SELEPAS beberapa kali siang menebarkan cahayanya ke bumi, Aisyah masih lagi berkurung sepi. Siang mahupun malam sudah tidak ada erti. Dia masih lagi berkurung di dalam rumahnya. Aisyah mengambil cuti beberapa hari bagi menenangkan fikirannya. Memandangkan dia perlu berhadapan dengan Zafran di tempat kerja, jadi dia perlukan masa.
Namun, ianya berakhir dengan keputusan untuk berhenti kerja. Dia tidak mampu berhadapan dengan Zafran. Perasaan marah, sedih, sayang, seringkali berselisih. Dia tidak mampu menghadapinya. Apatah lagi untuk berhadapan dengan Zafran setiap hari. Tidak sanggup rasanya untuk menghadapi seseorang yang kita baja dengan kasih dan sayang, namun dibalas hanyalah duri dan tulang belulang. Sakit rasanya untuk menyatakan benci padahal di dalam hati masih penuh dengan rasa cinta. Ia lebih perit dari menelan duri berbisa.
Maka atas sebab itu juga Aisyah telah membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya. Berbekalkan modal yang masih tersisa di dalam baki akaun simpanannya, dia bercadang untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
"Nur... Tuan Zafran ada dekat dalam?"
Pintu pejabat ditolak perlahan. Nur orang pertama yang menjadi sapaan. Sebagai setiausaha syarikat, Nur berada tepat di hadapan pintu masuk pejabat.
"Eh Cik Aisyah. Awalnya masuk kerja. Bukan cuti Cik Aisyah lagi dua hari ka?"
"A'aa... Saya datang atas urusan sikit. Ni Tuan Zafran ada dalam bilik tak?" Aisyah mengulangi soalannya.
"Tuan sudah beberapa hari tak masuk pejabat. Dah banyak kali saya telefon, tapi tak berjawab. Dato' pun dah mula bising."
"Urmm... Kalau macam tu tak apalah. Nanti kalau Tuan dah masuk pejabat nanti, Nur boleh tak maklumkan dekat saya."
"Boleh... Nanti Nur mesej Cik Aisyah."
"Ok terima kasih Nur."
Hasrat Aisyah untuk berjumpa Zafran bagi menyerahkan notis berhenti kerja terbantut disebabkan dia tidak ada di pejabat. Katanya Nur, Zafran sudah beberapa hari tidak masuk pejabat. Ia menjadi persoalan yang bermain di akalnya. Tertanya-tanya dia kemana perginya Zafran.
Roda empat kereta Proton Saga VVT miliknya berpusing laju dan berhenti tepat di hadapan rumah sewanya. Farah dan Ika masih lagi di tempat kerja. Hanya Aisyah sendirian bertemankan lamunan dan persoalan. Pesoalan tentang Zafran yang entah kemana.
Apa gunanya sebuah kehidupan jika tidak diisi dengan cinta. Namun, apa gunanya cinta jika dua hati tidak dapat lagi bersama. Seorang asyik bermenung meratapi hidupnya. Seorang lagi hilang entah kemana.
Percayalah, sehebat manapun kemarahan itu tetap akan tumpas dengan rindu. Rindu adalah debunga cinta. Namun, kebencian selalu datang mengusik jiwa. Membawa segala memori duka lalu membunuh hati yang inginkan bahagia. Membuatkan ramai manusia tumpas dengannya.
Manusia itu sering saja berdusta. Mereka selalu menipu diri mereka. Di saat rindu datang bertapa, cinta turut berputik semula. Namun, keegoan dirinya itu yang membuatkan cinta itu hanya menjadi sebuah dongengan lama.
Begitu jugalah yang dialami oleh Aisyah. Walaupun sekuat manapun dia cuba nafikan cintanya terhadap Zafran, dia tetap tidak mampu untuk melawan sebuah kerinduan. Kerinduan yang mengakhiri sebuah kisah dengan air mata. Air mata tangis duka.
Aisyah masih berada di ruang tamu rumah. Dia membaringkan tubuhnya di atas sofa yang berada tepat berhadapan dengan tangga ke biliknya. Fikirannya masih melayang-layang. Masih bersama angan-angannya yang telahpun musnah. Dari tadi dia hanya membelek-belek telefon pintarnya. Satu persatu gambar Zafran dilihat oleh Aisyah. Diintip pula lama sosialnya Zafran. Masih tetap sama. Tidak ada apa-apa perkembangan terbaru yang dimuat naik oleh Zafran. Kali terakhir adalah seminggu sebelum mereka putus. Jadi ia menambahkan lagi persoalan yang sedang berpesta di akalnya.
"Ke manalah mamat ni pergi agaknya? Mesti tengah berseronok dengan bini dialah tu." Bisik hatinya sendiri.
Dalam keegoan meruntuhkan rindu yang bersusun tinggi, sekali lagi air matanya mengalir sepi. Tidak dapat ditahannya perasaan rindu dan kecewa yang datang bertalu-talu membedal ingatan lalu. Bayangan wajah Zafran sentiasa datang menghantui hidupnya. Hatta di dalam lenanya, Zafran juga turut menyapa.
Aisyah masih menatap wajah Zafran di kaca telefonnya. Wajah kuning langsat yang bersih disulami dengan jambang yang disusun rapi, pasti akan membuat sesiapa saja yang melihatnya tertawan. Ditambah pula dengan sikapnya yang sentiasa membuatkan Aisyah tertawa, pasti bukan mudah untuk dilupa.
Keesokkan harinya, sekali lagi Aisyah pergi ke pejabat bagi menyatakan hasratnya. Walaupun masih belum ada apa-apa berita dari Nur, dia tetap nekad untuk serahkan notis berhenti kerja.
Sengaja dia ingin serahkan terus kepada Zafran. Dia ingin Zafran rasa bertambah serba salah dan rasa berdosa atas apa yang dilakukan olehnya. Malah bukan itu saja, niatnya ingin luahkan segala yang terkandung di dalam hatinya. Dia juga ingin berhenti serta merta. Mungkin jika berurusan terus dengan Zafran, dia boleh terus berhenti dalam tempoh 24 jam tanpa ada masalah. Namun, hasrat Aisyah untuk berjumpa Zafran tidak juga kesampaian disebabkan Zafran masih lagi tidak hadir ke tempat kerja.
"Assalamualaikum..."
Perlahan pintu dibuka. Dia tidak melihat kelibat Nur di mejanya. Mungkin sedang ada mesyuarat penting kerana selalunya jika ada mesyuarat penting, Nur pasti akan turut serta di dalam mesyuarat tersebut.
Hampir 10 minit Aisyah menunggu, Nur datang menghampirinya.
"Eh Cik Aisyah. Datang cari Tuan Zafran lagi ka?"
"Tak... Saya cuma nak bagi surat ni."
Aisyah menghulurkan sepucuk surat kepada Nur.
"Surat apa ni Cik Aisyah?"
"Surat berhenti kerja. Nanti Nur tolong serahkan dekat Tuan Zafran ya."
"Tapi tak boleh Cik Aisyah. Saya tak boleh serahkan surat ni dekat Tuan Zafran."
"Kenapa?" Soal Aisyah kehairanan.
"Urmm... Sebab... Tuan Zafran dah tak ada kaitan lagi dengan syarikat ni. Dato' dah pecat Tuan Zafran sebagai pengurus syarikat ni. Jadi untuk sementara ni, segala urusan syarikat ni akan diuruskan oleh Dato' sendiri."
"Apa!! Dato' pecat Tuan Zafran. Ayah pecat anak sendiri? Tapi kenapa?"
"Itu saya tak tahu. Tapi dari reaksi Dato', Dato' memang marah sangat dekat Tuan Zafran. Sampai suruh buang semua barang-barang Tuan Zafran yang ada dalam pejabat."
Terkejut beruk Aisyah mendengar apa yang keluar dari mulut Nur. Apa yang berlaku sampai Zafran dipecat oleh ayahnya sendiri. Kenapa Dato' marah sangat dengan Zafran?"
"Cik Aisyah... Cik Aisyah!!..."
"Ya ya..." Jawab Aisyah yang terbangun dari lamunan.
"Jadi sekarang macam ni lah. Cik Aisyah ambil balik surat ni, Cik Aisyah serah dekat Dato' sendiri. Lagipun Dato' ada pesan dekat saya kalau Aisyah masuk, suruh Aisyah berjumpa dengan dia."
'Alamak!!! Matilah aku... Nak kena jumpa Dato' sendirilah pula.' Mengeluh Aisyah dalam hati.
Aisyah meninggalkan pejabat dalam keadaan hatinya gundah-gulana. Hati dan akalnya saling berbunuhan. Entah siapa yang harus dimenangkan. Jika ikutkan hati, ingin saja dia terus pulang ke kampungnya. Namun akalnya menghalang. Mana mungkin dia mampu melakukan sedemikian rupa pada Dato' yang selama ini telah banyak membantunya.
Bersambung...
YOU ARE READING
Dia Cintaku
RomanceKisah DIA CINTAKU merupakan kisah percintaan antara Aisyah dan Zafran yang berakhir dengan sebuah kedukaan di mana Aisyah telah mendapat tahu bahawa Zafran merupakan suami orang sebulan sebelum tarikh pernikahan mereka. Namun, yang menjadi persoalan...