USAI mengesahkan kehadirannya di pejabat, Aisyah terus menuju ke arah biliknya. Kebetulan Zafran sedang menuju ke arah biliknya berselisih dengan Aisyah.
"Selamat Pagi Tuan."
Ucapan selamat tersebut tidak dipeduli oleh Zafran yang ketika itu sedang berbual di telefon dan agak tergesa-gesa memasuki pejabatnya.
"Huh... Sombongnya. Semalam bukan main baik lagi." Aisyah berbisik sendirian.
Tiba-tiba Zafran berhenti dan berpatah balik menuju ke arah Aisyah.
'Alamak... Dia dengar ka apa aku cakap tadi ni. Ya Allah tolonglah aku.'
Zafran berhenti tepat di hadapan Aisyah. Bagai hendak luruh jantung Aisyah menatap wajah Zafran. Zafran memandang tepat ke matanya. Wajahnya tidak dihiasi dengan senyuman.
"Selamat Pagi."
Zafran membalas ucapan Aisyah dan terus berlalu pergi meninggalkan Aisyah yang masih tergamam dengan perbuatan Zafran. Perlahan Aisyah bergerak menuju ke arah tempatnya.
Duduk termenung Aisyah memikirkan gelagat Zafran. Sambil itu dia mengeluarkan fail dokumen yang perlu dihantar kepada Zafran. Diperiksanya untuk kali terakhir agar tidak terdapat kesalahan di dalam kertas kerjanya. Setelah berpuas hati Aisyah bangun menuju ke arah bilik Zafran.
Jantungnya berdegup kencang apabila berada tepat di hadapan bilik Zafran. Seolah-olah hatinya seperti digoncang. Agak lama dia memerhatikan pintu kayu yang dicat dengan warna merah hati itu. Perlahan dia mengetuk pintu tersebut. Tidak ada suara menyambut ketukannya. Namun belum sempat dia teruskan ketukan, pintu biliknya Zafran dibuka dari dalam.
Tercengang Aisyah melihat Zafran berdiri di hadapannya. Zafran melihat Aisyah dengan wajah yang tidak bersenyum. Dia memalingkan badannya membelakangi Aisyah menuju ke arah mejanya. Perlahan Aisyah mengekori Zafran dari belakang.
"Dari tadi saya tunggu awak. Sekarang baru nak datang?"
"Tuan tunggu saya? Urmm... Kenapa Tuan tunggu saya?" Aisyah tersipu malu.
"Apa? Awak ingat saya tunggu awak sebab nak ajak awak makan sekali lagi ka? Kerja yang saya suruh awak buat tu mana?"
"Ada! Ada! Ni, semua dalam fail ni."
Pantas Aisyah meletakkan fail yang dipegangnya di atas meja Zafran. Zafran membuka fail tersebut dan diselak olehnya sehelai demi sehelai kertas kerja tersebut.
"Hah? Awak nak teman saya dalam bilik ni ka?"
"Tak tak..."
"Kalau macam tu tunggu apa lagi? Pergilah sambung kerja awak."
Aisyah terus menghayunkan kakinya bergerak keluar dari bilik Zafran. Namun belum sempat melepasi pintu bilik Zafran, dia mematikan langkahnya.
Aisyah berdiri kaku membelakangkan Zafran. Zafran yang dari tadi hanya memerhatikan gelagatnya bersuara.
"Haa... Ada apa lagi? Kenapa tercegat lagi dekat situ?"
Aisyah memusing badannya dan kembali ke meja Zafran.
"Sebenarnya saya tengah cari benda hilang."
"Hilang? Apa yang hilangnya?" Zafran memerhatikan di sekelilingnya.
"Senyuman Tuan. Senyuman Tuan yang hilang."
"Awak cuba...."
Belum sempat Zafran meneruskan percakapannya, Aisyah terus memintas.
"Saya tahu saya ni kuli ja Tuan. Tapi bila saya bersusah payah bertukus lumus sampai ke lewat pagi siapkan kertas kerja untuk majukan lagi syarikat ni, apa salahnya Tuan cakap lembut-lembut dengan saya. Saya tak mintak pun Tuan sanjung atau puji saya. Saya tak mintak pun Tuan ucap terima kasih dekat saya. Saya tahu itu kerja saya. Tapi sekurang-kurangnya cakaplah baik-baik. Senyum sikit. Ini harap muka ja hensem, adab tak ada. Apa memang semua majikan kena bersikap macam ni eh? Langsung tak hargai pekerja. Layan pekerja seolah-olah macam tak ada perasaan."
Zafran tercengang dengan apa yang keluar dari mulut Aisyah. Zafran hanya memerhatikan gerak bibir Aisyah yang sedang meluah rasa.
"Kalau Tuan tak hargai pekerja Tuan, percayalah Tuan. Tuan juga tak akan dihargai. Apa guna hidup kita dihormati, disanjungi, kalau hakikat sebenarnya itu semua hanyalah lakonan semata-mata. Bila depan kita, bukan main puji. Tapi bila dekat belakang kita, orang mengeji. Hidup macam ni Tuan, sunyi. Sebab ada ramai yang mengelilingi, tapi tak ada yang nak mendekati."
Aisyah terus bergerak meninggalkan Zafran. Namun sekali lagi langkahnya terhenti. Dia memusingkan badannya memandang wajah Zafran.
"Maaflah kalau apa yang saya kata ni buat Tuan terasa. Lagipun dalam perjanjian yang saya tandatangan tu tak ada tulis yang saya dilarang menegur Tuan jika Tuan buat salah. Satu lagi, saya tak minta pun Tuan belanja saya. Kalau nak saya boleh bayar balik duit Tuan. Saya buat kerja, atas usaha saya. Saya tak perlukan simpati dari siapa-siapa."
Aisyah terus berlalu pergi meninggalkan Zafran. Puas rasa hatinya dapat meluahkan segala yang terpendam dalam hatinya. Tercapai juga hasratnya ingin membalas perbuatan Zafran yang mempermainkan dia sebelumnya. Walaupun awalnya dia telah melupakan hasratnya itu kerana Zafran telah belanjanya makan dan bersikap baik padanya. Tetapi kerana tindakan Zafran pagi itu benar-benar menyakitkan hatinya, dia terus melepaskan apa yang terpendam.
Namun perasaan lega tersebut hanyalah sementaravsahaja. Tiba-tiba rasa cemas datang menghembus hatinya.
'Urmm... Macam mana kalau Tuan marah aku cakap macam tu? Macam mana kalau dia berhentikan aku? Ehh... Tak mungkin. Sebab aku praktikal ja dekat sini. Tapi macam mana kalau dia buat laporan kata kerja aku teruk. Ahhh... Macam mana ni. Apa yang kau dah buat ni Aisyah. Itulah kau. Buat tak fikir dulu. Kan dah mendapat.' Aisyah bersungut sendirian.
Itulah perempuan. Selalu meletakkan emosi di dalam setiap tindakan. Akibatnya, mereka sentiasa hidup beralaskan sesalan. Mungkin tak semua. Namun kebanyakkannya. Aisyah diantara salah seorang darinya. Selepas 10 minit berapa di tempatnya, Nur datang menghampiri.
"Cik Aisyah... Cik Aisyah..."
Suara Nur mematikan lamunan Aisyah.
"Ya Nur. Ada apa Nur panggil saya?"
"Tuan Zafran nak jumpa Cik Aisyah. Dia suruh Cik Aisyah pergi bilik dia sekarang juga."
'Alamak!! Matilah kau Aisyah. Padan muka kau. Sekarang kau tanggunglah padahnya.'
Aisyah tak henti-henti menyumpah dirinya. Berbekalkan Bismillah dia mengatur langkahnya. Sekali lagi dia terhenti kaku di hadapan bilik Zafran.
'Ya Allah... Bantulah aku ya Allah. Kau lembutkanlah hati Tuan Zafran ya Allah. Aaminn'
Sambil menghembus ke arah pintu bilik Zafran, Aisyah mengetuk pintu biliknya.
"Masuk..." Suara Zafran samar-samar kedengaran.
Perlahan pintu ditolak Aisyah. Jantungnya berdegup kencang bagai ribut taufan yang membadai lautan. Maka berkocaklah ombak kerisauan yang bertakung di dalam hatinya. Aisyah tidak bersuara. Berat rasa kakinya untuk melangkah menuju ke arah meja Zafran.
"Duduk..." Suara tegas Zafran mengejutkan Aisyah.
"Kalau Tuan marahkan saya sebab apa yang saya cakap tadi saya minta maaf banyak-banyak." Aisyah hanya menundukkan wajahnya tanpa memandang wajah Zafran.
Zafran memandang wajah Aisyah yang masih dalam kegelisahan.
"Maaf Tuan. Tadi emosi saya tak stabil. Saya tak cukup tidur semalam sebab nak siapkan kertas kerja tu. Sebab tu saya tak boleh nak berfikir waras. Saya harap Tuan tak ambil hati dengan apa yang saya cakap tadi." Aisyah hanya menundukkan wajahnya.
"Saya sudah buat keputusan saya. Saya akan laporkan perilaku awak pada pihak universiti."
"Tolonglah Tuan. Saya merayu sangat-sangat dekat Tuan. Kalau Tuan laporkan pada pihak universiti, habislah saya Tuan. Lagipun saya kena habiskan pengajian saya secepat mungkin."
"Tadi masa awak cakap tadi awak tak ada pun nak fikir dulu. Sekarang baru nak minta maaf?" Zafran mengeraskan suaranya.
"Keputusan saya muktamad. Ini notis berhenti 24 jam untuk awak."
Zafran meletakkan surat tersebut di atas mejanya di hadapan Aisyah. Aisyah melihat Zafran dengan wajahnya yang penuh dengan kebencian. Dia terus mengambil surat tersebut dan beredar dari bilik Zafran.
Bersambung....
YOU ARE READING
Dia Cintaku
RomanceKisah DIA CINTAKU merupakan kisah percintaan antara Aisyah dan Zafran yang berakhir dengan sebuah kedukaan di mana Aisyah telah mendapat tahu bahawa Zafran merupakan suami orang sebulan sebelum tarikh pernikahan mereka. Namun, yang menjadi persoalan...