong jangan buat Sara macam ni." Qaisara meraung di kaki suaminya.
"Adira Qaisara bt Abdullah. Aku ceraikan engkau dengan talak satu."
Qaisara diam tergamam dengan apa yang keluar dari mulut Zafran. Dia terduduk lemah di atas lantai. Seolah-olah bagaikan petir menyambar dirinya. Tangisannya tersentak dan terus diam membeku. Zafran pula terus berlalu pergi meninggalkan Sara sendirian.
Air matanya mengalir deras. Tidak dia sangka dia akan diceraikan oleh seorang lelaki yang dia cintai. Mungkin benarlah. Bertepuk sebelah tangan tidak ada gunanya. Terbayang akan dia di saat hari pernikahan mereka.
"Aku terima nikahnya Adira Qaisara bt Abdullah dengan mas kahwin bernilai RM1000 ringgit tunai."
Terbayang Qaisara di saat Zafran melafazkan akad pada hari pernikahan mereka. Pada waktu itu, dialah orang yang paling bahagia di dunia. Disangkanya hidup dia akan berubah selepas darinya. Tambahan pula lelaki menikahinya itu adalah lelaki yang selama ini menjadi pujaan hatinya dan kini lelaki itu telahpun sah menjadi suaminya. Walaupun majlis pernikahan mereka hanya dilakukan secara kecil-kecilan, namun ia adalah kenangan terindah yang tidak mungkin dapat dia akan lupakan.
Qaisara sebenarnya merupakan anak angkat Dato' Ramli b. Hj Zainal bersama Datin Maisarah bt Mohd Asri. Keputusan untuk mengambil Qaisara sebagai anak angkat adalah selepas Datin Maisarah telah diuji dengan ketumbuhan pada rahimnya.
Oleh kerana anak keduanya terpaksa dilahirkan melalui pembedahan, jadi Datin Maisarah terpaksa menanti selama 3 tahun untuk memiliki zuriat seterusnya. Penantian yang ditunggunya tiba. Namun hampir 2 tahun mereka mencuba, tetapi rezeki tidak menyebelahi mereka. Sampailah pada hari itu mereka mengambil keputusan untuk melakukan pemeriksaan doktor. Hasilnya doktor telah mengesahkan bahawa Datin Maisarah mengalami ketumbuhan di rahimnya dan jika dia melakukan pembedahan, ia akan menyebabkan dia tidak lagi boleh melahirkan zuriat.
Sememangnya Datin Maisarah sangat menginginkan seorang anak perempuan. Selepas dia melahirkan Zafran dan Zafrel, dia mengimpikan anak ketiganya adalah anak perempuan. Tetapi disebabkan penyakit yang dihadapinya, harapannya hancur berkecai. Jadi melihat keadaan Datin Maisarah yang agak kemurungan selepas dari pembedahan tersebut, Dato Ramli mengemukakan ideanya untuk mengambil anak angkat.
Idea tersebut diterima baik oleh Datin Maisarah. Maka mereka telah memilih salah sebuah rumah anak yatim yang berada tidak jauh dari kediaman mereka.
"Papa... Terima kasih ya."
Ucap Datin Maisarah kepada suaminya dengan membahasakan 'Papa' sambil tersenyum. Dia bersama Dato Ramli menuju ke arah rumah anak yatim tersebut. Setibanya mereka, terlihat suasana di dalam kawasan perumahan anak yatim itu dipenuhi dengan keriangan anak-anak kecil. Usia mereka antara 3 hingga 7 tahun.
Dari awal masuk ke dalam pusat jagaan tersebut, mata Datin Maisarah tertumpu pada seorang kanak-kanak perempuan yang sangat lincah dengan perbuatan dan gelagatnya. Berwajah putih susu dan berambut kerinting membuatkan dia benar-benar tertarik dengan budak tersebut.
Jadi dia menyatakan hasratnya kepada pengetua sekolah. Mungkin hikmah kepada segala apa yang terjadi, Qaisara telah menjadi anak angkatnya. Pada waktu itu Qaisara baru berusia 3 tahun. 3 tahun lebih muda dari Zafrel yang pada waktu itu berusia 6 tahun dan Zafran yang pada waktu itu sudahpun berusia 8 tahun. Jadi bermulalah kehidupan Qaisara bersama keluarga barunya.
Kehidupan mereka berubah dengan kehadiran Qaisara. Ia memberi seri di dalam kehidupan mereka. Terutamanya Datin Maisarah yang selama ini sangat mengimpikan seorang anak perempuan.
Hari berlalu demi hari dan sedar tak sedar, mereka semakin membesar. Hubungan Qaisara dengan abang-abangnya tersangatlah akrab terutamanya Zafran.
Pada Zafran, Qaisara hanyalah dianggapnya tidak ubah seperti adik kandungnya sendiri. Walaupun hakikatnya dia sendiri sedar bahawa mereka tidak ada pertalian darah. Tambahan Qaisara pula adalah satu-satunya adik perempuannya. Jadi layanannya kepada Qaisara sangatlah baik. Begitu juga layanan keluarganya terhadap Qaisara. Mereka menganggap Qaisara sebagai darah daging mereka sendiri.
Tetapi layanan itu secara tidak sedar menjadikan dia seorang perempuan yang agak liar. Mungkin juga kerana hidupnya terlalu dimanjakan dengan harta dan kurang dari segi didikan agama. Dek kerana itu jugalah yang mendorong dirinya melakukan sesuatu yang bodoh dalam hidupnya. Mungkin apa yang terjadi padanya hari ini adalah balasan akibat dari perbuatannya. Balasan atas apa yang dia telah lakukan.
Qaisara masih lagi menangis di lantai rumahnya. Zafran telah lama meninggalkan dia seorang diri. Hanya tinggal dia ditemani air mata dan kenangan masa silamnya yang datang menemani.
Bersambung.......
YOU ARE READING
Dia Cintaku
RomanceKisah DIA CINTAKU merupakan kisah percintaan antara Aisyah dan Zafran yang berakhir dengan sebuah kedukaan di mana Aisyah telah mendapat tahu bahawa Zafran merupakan suami orang sebulan sebelum tarikh pernikahan mereka. Namun, yang menjadi persoalan...